Apabila sehelai kertas dikira sebagai masa hadapan
Dunia akan semakin kecil
Kerana yang kau mahu lihat cuma
Deretan A plus atau A minus
Apabila sehelai kertas dikira sebagai masa hadapan
Diskriminasi akan semakin besar
Kerana yang ke hadapan cuma
Anak-anak cemerlang
Lagi terbilang
Apabila sehelai kertas dikira sebagai masa hadapan
Ibu bapa akan sibuk mencanang sekeliling kampung
Anak aku sepuluh A
Anak kau berapa?
Apabila sehelai kertas dikira sebagai masa hadapan
Guru-guru akan semakin stress
Mengira berapa peratus naik
Berapa peratus turun
Adakah tercapai janji
Dalam lembaran SKT?
Apabila sehelai kertas dikira sebagai masa hadapan
Akan semakin dalam
Jurang antara manusia
Kita pula menjadi insan yang paling tidak adil
Kerana anak anak lahir ke dunia
Berbeza bakat dan kepandaian.
Apabila sehelai kertas dikira sebagai masa hadapan.....
Sajak di atas saya tujukan buat anak-anak saya yang keputusan SPMnya tidak cemerlang.
Jangan sandarkan hidup pada sehelai kertas. Banyak peluang untuk kamu majukan diri,
Jangan putus asa dan menjadi warganegara tidak berguna. Kepada Hakimi , Zulhidzam Esam, Moulana, Fazreen , Firdaus tidak sia-sia cikgu bawa kamu balik semasa sekolah bercuti pada musim jerebu. Lihatlah pada hari keputusan SPM diumumkan , wajah kamu tidak berjerebu lagi.
Kepada Nazrin, Nazmirul ....terimalah kegagalan sebagai anugerah terindah dari Tuhan,
Nazmirul cikgu tahu kamu tabah! Orang yang tabah pasti tidak akan rebah!
Alhamdulilah semua anak-anak perempuan mama Haida tiada yang gagal dalam kedua-dua mata pelajaran. Ecah yang selalu cikgu marah, cubit terbukti boleh dapat B plus,
Bukan B plus itu yang cikgu nilai, namun cikgu menghargai kesediaan kamu untuk berubah.
Buat Maria, Ayu Shuhanis terbukti tiada istilah lewat.Kamu berlari pecut dan meninggalkan masa lalu yang sia-sia itu. Buat semua anak-anak murid saya di Kelas 5 Efisien dan 5 Dinamik 2015, kamu mungkin tidak cemerlang di mata para guru atau ibu bapa namun jangan sampai tidak cemerlang di mata Allah.
Kehidupan ini banyak ranjaunya. Semakin banyak tertusuk duri, semakin kau akan mengerti dan memahami.