Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Selasa, 1 Disember 2015

SALAM PERPISAHAN 5 Dinamik dan 5 Efisien 2015

Saya bangun pagi dengan suatu perasaan yang asing, Sepi. Aneh masa bersama mereka saya rasakan pelbagai perasaan.Marah.Bengang.Geram.Sakit hati.Apabila mereka pergi daripada hidup saya, saya berasa jauh ditinggalkan di sebuah pulau yang asing. Saya nampak perahu-perahu kecil mereka belayar meninggalkan saya.Perahu-perahu itu menuju lautan luas yang besar yang bergelombang.
Aduh, mengapa sakit apabila ditinggalkan.Mengapa? Mengapa ada sayu menggigit-gigit.
Semalam mereka menduduki peperiksaan Sastera Melayu SPM. Seperti seorang ibu yang ada anak kecil saya memimpin tangan mereka dengan iringan doa.Cemas. Resah.Semua bermain-main dalam tangkai hati.Mereka masih macam anak kecil saya yang manja.Minta dibelai.Minta disayang.Walapupun saya tahu mereka takut untuk berperang dan berjuang saya kuatkan semangat mereka.Saya katakan senjata kamu ialah doa dan kasih sayang saya. Saya sembunyikan perasaan gementar seorang ibu melepaskan anak ke medan perang. Alhamdulilah 2 jam 30 minit mereka bertempur tanpa senjata.Keluar dari dewan peperiksaan majoriti tersenyum puas.Oh! anak-anakku yang nakal rasanya baru semalam kita bertemu.Baru semalam kita sama-sama menyanyikan lagu Cinta Gunung Jerai dan Taman Astakona sambil menghayati makna pensonifikasi,metafora, sinkof,
simile dan pelbagai lagi hari ini kita sudah berpisah.Rasanya baru semalam mendengar syair Zulhelmi Bugiran yang sumbang mambang mengalunkan Si Burung Nuri hari ini tiada lagi syair versi pelik itu.Rasanya baru semalam melihat kamu mementaskan teks Dari Lembah Ke Puncak dengan pelbagai gaya dan aksi, hari ini teks itu sudah kamu pulangkan ke BILIK SPBT. Semuanya sudah tidak menjadi milik kita. Suara jeritan cikgu yang kuat sampai guru kelas sebelah turut terganggu.Suara leteran cikgu pada Pancau ,pada Akim yang suka ponteng sekolah.Semua tak lagi jadi milik kita...
Hari ini saya lihat  dalam grup WSSUP EX LOVING SASTERARIANS bertubi-tubi mesej....Rindu cikgu.Sayang cikgu.....Hei, patutlah sejak berpisah dengan mereka semalam saya berasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena. Rasa sepi. Rasa kosong .Rasa perjuangan sudah berakhir.Padahal tahun hadapan saya akan terus menjadi guru di kelas lain.Namun kenangan bersama 5 Dinamik dan 5 Efisien di SMK Jeram berbekas amat kuat di dalam hati. Ibarat saya menonton sebuah filem yang di dalamnya ada true colours about life....merekalah itu!
Bayangkan kami sudah bersama selama 2 tahun di mana saya mengajar Sastera dan Sejarah di kelas yang sama. Saya sudah masak dengan sepak terajang mereka. Saya tahu isi poket mereka.Saya tahu sisi lain hidup mereka yang orang tidak kenal. Terlalu banyak yang kami kongsi.Terlalu...
Kadang-kadang saya ini bukan sahaja jadi guru kelas bahkan saya jugalah pemandu mereka kalau mereka ada latihan atau kelas tambahan. Sayalah along kalau mereka tak ada wang saku. Sayalah kaunselor cinta tak bertauliah yang menyelesaikan permasalahan cinta monyet dan cinta beruk mereka. Saya juga ustazah yang menuliskan doa-doa untuk mengiringi kehidupan harian mereka agar lebih berkat, lebih kenal Allah. Sayalah teman mereka bergelak ketawa. Saya juga kawan ketika mereka menangis.
Malam tadi mereka kirim macam-macam puisi dalam grup wssup. Daripada seorang murid buta Sastera mereka belajar mencintai dan menghayati sastera.Mereka mahir meluahkan rasa,kritikan sosial dalam bentuk puisi moden atau puisi tradisional. Pantun 4 kerat, 6 kerat, 8 kerat sudah jadi mainan bibir mereka.Saya tidak mahu jadi guru yang memaksa mereka dapat A dalam peperiksaan.Saya mahu jadi guru yang mengajar anak-anak saya menikmati ilmu sebagai titian kehidupan dunia dan akhirat. Hubungan pelajar-pelajar ini yang datangnya dari 2 kelas bertukar dari musuh ketat semasa Tingkatan 4 menjadi saudara sehidup semati semasa di Tingkatan 5.Saya ajar mereka hidup berkasih sayang, menerima kekurangan dan kelebihan orang lain,bukan merasakan diri sendiri sahaja yang hebat!
Kepada anak-anak didik saya yang berlepas dengan perahu-perahu kecil , tabahlah menghadapi gelombang hidup yang lebih ganas, Cikgu sudah tidak pegang tangan kamu lagi.Tapi peganglah pada nasihat -nasihat cikgu..Ingat Allah, ingat Rasulullah dalam setiap perkataan dan perbuatan kita!
Jika kamu pegang kepada itu, di manapun kamu belayar perahu kamu tak mungkin karam.
Sayu rasanya hati cikgu saat menulis catatan ini.....Tali kasih kita janganlah dileraikan oleh tamatnya  musim persekolahan dan peperiksaan. Tali kenangan kita janganlah diputuskan oleh jauhnya jarak pertemuan.

Duduk bermadah dalam taman
Bersyair duka lagunya sendu
Terlerai sudah sebuah pertemuan
Tertinggal hanya seberkas rindu

Bersyair duka lagunya sendu
Hiasan taman lalang melata
Tertinggal hanya seberkas rindu
Buat peneman si air mata.......