laut tidak pernah tahu kapan gelombang akan menerjah
pantai tidak pernah tahu kapan
badai akan singgah
pohon juga tidak tahu kapan
daunnya akan gugur ke tanah
bungapun tidak tahu kapan
kuntumnya layu jatuh menyembah
engkaupun tentunya tidak tahu kapan
dia akan berangkat pergi
membawa semua cinta dan rindu
ke suatu daerah paling sepi
paling sunyi
paling abadi...
Wahida
kerana kita tidak pernah tahu
kapan bulan akan menangis
kapan malam akan gerimis
Wahida
mentari dipinjamkan untuk pagi yang indah
pelangi dipinjamkan untuk senja yang
merah
kekasih dipinjamkan untuk kita merasai nikmat kasihNya
suami dipinjamkan untuk kita
merasai syurga Adam dan Hawa
kerana itu adinda
bersyukurlah walau cuma secubit kenangan
engkau dan dia pernah bersatu
dalam teratak istana terindah
Wahida
biarkan kekasihmu senyum bahagia
punya bidadari setabah Fatimah
punya permaisuri semulia Khadijah
buat zuriatnya meneruskan hidup membangun tugu iman
membina sebuah impian
walau ayah tak lagi di sisi....
Puisi ini saya titipkan khas buat bekas anak murid saya Nur Wahida bt Hambali...yang kehilangan insan paling disayangi,dikasihi, suaminya..
yang bernama.Hisyam...
Semoga Wahida tabah berdiri demi zuriat putera dan puteri..
Sesungguhnya Tuhan menguji kerana
terlalu mengasihi...
Teruskan perjuanganmu duhai serikandi!