sepotong roti di meja sarapan pagi
belum kujamah lagi
tekak terasa kenyang sekali
mengenang perut-perut lapar
dimamah sengsara
saudara maraku di Manik Urai dan di Kuala Kerai
secangkir kopi kuhirup sedikit
manisnya tak terasa kini
mengingati bibir-bibir haus
diusap derita
saudara maraku di pantai timur dan di daerah lain
di bumi Semenanjung
senaskah akhbar kubaca dengan derai air mata
wajah sepasang adam dan hawa
bertahun-tahun membina bahagia
sesaat kasih terlerai jua
dalam amukan arus deras
sekian lama hidup berdua
kini matipun bersama
terbayang juga wajah putera- puteri mereka
ternanti-nanti papa dan mama
bilakah akan kembali
memeluk dan membelai mereka lagi....
sekeping foto paling mencuri tumpuan
seberkas kagum singgah di hati
kisah raja sebuah negeri
berbaju lusuh menyongsong arus
menghulur tangan memberi bantuan
menyembunyikan takhta dan snggahsana kemasyuran
dalam sebuah istana keimanan
sebuah blog kutatap komentar
ada tulisan menyentuh hati
dalam kalut negara dilanda bencana
rupanya masih ada yang bergembira
hina -menghina ,caci- mencaci
tikam- menikam,sakit- menyakiti
luka- melukai lantas
menjilat darah merah
saudara
sesama sendiri
Sebuah gita Ebiet G Ade
sayup-sayup menjamah telinga
"kawan cuba dengar apa jawabnya
mengapa bumiku dtimpa bencana.....
mungkin alam mulai bosan
bersahabat dengan kita
cubalah kau tanyakan
pada rumput yang bergoyang......."
Sebuah malam tak berbintang
bukan sekadar tiupan angin monsun yang berdendam
atau ratapan awan hitam kelabu
namun ia fragmen kehidupan
menyerlahkan wajah sebenar manusia dan kemanusiaan
dalam samar
rintik-rintjk hujan yang luruh
Sebuah pusaka bernama Al Quran
kutelusuri makna dalam diam
benarlah Allah menguji
dan menguji lag
tak lain kerana
ia terlalu menyayangi
dan mengasihi.......
Sebuah jemuran d halaman
kainku kebasahan tak kering-kering semalaman
membungakan resah berpanjangan
bilakah mentari akan muncul menguakkan salam
agar kuntum dahliaku di halaman
kembang dan berbunga kembali
Dalam gelisah
dalam kepiluan
suara Ebiet G Ade
kembali memecah kedinginan................