Salam pertemuan,
Kesibukan mengejar date line tugas-tugas perguruan membataskan ruang untuk mencurah perasaan dalam blog.
Walau tangan sudah rindu menekan punat komputer.
Hati sudah menghimpun perasaan bagai empangan mahu pecah.
Namun harus saya tunggu masa yang benar-benar lapang dan selesa untuk mencetus idea dalam blog.
Hari Guru tahun 2016 baru sahaja berlalu.Sekolah sayapun belum menyambutnya dengan rasmi.
Musim Peperiksaan Pertengahan Tahun.Kami bergelut untuk memastikan anak-anak mencapai kecemerlangan.
Sebut tentang kecemerlangan. Kecemerlangan akademik KPI utama alaf ini. Semua pihak berlumba-lumba mengejar kecemerlangan . Di sini saya ingin merakamkan tahniah ekslusif untuk anak-anak murid saya yang telah menamatkan SPM pada tahun 2015, khasnya untuk 2 kelas 5 Dinamik dan 5 Efisien. Walaupun result mereka biasa-biasa sahaja,maklumlah bukan kelas hadapan,Namun mereka berjaya juga menempatkan diri meneruskan pelajaran.
Nurul Sazhwani Samuri masuk ke Tingkatan 6 di kolej pra universiti Sultan Abdul Aziz Shah di Kuala Selangor. Dia satu-satunya anak murid saya yang pilih Tingkatan 6. Saya tahu dia kuat dan mampu hadapi cabaran di situ. Terbukti setelah melihat anjakan paradigmanya .Sewaktu saya mula-mula mengenalinya semasa Tingkatan 4 , dia pemalu, pendiam dan rendah diri. Saya berhasil menggilap potensi besar dalam dirinya melalui aktiviti kesusasteraan misalnya drama,pantun dan puisi. Saya bersyukur dalam ramai-ramai anak murid saya, dia umpama satu-satunya benih yang saya semai di ladang dan tumbuh jadi sekuntum bunga yang mekar kembang.Minat dan bakatnya dalam dunia penulisan semakin berkembang.Sazhwani telah beberapa kali memenangi hadiah dalam pertandingan penulisan kreatif.
Siti Nurhaliza yang pendiam pula memilih bidang Kulinari dengan tajaan. Nasib Siti malang sekali. Semasa menduduki peperiksaan SPM rumahnya dilanda banjir. Namun dia masih mampu dapat A untuk subjek Sastera Melayu.Ainin Sofea yang comel dan gila KPOP pula memilih bidang Kesetiausahaan ,juga dengan tajaan. Sekadar menyebut beberapa nama ,(Ini cerita anak-anak perempuan saya dari kelas 5 Dinamik yang mendapat keputusan sederhana cemerlang.)
Namun bagi saya mereka sangat hebat. Mereka berjaya merenangi lautan ilmu yang luas dengan gelora yang membadai. Saya tahu bukan mudah pelajar- pelajar kelas belakang ini mengecap nikmat kejayaan. Perit.Getir.Payah. Dengan kemampuan akademik yang terbatas,aliran Sastera pula, mereka terperangkap dalam sistem pendidikan yang berkelas-kelas. Sebab itu saya menitiskan air mata semasa mereka menghantar kiriman kiriman wssup yang menceritakan keseronokan mereka belajar di Tingkatan 6 atau di kolej. Ya, bagi orang lain mereka bukan hebat sebab tak masuk matrik, tak dapat diploma tetapi bagi saya kejayaan mereka terlalu besar ......
Saya juga masih berwassup dengan anak-anak lelaki 5 Dinamik yang gagal, yang tidak dapat peluang belajar di mana-mana. Status tidak pernah membataskan perhubungan kami. Asalkan wssup itu bukan dalam kumpulan yang besar, mengandungi mesej yang bermakna saya masih membalas salam dan pertanyaan mereka.Sempena Hari Guru yang baru lalu, handphone saya hang dengan ucapan -ucapan mereka. Ada dua atau tiga orang yang menghantar mesej yang sama...Maafkan saya tak dapat A dalam paper Sastera. Misalnya Umi Khairunifa yang hanya dapat B plus. Aduh anak-anak muridku, cikgu sayang kamu bukan sebab kamu dapat A tapi sebab kamu sebahagian daripada kehidupan cikgu.Kamu nyawa dan jantung cikgu sebenarnya. Seorang lagi Amir Musa, dia juga ralat sebab tak dapat A dalam paper Sastera. Amir,cikgu tak kisah kamu tak dapat A tapi setiapkali kita berjumpa cikgu tahu nilai-nilai Sastera tebal dalam diri kamu.Cara kamu bercakap, cara kamu berbudi bahasa,cara kamu membawa diri, cara kamu meminta maaf dan menulis ayat-ayat dengan bahasa yang baik, molek dan indah, itulah Sastera sebenarnya. Bayangkan dalam zaman moden ini masih ada anak murid yang rajin bertanya khabar, ringan tangan menolong saya apabila diperlukan,Setiap kali datang ada sahaja buah tangan yang dibawa .Indah budimu Amir, seindah didikan Sastera yang kamu pelajari selama 2 tahun. Saya bersyukur ....dia jadi "Lelaki Melayu Terakhir" yang sempurna di mata saya.
Buat semua anak-anak murid saya yang saya tak sebut namanya di sini, jangan sedih dengan kegagalan akademik.Jadikan ia dorongan untuk kamu lebih kuat menempuh hidup.Jangan anggap kamu gagal, cikgu tak sayang kamu lagi. Kepada Shahril yang baru-baru ini menghantar wssup...
"Cikgu carikan saya jodoh yang cantik macam cikgu..." Saya harap insyaallah Shahril akan dapat bertemu jodoh yang jauh lebih cantik dari cikgu.Ingat ya Shahril, kebahagiaan seorang lelaki bukan pada isteri yang cantik, tapi isteri yng solehah. Bila cikgu baca ucapan Shahril semasa Hari Guru, cikgu tersenyum tapi mata ini bergenang air jernih. Dia antara anak murid saya yang nakal. Kerja rumah tak pernah siap. Siang malam business di pasar. Mulutnya becok dalam kelas. Belakangnya yang sado selalu saya bantai sebab kerja tak siap, ponteng sekolah memanjang.Tapi dia tak pernah ambil hati. Senyumnya lebar memanjang kalau jumpa saya. Tersengih-sengih macam kerang busuk. Yang paling saya sukar lupakan tentang Shahril dia selalu bawakan saya kuih rempeyek yang enak air tangan emaknya. Aduh ....seperti saya,dia juga rupanya sukar nak lupakan kenangan terindah zaman persekolahannya.
Semoga suatu hari nanti Shahril berjaya sebagai ahli perniagaan kerana minatnya lebih ke situ bukan dalam bidang akademik.
Buat Shahril dan semua saya sudahi coretan ini dengan ucapan.
SAYA SAYANG KAMU BUKAN KERANA KAMU PANDAI, KAMU BERJAYA. KAMU HEBAT, SAYA SAYANG KAMU SEMUA KERANA KAMULAH NYAWA DAN JANTUNG HIDUP SAYA