Hari terakhir persekolahan hati dicuit dek gelagat dan telatah seorang pelajar yang diberi nama Mohd Fikri atau nama manjanya Bobo.Dia masuk ke bilik guru dengan wajah riang sebaik tamat peperiksaan SPM.Namun matanya kelihatan bening berkaca-kaca. Semua guru yang pernah mengajarnya diberikan cenderahati dalam beg kertas yang cantik.Dengan sapaan ikhlas dia berkata "Ini untuk cikgu..." Kemudian dia meminta kami menulis di atas baju sekolahnya yang putih bersih .Kata-kata terakhir buat ingatan.
FIKRI JANGAN NAKAL
JANGAN TINGGAK SOLAT
SEMOGA BEROLEH KEJAYAAN
SEM0GA SUKSESS
Itulah kata-kata yang terconteng di baju uniformnya. Saya menulis besar-besar I LOVE U SO MUCH...Ada sebab kenapa saya tulis begini. Pertama saya amat sayang pada dia.Kedua kata-kata inilah yang amat dirinduinya selalu dan setiap masa.
Tahun lepas saya mengajarnya matapelajaran Sejarah. Saya tahu dia pandai menyanyi kerana dia berkawan baik dengan anak murid saya dari kelas Sastera Melayu iaitu Suraya. Dengan Suraya , Bobo amat rapat. Ada tali halus yang menyatukan mereka bukan sebagai pasangan bercinta....Semasa Panitia Sastera sekolah saya menjadi bench mark dan dikunjungi pelawat dari daerah Klang yang minta agar saya menunjukkan satu program Mikro Teaching,kelas Surayalah yang jadi sumber saya. Bobo tidak ketinggalan.Saya jemput dia kerana kebolehannya menyanyi lagu-lagu malar segar untuk set induksi mikro teaching saya. Sejak itu hubugan kami rapat. Ada kisah tentang Suraya yang saya simpan dalam artikel yang akan datang....kisah manusia dan kemanusiaan!
Suraya dan Bobo sering datang bertandang ke rumah saya,bukan datang sendiri melainkan saya jemput .Di rumah saya mereka bercerita, menyanyi dan juga masak. Bobo pandai masak ayam masak merah! Kenapa dia pandai dan mahir memasak.....Bobo ditinggalkan ibu sejak perceraian berlaku. Malah Bobo pernah hidup sendiri di rumah sewa di bandar Klang selama setahun,sebelum tinggal dengan makciknya di Jeram semasa bersekolah dalam tingkatan 4.Saya terlopong mendengar kisah hidupnya. Dia kata di Sekolah Menengah Raja Mahadi guru kelasnya tidak tahu dia tinggal sendiri,sehinggalah akhir tahun...Patutlah dia pandai masak...Ada sesuatu yang menyentap jiwa saya setiapkali saya mendengar cerita Bobo.Pada saya dia tabah dan sangat kuat...Dia masih mampu tersenyum,ramah dengan sesiapa saja, berani ke hadapan jika disuruh walaupun bertahun tahun hidup tanpa belai kasih ibu dan ayah. Sekarang walaupun hidup dengan makcik ayahnya jarang menjenguk kerana khabarnya sudah berkahwin lain.
Bobo bekerja di sebuah gedung di bandar Klang pada hujung minggu.Menjelang peperiksaan dia berhenti kerja dan berniaga air batu di hadapan rumah makciknya! Yang mengkagumkan kami pada hari terakhir setelah tamat peperiksaan dia membawa berbelas-belas beg kertas berisi hadiah untuk diberikan kepada cikgu yang mengajarnya! Kami tertanya-tanya mana dia dapat duit sebanyak ini. Orang lain yang ada ibu ayah ,yuranpun masih tertunggak.Dia mampu pula bagi cikgu hadiah. Apabila saya buka beg kertas yang cantik itu terdapat sehelai sejadah biru di dalamnya. Tanpa saya sedari air mata bergenang ..Ini kali kedua dia buat saya menangis. Kali pertama masa dia mengalunkan lagu Syurga Di Telapak Kaki Ibu semasa saya jemput dia untuk program Perkampungan Sastera peringkat sekolah...
Duhai apakah gerangan budi balasan
Bagi insan melahir dan membesarkan
Bercucuran air mata bila mengenangkan
Betapakah besar budi ibunda berikan.....
Waktu itu Bobo menyanyi sepenuh hati. Matanya sesekali teterpejam barangkali membayangkan orang yang siang malam dirinduinya. Saya difahamkan ibunya sejak berpisah kembali ke kampung halamannya di Thailand.."Tak apalah cikgu nanti kalau saya dah kerja saya kumpul duit balik Thailand,jumpa mak"Mukanya yang tembam dan lucu dengan badan gempal dan chubby tetap kelihatan lucu walaupun dia sebenarnya sedang menuturkan perkara paling sedih!Apabila saya melihat kemesraannya dengan Suraya saya amat faham!Suraya anak terbuang yang sejak lahir ditinggalkan dengan nenek. Bobo dan Suraya berkongsi rasa,berkongsi kepiluan,berkongsi impian yang siapapun tidak akan faham kecuali mereka berdua!
Tiada bahagia jika tiada doa puja restu, syurga itu di telapak kaki ibu...
Buat anak-anakku Suraya dan Bobo jangan berhenti mengharap. Siapapun kita dan apapun takdir yang menimpa kita...ingatlah ada Allah yang memberi rahmat,naungan dan perlindungan...Simpan kenangan antara kita baik-baik sebaik saya menyimpan rahsia suka duka hidup kalian berdua...
Pemberian Bobo untuk semua guru yang pernah mengajarnya.... |