Ibunya seorang wanita yang tabah dan sangat terbuka apabila berbicara tentang anak lelakinya yang saya panggil Uwais ( bukan nama sebenar)
Dia lahir tak cukup bulan. Umur 5 tahun baru pandai bercakap dan berjalan. Jadi pemikirannya 5 tahun ke belakang. Doktor mengesahkannya anak disleksia. Ibunya bertemu saya semasa hari menandatangani buku kemajuan pada awal tahun lalu.Ketika itu dia hendak mengambil peperiksaan PMR.
Saya mendapati karakternya unik. Dia sering tersenyum dan suka mengusik kawan. Tutur bicaranya sopan, walaupun sangat keanak-anakan. Jika diberi tugasan dia akan menyelesaikannya hingga selesai walaupun tulisannya tunggang- langgang.
Di rumah saya,dia sangat gembira. Anak lelaki saya yang berumur 5 tahun merupakan kawan baiknya. Mereka bermain dengan seronok seolah-olah mereka sebaya. Saya tidak menjangka dia akan mampu melepasi segala kekurangan dan ketidaksempurnaan, .Namun takdir Allah siapa yang dapat menahan.....
Selepas menonton TV kira-kira jam 9.00 malam dia akan membaca petikan-petikan mudah dalam modul kelas pemulihan yang saya hasilkan ketika saya mengajar di Sekolah Menengah Perempuan Kapar kira-kira 7 tahun yang lalu.Kemahiran mengajar kelas intervensi saya dapat secara tidak langsung kerana semasa saya mengajar di Sekolah Menengah Perempuan Kapar, tiada kelas Kesusasteraan Melayu dibuka.Jadi saya diarahkan mengajar Kelas Intervensi. Ketika itu saya sedih dan selalu merungut kerana Kesusasteraan Melayu merupakan nyawa dan jiwa saya. Tapi benarlah.... Allah memberi apa yang terbaik untuk kita walaupun bukan itu yang kita mahukan kerana Allah maha mengetahui. Kini di SMK Jeram saya boleh mengaplikasikan segala ilmu dan pengalaman itu.....kerana rupa-rupanya lebih ramai yang memerlukan.....Subhanallah!
Berbalik kepada Uwais tadi, dia sangat tekun dan gigih,Dia membaca sehingga jam 12.00 atau 1.00 pagi.
Jika kebetulan saya belum tidur dia akan bertanya perkataan yang tidak mampu diejanya. Jika saya tertidur awal,dia menggariskan perkataan itu dan esok paginya dia akan bertanya kepada saya.
Mulutnya petah bercerita.....Ceritanya saya kutip dan jadikan suis untuk dia lebih rajin belajar membaca.
" Dari kecil ayah dan emak serahkan saya pada nenek dan datuk, umur 10 tahun baru ayah dan emak ambil saya balik"
"Ayah tak pernah bawa saya balik kampung di Perak,sebab dia cakap kereta tak muat"
"Ayah tak pernah bawa saya jalan-jalan"
"Ayah tak pernah ingat harijadi saya"
"Ayah belikan kakak handset tapi saya tak dapat"
"Ayah jarang bercakap dengan saya. Kalau bercakap pun dia suka marah-marah"
"Saya tahu saya bodoh..."
Matanya merah berkaca-kaca.Hati saya tersentap.Ada pilu yang sukar saya gambarkan dengan kata-kata!
Saya tidak tahu adakah ceritanya benar tapi saya tahu budak lurus bendul macam dia susah untuk menipu!
"Awak tak bodoh, awak pandai, awak rajin, awak handsome macam Shah Rukh Khan, awak baik sangat..." Setiap hari saya memujuknya dengan gula-gula pemanis kata.
" Apa impian awak, maksud saya apa yang awak teringin..."
" Saya teringin mandi kat kolam renang, bestkan.....ckgu"
Saya tergelak dalam hati.Kecilnya impian dia. Tapi bila saya fikir balik kecl bagi seseorang bukan bermakna kecil juga bagi seseorang yang lain. Bagi Uwais itu perkara besar.Dia teringin mandi di kolam renang. Bagi anak kampung sepertinya dtambah cara ayahnya melayan dia, saya pasti impiannya sangat logik!
"Nanti kalau pandai baca, cikgu bawa mandi di kolam renang....kan ayah?" ( saya panggil suami saya ayah di hadapan anak-anak.
"Hmmm ya....nanti kalau pandai baca, kita pergi kolam renang"Suami saya menambah. Suami saya merupakan orang yang banyak mendorong saya dalam setiap perkara yang saya lakukan! (Thanks abang, I love u so much)
Akhirnya hujung minggu saya banyak dihabiskan bersama Uwais. Allah tdak pernah mengecewakan hambaNya yang mahu berusaha. Hari demi hari dia semakin lancar membaca petikan-petikan mudah!
Tahun ini dia berada dalam Tngkatan 4. Walaupun dia gagal dalam peperiksaan PMR,tapi dia ada satu pencapaian yang bukan dalam bentuk sijil.Dia sudah boleh membaca,walaupun tidak sehebat insan normal macam kita. Saya rasa kuasa cinta saya tak sehebat mana, namun impian,harapan dan doa saya menyatu dalam fikiran dan jiwa saya setiapkali saya memandang wajahnya yang polos!
Semalam dia ikut saya balik ke rumah. Pagi-pagi sewaktu makan roti canai di kedai mamak, dia membuat saya tersenyum geli hati!
Sambil membaca tajuk-tajuk akhbar dia merungut... " Apalah tak habis-habis harga barang naik, harga rumah naik, harga minyakpun naik....ish sh dunia, dunia..."
Wah, dah pandai fikir hal dunia sekarang. Kalau dulu dia hanya tahu merungut tentang ayah yang kurang memberi perhatan kepadanya kini dia merungut tentang harga barang! Kuasa cinta telah membesarkan dunianya yang sempit! Kepada ibu bapa yang dikurniakan anak macam Uwais,
bersyukurlah, ada sesautu yang Allah rencanakan untuk kita dan juga anak itu, mungkin bukan sekarang tetapi suatu masa dan suatu ketika nanti.
Uwais mengajar saya erti keikhlasan,erti pengorbanan,erti ketabahan ,erti kasih yang anak-anak kita sangat harapkan.Jika bukan kita siapa lagi yang mahu memberikan mereka sentuhan itu?
Cuma satu yang saya lupa, saya belum menunaikan janji untuk membawanya mandi di kolam renang!