Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Rabu, 16 Disember 2015

Diari Cuti Penggalku Di Kampung

Saya menikmati cuti di kampung dengan tenang tapi memikul tanggungjawab sosial menjaga dan merawat nenek yang berusia dalam lingkungan 90an.Tiada lagi suara bebelan dan kritikannya pada semua perkara.Semasa sihat dia terkenal banyak cakap dan peramah Kini dia terbaring lesu menghabiskan sisa sia usia tuanya.
Cucu kandungnya cuma saya  dan adik beradik saya .Yang lain cucu tiri kerana nenek berkahwin lain selepas arwah datuk saya meninggal dunia.Saya teringat semasa muda dahulu dialah yang membesarkan anak anak tiri dan anak angkatnya.Rumahnya di hujung kampung jadi tempat cucu cucu bermain baik cucu tiri,cucu angkat atau cucu kandung.Ada juga antara cucu cucu itu bersekolah di bawah jagaannya kerana ibu bapa bekerja jauh.
Sekarang semua tinggal kenangan.Saya sendiri yang sepatutnya menjaganya melepaskan tanggungjawab itu pada abah dan mak tiri ketana sukar dapat pembantu yang sesuai.Adik adik saya yang sudah berkeluarga janganlah diharap sangat.Beban keluarga anak isteri  terpikul berat dalam kamus hidup mereka.Jika hidup ini sebuah filem semua yang indah indah dalam hidup nenek hanyalah imbas kembali yang samar samar dan tidak jelas .Semua macam bayangan sahaja.
Hanya kesepiam mengisi hari tuanya.Tidak ada siapa yang harus dipersalahkan.Saya juga bukan cucu yang sempurna.Serba serbi kurang.Cuti sekolah saya bawa anak saya tinggal di rumah abah.Rutin hidup kami pagi -pagi memancing di tali air belakang rumah.Dapat puyu atau sepat goreng kunyit enak sangat dimakan dengan sayur kampung seperti pucuk ubi,cekur,pucuk labu, kangkung yang terdapat di sekeliling rumah abah.Tidak banyak yang saya dapat bantu.Sekadar memandikan,menyuapkan makan minum,memakai pampers,membuang najis, itu sahaja.Saya kira pengorbanan ini amat kecil macam zarah dalam laut.Sepatutnya saya yang jaga kebajikan dia di usia senjanya namun saya terbeban dengan kerja , kesukaran dapat pembantu yang sanggup berkhidmat menjaga orang tua dan lokasi rumah yang privacy serta jauh dari jiran tetangga.Dunia kehidupan hari ini yang semakin global mengecilkan ruang untuk manusia hidup berkasih sayang. Ruang keluarga primer iaitu anak -anak , ibu dan ayah terbatas dan tidak lagi menyerap dalam kehidupan ahli keluarga sekunder yang lain seperti datuk , nenek, pakcik, makcik, saudara mara dan sepupu sepapat.Tak apalah...sudah nasib nenek begini.Dia bukan sesiapa kini.Hanya sekujur tubuh kering layu menunggu masa dijemput Ilahi.Dia hidup dalam kerinduan yang tiada berpenghujung.Merindui insan-insan yang pernah dibelai,disayang,
dimanja sewaktu hayatnya muda dahulu.
Putaran hidupnya sudah lengkap.Dia jadi bayi semula yang mengharap jagaan dan belas kasihan orang lain.
Sewaktu menyuap makanan ke mulutnya hati berbekas kesedihan.Dia makan apa yang kita suap tanpa mampu meminta apa apa.Yang saya lihat hanya jasad yang bernyawa tanpa apa- apa perasaan.Barangkali perasaan itu sudah lama mati.Dia tidak mampu lagi untuk berbicara .Barangkali tiada lagi perbendaharaan kata untuk mengungkap emosi hari tuanya yang sepi ,asing dan tersisih dari kehidupan insan- insan  lain

Aktiviti budak kampung memancing...
 Tali air tempat memancing puyu dan sepat di belakang rumah
Rumah abah taman dekat sawah padi ada halaman sayur mayur