Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Sabtu, 6 September 2014

Farid, Nazrin ,Adam dan Aisyah (Kami Gembira Belajar Sastera)

Saya ingin menyambung  artikel Saya Sedih Belajar  Sastera dengan tajuk yang kontra Saya Gembira Belajar Sastera.Untuk menukar persepsi pelajar tentang subjek Sastera memerlukan banyak pemahaman, pengorbanan dan hati yang cekal tanpa kenal erti putus asa!
Saya cuba memahami pelajar. Mereka hidup bukan pada zaman filem P Ramlee yang kaya dan sarat dengan nilai kemelayuan dan budaya bangsa. Mereka dewasa dengan alunan lagu lagu K Pop , Hip hop dan lagu Melayu yang bukan Melayu. Jadi saya tidak akan marah membabi buta jika mereka begitu asing dan seolah-olah tidak tahu apa itu syair, gurindam, pantun dan seloka! Tajuk tajuk puisi klasik ini tidak akan saya sentuh pada awal sesi pembelajaran! Saya simpan sehingga mereka betul betul jatuh cinta pada saya !
Biasanya saya akan mula dengan mengajar novel atau cerpen. Bulan pertama mengajar saya tidak akan ikut sukatan ! Saya lari sekejap dari landasan dengan strategi biar mereka tahu dan benar benar faham kenapa mereka perlu belajar Sastera. Saya akan tanya cita cita dan impian mereka. Penting kerana bukan semua pelajar naik dalam gerabak keretapi yang betul! Ada pelajar yang saya jumpa dalam kelas Sastera menyebut cita citanya doktor! Tersentak saya dibuatnya.

Bulan pertama mengajar Sastera saya buat kajian drama apa dan lagu apa yang pelajar tonton dan dengar. Contohnya jika pelajar obses dengan drama  Rindu Awak 200% maka saya akan hanya bercerita tentang drama itu , pelakon pelakonnya, lagu-lagunya, dan babak babak ysng sangat mereka gemari. Jika mereka penggemar drama Korea maka saya juga akan searh drama Korea. Saya tidak mahu ketinggalan dalam dunia mereka!
Bercerita tentang lagu pula, para pelajar era sekarang suka sangat dengan lagu lagu rock kapak! Mungkin pengaruh radio Sinar yang didengar oleh ibu bapa mereka membuatkan mereka selesa dengan nyanyian Slam, Bloodsheed, Wings, Iklim ,  BPR dan lain-lain. Barangkali juga pengaruh Kilauan Emas terbitan Astro  memukau minda remaja untuk menyelami dunia rock kapak Melayu. Saya ada beberapa orang murid yang obses dengan lagu lagu rock kapak antaranya Adam ,Farid, Nazrin dan Aisyah Kesemua anak murid saya inilah yang saya jadikan sebagai Bahan Bantu Mengajar yang hidup sewaktu mengajar   puisi di dalam kelas!
Apa tidaknya lagu lagu rock kapak kaya dengan bahasa perlambangan,pensonifikasi,metafora, anafora, hiperbola dan sebagainya.
Maka Farid , Adam , Aisyah atau Nazrin  akan menyanyi atau saya akan membawa laptop yang saya telah muatnaik lagu-lagu rock kapak. Kalau orang lalu di sebelah kelas saya pasti akan mengumpat  Apa cikgu ni? Mengajar Sastera ke mengajar menyanyi! Para pelajar akan bertepuk tangan apabila mendengar lagu lagu ini dibawa masuk ke dalam kelas! Saya fikir biarlah fenomena di luar kotak ini berlaku asalkan para pelajar gembira dan jatuh hati  pada saya! Kebetulan saya juga boleh menyanyi , maka jadikah saya a singing teacher! Pelajar pelajar ini ada yang panggil saya Ella atau Siti Nurhaliza! Walaupun saya tahu saya tidak secantik dan semerdu suara Ella atau Siti Nurhaliza sekurang-kurangnya saya popular di mata mereka! Saya harus jadi popular sebab saya tengok orang popular ni cakapnya didengar orang, pengikutpun ramai! Maka tidak salah jika saya mempopularkan diri dalam kalangan pelajar!

Sambil menghayati lagu lagu rock kapak saya akan menerangkan maksud anafora,epifora,metafora dan lain lain secara santai dan tanpa tekanan! Teringat kata En Jagan Morgan dari Saba Publications yang menerbitka modul untuk kanak kanak prasekolah ....Berikan ilmu pada anak anak dalam suasana gembira tanpa tekanan,tanpa ketakutan !
Pemahaman pelajar tentang unsur gaya bahasa ini sangat penting kerana tanpa pemahaman ini para pelajar Sastera tidak mampu menjawab soalan unsur gaya bahasa dalam puisi dan soalan KBAT mencipta sajak. Kesimpulannya sajak yang tidak digemari oleh pelajar itu saya kuak pintunya melalui lagu dan liriknya.
Bulan pertama mengajar ialah bulan peperangan psikologi dengan pelajar.
Saya akan pastikan tidak seorangpun tidur di dalam kelas Sastera! Juga tidak seorangpun keluar masuk tandas.
Anak murid saya yang suka tidur di dalam kelas seperti Mohd Amir Musa pernah terkedu apabila saya deklamasikan sebuah sajak yang bertajuk Puisi Untuk Anakku Amir dalam dewan sekolah semasa saya mempengerusikan pertandingan deklamasi sajak.Antara lain baitnya berbunyi

Amir, tahukah kau erti merdeka (rangkap 1)

Kalau kau tahu bangkitlah
bangunlah anakku,
jangan lagi tidur di dalam kelas ( rangkap akhir)

 
  Peristiwa ini membuatkan dia gembira kerana dia tahu dirinya penting buat saya dan beerti buat saya walaupun dia suka suka tidur di dalam kelas! Semenjak itu walaupun mengantuk kerana sebelah malamnya bekerja ( sisi lain hidupnya dia merupakan anak yang sangat taat pada ibu dan bertanggungjawab kerana ibunya ,ibu tunggal) , dia tidak pernah tidur lagi! Dia akan memandang wajah saya dengan senyuman tidak percaya bahawa saya telah mencipta sajak khusus untuk dirinya dan mendeklamasikannya di hadapan kawan-kawannya! Wah glamour gitu!
Ada banyak lagi kenangan manis saya sebagai guru Sastera yang berjuang mempopularkan Sastera Melayu agar tidak pupus dan dijauhi oleh pelajar!
Hari ini dengan peperangan psikologi yang saya lancarkan saya tahu saya sudah memenangi hati sebahagian besar pelajar.
Bersama ketua panitia merangkap sahabat baik saya Zuzana Abdullah kami menjual produk yang dahulunya tidak laku dengan pendekatan ala ala jualan langsung! Kami lancarkan program tahunan Perkampungan Sastera, yang dimulakan dengan kempen, motivasi dan diakhiri dengan kudapan enak, dan bungkusan bungkusan hadiah ! Kami akan pastikan setelah pulang dari kem ini mereka tidak lagi merungut Saya Sedih Belajar Sastera sebaliknya dengan semangat yang baru Saya Gembira Belajar Sastera!




Coretan hati anak anak didik saya selepas menghadiri Kem Sastera,
Kelas 4 Efisien SMK Jeram,coretan seperti ini memenuhi dinding
belakang kelas mereka!