Kisah ini sudah lama berlalu, namun ingatan saya pada wataknya tidak pernah padam. Selepas mengenalinyalah saya menukar pandangan mata tempurung saya kepada pandangan mata burung! Benar walaupun sering kali kita diingatkan bahawa setiap anak yang lahir ke dunia bagai kanvas putih yang belum dicorakkan namun lazimnya manusia akan memberi warna andaian mereka sendiri pada kelahiran anak anak tersebut !
Anak murid saya ini diberi nama Salman bin Abdullah.Dia sangat sopan , berbudi bahasa dan pandai membawa diri. Ayat ayat seperti "Cikgu maafkan saya, " "Cikgu izinkan saya keluar " sentiasa meniti di bibirnya.Dalam hati saya memuji, baik budak Salman ni.
Suatu hari dia menumpang kereta saya. Dia rancak berbual .Katanya dia anak yatim piatu. Bapanya meninggal dunia kerana ditembak kawan sewaktu berburu. Ibunya pula meninggal dunia seminggu kemudian kerana terkejut dengan kematian bapanya! Ceritanya diulang ulang banyak kali kepada saya dengan tenang dan tanpa ada perasaan. Saya terfikir juga....hebat budak ini ,tidak ada segaris kesedihan sewaktu menceritakan kisah ibu bapanya! Namun saya cepat cepat sedar. Ah lelaki, mana tahu erti kesedihan.
Apabila dia memberitahu dia tinggal berdua dengan nenek di rumah PPRT , saya pun membuat keputusan."Salman naik kereta sayalah tak payah naik bas, duit tambang bas simpan"Dia gembira dengan pelawaan saya .Barangkali kesepian tanpa belai kasih ibu menyebabkan dia menumpahkan suka dukanya kepada saya!Kisah dia ikut nelayan turun ke laut kerana mencari duit belanja sekolah. Kisah kakinya luka terpijak duri semasa mengait buah kelapa sawit ! Kisah dia belajar masak asam pedas dari neneknya dan macam macam lagi yang dikongsi sewaktu dia naik kereta saya! Pandai dia bercerita, menyusun bait bait kata.Sopan dan penuh kemesraan.
Pagi pagi di tepi jalan neneknya menunggu sampai kereta saya datang.Kelihatan dia bersalaman dengan neneknya. Neneknya pula akan melambai-lambai tangan kepada saya! Episod pergi dan balik sekolah bersama Salman berlangsung beberapa bulan. Sehinggalah suatu hari ........
Salman kemalangan. Motorsikal buruknya yang ditunggang sewaktu meronda ronda sekeliling kampung terbabas ke dalam semak. Akibat kemalangan itu dia terlantar tidak boleh bangun. Saya pun terus singgah ke rumah neneknya.Maka terbongkarlah kisah hidup Salman yang sebenar!
Kata nenak Salman, dia bukan anak yatim piatu. Ibunya anak kandung nenek Salman meninggalkan Salman sejak dilahirkan!Ayahnya bukan Abdullah tetapi satu nama lain. Ayahnya seorang graduan universiti begitu juga dengan ibunya!
Nama Abdullah itu diberikan kerana dia anak luar nikah! Saya ternganga mendengar cerita nenek Salman! Dalam hati saya menyumpah seranah! Sampai hati Salman tipu saya. Sudahlah kisahnya saya percayai bulat-bulat bahkan saya ceritakan pula pada kawan kawan rapat yang turut bersimpati dengan budak handsome dan berbudi bahasa itu.
Semasa neneknya bercerita Salman tidak mendengar kerana ketika berbual itu lokasinya di luar rumah !
Saya pulang ke rumah dengan perasaan geram,marah,sakit hati! Dasar anak luar nikah, pandai berlakon ! Dia boleh tipu saya bulat-bulat! Harap muka saja handsome,perangai....saya marah marah dalam hati!
Beberapa bulan kemudian dia masih tidak datang! Ah! lantaklah...saya malas ambil pusing! Saya benar-benar dendam kerana pembohongan itu!
Namun suatu hari ketika melntas di hadapan rumah neneknya setitis rindu datang menjengah! Apa khabar agaknya dia! Teringat pada gelagat dan kepetahannya berceloteh! Teringat matanya yang bulat dan alisnya yang lebat!
Teringat semua tentang dia......
Rupanya dia sudah lama sembuh! Dia tidak mahu bersekolah lagi.
"Cikgu dah tahukan siapa saya?"
Saya jadi terkedu. Tidak sepatah kata terbit di bibir.
Tiba tiba hati lelakinya yang keras jadi cair! Air mata bergenang di kelopak matanya!
"Ayah saya tak meninggal kerana ditembak kawan!Mak saya pun bukan mati terkejut...."
"Sudahlah Salman, lupakan semua tu......"
"Tak semudah itu cikgu, tengok sekarang saya hidup dalam dunia khayalan!Saya cipta cerita supaya saya ada maruah , ada harga diri"
Itulah hari yang saya rasa paling sepi! Paling terpukul dengan ucapannya!
"Orang benci saya sebab nama saya Salman bin Abdullah"
Saya terasa bagai bongkah besar menghempap tubuh! Kata kata itu layak ditujukan kepada saya!
Bukankah saya mula membencinya hanya kerana tahu dia anak luar nikah. Pembohongannya hanyalah tentang ibu bapanya....Yang lain lain dia masih remaja yang jujur,ikhlas,sopan,berbudi bahasa!
Ya Allah mudahnya saya menghukum dan membenci orang lain!
Salman bin Abdullah sesekali kelibatnya saya lihat bekerja di sebuah stesen minyak tak jauh dari rumah!
Dia tidak mahu bersekolah lagi! Neneknya kata sebab dia mahu bekerja cari duit sendiri! Puas saya berulang alik ke rumahnya menasihatinya agar datang ke sekolah semula namun tidak langsung terkesan di hatinya! Barangkali terlalu lama hidup sendiri tanpa belai manja ibu ,tanpa hangat mesra ayah hanya dalam dakap belai seorang nenek tua,Salman jadi seorang yang hanya mahu mendengar kata hati sendiri! Itu kesimpulan saya!
Lantera cinta saya pun tak sebesar mana, ia malap dan padam hanya kerana saya terlalu cepat membenci tanpa berusaha menghidupkan pengertian dan simpati!
Kenangan bersama Salman bin Abdullah masih berbekas dalam hati manusia yang tidak tahu erti kemanusiaan ,erti kecewa,erti rindu dan erti derita! Sayalah orang itu! Walaupun Salman tidak tahu saya pernah membencinya hanya kerana imaginasinya yang melampau namun saya sendiri amat mengerti dan tahu bahawa perasaan itu pernah ada padanya! Hanya kerana dia ......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan