Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Selasa, 16 Disember 2014

Naratif Ogonshoti...igauan seorang aku!

Saya menghabiskan minggu-minggu terakhir cuti sekolah dengan persiapan untuk meneruskan profesyen perguruan pada tahun 2015.Novel Naratif Ogonshotho karya Anwar Ridhwan, sentiasa saya pegang ,baca, telusuri dan hayati. Saya teruja dengan novel yang akan jadi teks sastera pada tahun baru nanti,apatah lagi ia karya sasterawan negara,seorang yang sangat saya kagumi sedari kecil lewat Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman.Anwar Ridhwan seorang yang hebat dalam dunia  penulisan namun sangat humble dalam dunia sehari-hari. Saya pernah bertemunya sewaktu saya aktif sebagai jurulatih KOMSAS suatu masa dahulu bersama kawan baik saya Guru Cemerlang Sastera negeri Melaka , Puan Rohayah bt Abu sewaktu bertugas di SMK Seri Pengkalan, Melaka.Waktu itu saya masih bujang,jadi jurulatih kebangsaan membentangkan beberapa kertas kerja pengajaran dan pembelajaran Sastera merupakan dunia mimpi yang saya terokai dalam debar,rendah diri namun semangat ikhlas menjulang tinggi. Jika Kak Roy terbaca blog ini, saya ingin melafazkan salam kerinduan, salam sayang berpanjangan. Teringat kenangan bersama kak Roy, En Kamarulzaman (PPK), Hajah Zahirah (PPK)....mereka ini orang besar yang berpengaruh dalam dunia pendidikan Sastera tapi sudi menumpangkan saya dalam bahtera perjuangan mereka....
Berbalik kepada novel  Naratif Ogonshotho , saya berasa ia suatu cabaran besar buat saya.Novel dengan kumpulan cerpen yang berdiri sendiri tapi kemudian bisa bertaut dalam epilog dan prolog mengambil latar kepulauan yang dicipta dalam khayalan penulis tetapi berlatarbelakang masyarakat Jepun dengan rencah kolonialisme, politik satira yang menyentuh hati. Ia global dan glokal. Ia bukan kisah anak kampung yang sangat dekat dengan pelajar seperti Jeriji Kasih dan Dari Lembah ke Puncak. Saya hormati dan akui kebenaran pendapat Dr Ghazali Lateh dalam blognya bahawa pemilihan teks harus sesuai dengan tahap pelajar. Namun saya juga terasa kepedihan dan kepiluan  Sasterawan Negara A Samad Said yang berasa terpinggir dan dipinggirkan apabila senarai buku teks 2010 tidak memilih teks Sasterawan Negara. Sebagai guru Sastera ,saya orang kecil yang tidak mahu terjerumus dalam polemik  yang besar dan sudah lama bernanah ini.Saya mengajar Sastera untuk menerapkan nilai-nilai kemanusiaan yang boleh dibawa sebagai amal dan bekal hingga ke jannah selain mencapai sasaran SKT  iaitu kelulusan seratus peratus subjek ini agar pelajar Sastera yang menduduki SPM ada nilai komersial dalam dunia luar selain nilai nostalgia yang mahal bersama saya.Selebihnya sayalah mentimun yang membiarkan durian bergolek...
Saya menyanjung karya Pak Shahnon Ahmad (bekas pensyarah saya di USM).Saya juga pemuja novel Salina dan puisi-puisi Pak Samad Said . Saya tenggelam dalam kelembutan dan kebersahajaan dunia romantis Dr Lim Swee Tin.Tetapi saya juga membaca Lagenda Budak Setan, dan Ombak Rindu, Saya mahu menjadi manusia yang boleh memasuki semua ruang dan lanskap dunia. Itulah yang saya ajar kepada anak-anak murid saya di sekolah.Kalau cikgu boleh menyanyi lagu Hafiz dan Taufik Batisyah,kamu juga mesti mampu melagukan syair,dan berpantun seloka.Kalau cikgu boleh rap dengan lagu Gadis Jelebu kamu juga boleh layan Gurindam 12. Dalam ertikata lain saya mahu menghargai semua dimensi karya .....
Saya merungut dan sedikit mengeluh apabila membayangkan wajah pelajar -pelajar sastera di sekolah saya yang selalu blur(ternganga-nganga), bersikap tidak tahu dan tidak mahu tahu
 isu -isu yang melanda dunia hari ini kerana dorongan motivasi yang lemah. Tapi setelah saya berfikir sedalam dalam lautan Hindi, merungut dan mengeluh tidak akan menyelesaikan masalah.Bukankah guru Malaysia bertaraf dunia.? Bukankah pembelajaran abad ini berteraskan KBAT dan I Think.....Jadi saya harus berusaha menghidangkan stik daging yang asing ,lazat dan sedap tetapi asing pada tekak orang kampung,agar terasa enak dan suka disantap seperti sambal belacan. Saya harus dan saya perlu....tiada alasan kerana saya guru yang selalu menurut perintah!Naratif Ogonshoto menjadi igauan ngeri yang saya bayangkan dengan pemilihan kelas Sastera pelajar yang bukan sahaja berprestasi rendah namun berwawasan rendah.Namun sepatah kata suami saya mencabar harga diri. 'Sayang ,mama kan seorang cikgu?"