Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Sabtu, 2 Mei 2015

Dilema Seorang Guru ..my true story

 Saya baru selesai menonton filem pendek Keringat Tanpa Noktah lakonan pengetua,guru-guru dan pelajar SMK Presint 8 Putrajaya. Menitis air mata. Syabas buat semua . Ternyata filem pendek ini mampu membuat guru-guru di seluruh tanah air sentap.Apa taknya itulah realiti kehidupan guru hari ini. Dunia yang global,dengan manusia yang semakin rencam,kami berada dalam kelompok yang digelar jurutera pembina manusia atau arkitek insan.Ramai yang mengkritik guru hari ini tidak sama dengan guru zaman pasca kemerdekaan atau zaman sebelum kami. Tuduhan -tuduhan keras,tajam dan tidak berasas sudah menjadi kudapan enak kami. Guru tidak komited.Guru gagal menjadi pendidik Guru pemalas.Guru makan gaji buta. Guru paling banyak rehat dan bercuti.Aduhai, enaknya bercakap tanpa kita mengetahui.
Ketika ini saya sedang bercuti di kampung. Sudah 5 bulan tidak menjenguk abah dan mak tiri di kampung. Nenek saya yang uzur sudah tidak mampu bergerak dan bercakap.Dia terbaring lesu di dalam bilik, sering pula terkencing dan terberak sehingga terpaksa memakai lampin pakai buang. Beberapa tahun dahulu dia pernah tinggal bersama saya. Ketika itu dia masih sihat dan aktif cuma dia sering terlupa. Suatu hari dia merayau-rayau di sekeliling rumah dan terlupa membawa kunci rumah padahal semasa keluar dia mengunci pintu. Dia terbaring kepenatan di beranda sehingga jam 5 petang tanpa makan dan minum.Jarak rumah saya dengan rumah jiran agak jauh dan dipisahkan oleh kebun. Hari yang lain pula dia memasak tanpa pengetahuan saya tetapi tidak tahu menutup dapur infra merah yang saya guna.Mujur akalnya masih panjang.Dia berlari cemas ke rumah jiran yang terletak di seberang jalan dan alhamdulilah rumah saya selamat dari kebakaran.Sejak peristiwa itu abah dan mak tiri saya membawanya pulang ke kampung.Saya berterima kasih kepada mereka kerana tanggungjawab menjaga nenek sepatutnya terpikul di bahu saya dan adik-adik yang lain sebab nenek merupakan ibu kepada arwah mak saya. Mereka tolong saya menjaga nenek atas dasar kemanusiaan semata-mata.
Saya mengirimkan wang secukupnya buat mereka,namun saya tahu wang itu tidak mampu meringankan beban perasaan menjaga orang tua.Semasa masih larat nenek saya banyak bercakap,banyak mengomel,banyak mengkritik.Dia seorang yang sangat peramah sehingga semua orang mahu ditegurnya.Habis semua rumah jiran abah di taman Serai Jati dilawatinya.Dia tidak segan minta itu dan ini jika dilayan. Pernah abah dan mak tiri saya kehairanan apabila seorang kontraktor Cina yang membuat ubahsuai rumah menghantar nasi dan lauk pauk kepada nenek. Kontraktor itu memberitahu nenek minta dibelikan nasi.Peristiwa ini bukan berlaku sekali dua.Abah dan mak tiri saya sebagai manusia biasa kadang-kadang terlepas mulut juga memarahinya sebab dia memberitahu orang bahawa dia tidak diberi makan. Kesabaran dan iman yang tinggi amat perlu bagi insan yang terpilih menjaga orang tua.
Malam tadi saya bercakap dari hati ke hati dengan mak tiri saya. Saya minta maaf kerana terpaksa menitipkan nenek di rumah abah.. Saya memberitahu sebelum saya mendapat pembantu yang sesuai tolonglah saya. Saya pergi kerja seawal jam 6 30 pagi dan pulang selalunya jam 4 atau 5 petang. Hari Selasa ada kelas tambahan. Hari Rabu ada aktiviti kokurikulum. Hari lain ada mesyuarat,ladap dan sebagainya. Belum dikira masa saya diluar waktu untuk melatih pelajar dalam aktiviti koakedemik.Saya masak apa yang sempat pada waktu petang .Jika tidak suami dan anak saya makan nasi bungkus. Pulang dari sekolah mana nak urus  kain baju,kebersihan rumah, dan pelajaran anak. Itupun kadang-kadang terbeban dengan kerja-kerja perkeranian yang tidak pernah habis. Pelbagai jenis e data perlu dilengkapkan.Dari e-splg,smm,apdm,e operasi, saps dan seribu satu e yang memerlukan saya berjaga malam kerana line internet yang lembap atau aplikasi sistem yang tidak mesra pengguna semuanya sudah menjadi rutin dalam hidup saya. Itu belum lagi saya bercerita tentang cuti yang saya habiskan bersama pelajar di rumah saya. Kekangan masa di sekolah menyebabkan saya terpaksa membawa grup teater pelajar saya bermalam di rumah untuk latihan intensif. Ada juga yang datang untuk kelas intensif malah ada yang datang untuk study grup kerana di rumah mereka tiada tempat belajar yang sesuai.Kisah cikgu perempuan yang menangis kerana diceraikan suami dalam drama pendek Keringat Tanpa Noktah itu adalah kisah benar yang tidak direka-reka. Sempena Hari Guru saya igin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat ahli keluarga saya yang banyak berkorban ,berdiri teguh menyokong karier saya .
Abah saya,Amri bin Ghani, membantu saya menjaga nenek saya kerana memahami dunia saya yang sibuk
Mak tiri saya Halimaton Saadiah, sanggup tinggal dengan nenek saya yang banyak kerenah
Suami saya Rahmat bin Dalimun..dia satu dalam seribu kerana sanggup memahami perjuangan saya dan menerima anak anak murid saya di teratak kami.
Anak saya Ahmad Solihin..kadang-kadang mama terkurang memberimu perhatian dan kasih-sayang..
Kepada nenek maafkan cucumu ini, seorang guru yang dedikasi di sekolah namun nenek seorang tidak terbela..
Gambar nenek sewaktu bercuti bersama..