Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Khamis, 29 Januari 2015

Kisah Ibu dan Wee Bee Eng

Menjadi ibu bukan tugas mudah.Menjadi ibu membuat saya lebih menyayangi dan mengasihi allahyarhamah bonda Hajah Salmiah bt Sani. Kedatangan jiran lama seorang rakan berbangsa Cina dari Kampung Sementa hujung minggu lalu membuat saya tersedar betapa mulianya allahyarhamah ibu saya.Jiran saya itu merupakan seorang wanita,masih bujang. Dia membesar dalam kampung Melayu. Dia dan keluarganya tidak ketinggalan menziarahi jiran berbangsa Melayu yang mengadakan kenduri-kendara bahkan kematian.Semasa arwah ibu dan abah saya pulang dari mengerjakan haji pada tahun 2005, dia juga datang meraikan. Terharu tengok dia peluk arwah mak sambil kata"Syukur makcik dan pakcik dah balik" Kenangan ketika arwah mak dijemput Ilahi paling berbekas di hati saya. Dia menelefon 5 hari selepas pengkebumian arwah. Tangisannya dalam talian telefon membuat saya sedar betapa beertinya hubungannya dengan arwah mak walau mereka berlainan bangsa,keturunan dan agama.Saya rasa bersalah kerana tidak memberitahunya kerana kekalutan dan terlupa.Minggu lalu dia datang mengunjungi saya dan suami. Sambil bersiar-siar di kebun dia bercerita dalam bahasa Melayu yang sangat petah...
Rindu sangat dekat arwah makcik.
Rindu dekat cekodok dan kopi pekat buatannya.
Makcik tak pernah hampakan permintaan aku.Minta sambal belacan terus dibuatnya.
Aku suka makan sambal belacan makcik cicah pucuk ubi.
First time makan  darjah 6...rasa pelik lepas tu ketagih.
Masa kau di universiti, aku selalu temankan dia sembang sebab dia kesunyian ,satu-satu anak perempuannya tak ada.
Makcik tak pernah jemu layan aku sembang!
Berkoleh -koleh air kopi atau teh dibuat untuk aku.Kau tahulah kat kampung kita tu aku dengan family aku satu-satunya keluarga Cina.
Beberapa bulan sebelum arwah meninggal aku datang jenguk dia. Dia peluk aku.
Lain macam aku rasa. Dia cakap...Makcik rindu engkau Eng.
Aku tak sangka itu pelukan terakhir dari dia.
Aku pelik,kenapa dia nak peluk aku. Aku Cina. Kau tau Dah mak akupun tak pernah peluk aku bila aku dah tua bangka macam ni...
Air mata bergenang di kelopak matanya. Saya memahami kenapa dia sayang sangat dengan arwah mak.Sebab dia hidup dalam keasingan dan kesunyian di perkampungan Melayu. Malah bapanya menyerap dalam kehidupan masyarakat Jawa sehingga mampu bertutur dalam loghat Jawa yang pekat.Orang Sementa panggil bapanya Tampok.
Arwah mak pula sangat santun dengan tetamu.Penat macam manapun tetamu pasti dihidangkan air dengan apa apa juadah yang ada.Kadang-kadang saya pelik, sampai orang menjual barang ke rumahpun diberi air.Saya selalu berleter...Mak bukan semua orang baik,entah-entah menipu,nanti kena pukau. Arwah tenang dan membalas.Orang tu haus, bagi je lah air...niat dia mana mak tahu, tapi niat mak  Allah tahu.
Air mata saya menitis laju. Saya  tak mampu jadi sebaik  arwah.
Petang itu rakan saya Wee Bee Eng menanyakan saya soalan ini.
Dah macam mana aku nak sampaikan sesuatu kat arwah?
Dia memanggil nama saya Dah.
Aku bukan orang Islam tak boleh kirim fatihah!
Air mata saya semakin laju menitis!
Saya tak pandai membalas kata-katanya.
Saya hanya kata
Eng kasih sayang tak pernah mati walaupun orang yang kita sayang tu dah lama mati.Begitu juga kenangan tentang budi baik orang pada kita. Teringat pantun lama...
   Pulau pandan jauh ke tengah
   Gunung Daik bercabang tiga
   Hancur badan dikandung tanah
   Budi baik kuingat juga!
Wee Bee Eng dan arwah ibu saya adalah simbol masyarakat Malaysia yang bersatu hati
,jiwa dan perasaan tanpa disuruh atau dipaksa atau diberi gula-gula!
Arwah ibu saya semasa ulangtahun kelahiran ke 55

Tiada ulasan: