Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Rabu, 28 Oktober 2015

Di Mana Pusaramu Sayang? (Mengenang tragedi MH 370)


 Di mana pusaramu sayang?

 untuk kujejaki
 tika angin kerinduan bertiup
 tika seruling keresahan berlagu sayup

Di mana pusaramu emak?
untuk kudatangi
tika air mata menjadi hujan
tika tangisan bertakung semalaman

Di mana pusaramu ayah?
untuk kucabut lalang nan menghijau
untuk kutanam pohon kemboja putih
sebagai lambang cinta kasih

Di mana pusaramu teman?
untuk kususuri sungai kenangan
yang airnya takkan pernah surut
walau kemarau hangat meragut

Di mana pusaramu  Kapten Zahari?
untuk kuukir tugu pahlawan
seorang lagenda seorang wira
dalam zuhud,dalam diam menabur jasa.

Di mana pusaramu Kapten Farid
untuk kutulis suatu catatan
seorang pemuda berjiwa kental
gagah berani menakluk angkasa.

Di mana pusaramu anak-anak kapal ?
untuk kupatrikan lambang kemegahan
MAS,
burung besi gagah melayang di awan
terbang dari sebuah bumi indah permai
meredah samudera
memintas awan
meraih makna bebas merdeka
dari jajahan
dari neokolonialisme
dari igauan kekerdilan bangsa


Di mana pusaramu?
ingin kujejaki
walau di dalam belantara belukar
atau di rimba sarat onak duri
atau tinggal hanya serpihan zarah zarah kecil
dalam luas lautan tak bertepi

Di mana pusaramu dik?
ingin kuhampiri
ingin kubacakan al Fatihah
ingin kusentuh batu nesanmu..

Di mana pusaramu ?
ingin kukunjungi
walau jasadmu tak bisa kelihatan
agar rasa sakit dan kepiluan ini
hilang perlahan -lahan.


 Di mana pusaramu kekasih?

 untuk kudakap setia penantian
 janji kita di malam pertama
 hanya maut bisa memisahkan.

Di mana pusaramu tunangku?
untuk kubacakan puisi pengantin
yang kita cipta semusim lalu
menanti pelamin menjadi syurga.

Dimana pusaramu suamiku?
untuk kubawa anak-anak kita
yang saban hari tak henti bertanya
mama...........
di mana papa?

Dimana pusaramu isteriku?
untukku nyanyikan lagu sepi
seorang lelaki ditinggal pergi
tanpa pesan, tanpa pamitan

Di mana pusaramu anakku,menantuku?
untukku hilangkan sunyi
hari tuaku yang asing dan ngeri
jauh dari perkhabaran dunia

Di mana pusaramu kekanda?
dinda mencari
hujung benua ke hujung benua
hingga kering air di tempayan.

Di mana pusaramu adinda?
kanda mencari
hujung sahara ke hujung sahara
hingga gugur bintang di langit.

Di mana pusaramu?
di mana.....
wahai angin jawablah pertanyaanku
di mana pusaramu?

Di mana pusaramu?
di mana....
wahai bulan jawablah salamku
salam cinta tak kesampaian.

Di mana pusaramu MH 370?
di mana...
untuk kami rakyat Malaysia 
memeluk erat kotak hitam
dalam keberanian
menuntut keadilan
 
Wahai Tuhan
ampuni kami
kasihani kami
berikan kami kekuatan luar biasa !























Anak Oh Anak !

Ketika engkau dilahirkan
Engkau menerangi alam
Kegelapan ayah dan ibumu....
                                                (petikan lagu Anak nyanyian Freedie Aguilar)
Benar kelahiran seorang anak amat beerti dalam sebuah rumah tangga. Dalam bahasa Arab, perkataan anak bermaksud "Quratul Aqyun" yang bermaksud cahaya mata.Dahulu saya tidak mengerti apa maksud cahaya mata sehinggalah saya mempunyai anak.Walaupun seorang , anak menepati pengertian cahaya mata andainya anak itu dengan keletah dan sikapnya bisa membuat kita bahagia dan tertawa. Itu yang saya rasakan sebagai ibu.Hilang penat lelah kita bekerja melihat suatu perkara kecll yang baik dilakukan  oleh anak.Hilang semua resah, semua tekanan apabila mendengar halus tulus dan hormatnya perkataan anak apabila berbicara dengan ibu bapa. Di rumah saya mewajibkan anak menuturkan ayat-ayat ini.Pertama " Terima Kasih"
Kedua " Maafkan Saya" dan ketiga " Bolehkah Saya...." .Alhamdullah 3 ayat itu menjadi mainan di bibir anak saya walaupun dia kadang-kadang nakal juga.Namun perkataan itu jika diucapkan selalu akan memadam api kemarahan kita. Benarlah anak adalah cahaya mata,
Kisah anak yang saya tulis kali ini ialah suatu  kisah benar. Seorang ibu yang hidup susah cuba membahagiakan anak-anaknya sebab pada pendapat ibu ini wang akan menjamin kebahagiaan keluarganya. Maka dia pun melakukan dua tiga empat pekerjaan sambil menyertai pernagaan MLM.
Niat yang baik untuk membantu ekonomi keluarga akhirnya bertukar menjadi suatu kesudahan yang buruk. Anak-anak yang terbiar dan terabai semakin liar dan nakal. Salah seorang anak lelakinya menjadi seorrang remaja bermasaalah sehingga terlibat dalam kegiatan pecah rumah,meragut dan mencuri, Apabila berbual dengan ibu ini saya dapati memang dia langsung tiada masa untuk anak-anak yang ramai dan perlukan perhatian. Hujung minggu menghadiri perjumpaan MLM.
Masakan ibu sudah lama tidak dicicipi. Kata-kata ibu,gurau senda ibu,senyuman manis ibu sudah lama tidak dilihat oleh anak-anak. Apabila ditanya kenapa dia buat kerja sampai tiada masa untuk anak anak,dia jawab tuntutan hdup...Nak bayar sewa rumah,bayaran  bulanan kereta, bil air,elektrik,astro,telefon , belanja sekolah anak dan sebagainya. Duit belanja anak sekolah sehari 5 ringgit kali 5 orang anak sama dengan 25ringgit. Hampir mencecah 20 ringgit jika ada kokurikulum. Sebulan sudah berapa?
Itu belum dikira perbelanjaan anak prasekolah yang mencecah ratusan ringgit sebulan.Aduhai...
Lantas saya teringat kenangan sewaktu saya bersekolah lebih 30 tahun yang lalu. Abah saya seorang saja bekerja membanting tulang.Kerjanya sebagai pengawal keselamatandan buruh kampung.
Kami hidup susah. Emak akan pastikan setiap hari dia masak nasi.Semua anak-anak tidak diberi wang saku tapi dibekalkan nasi. Lauknya bukan seimbang tapi cukup untuk membangkitan selera.Sambal telur, sambal bilis dengan terung tepokak, itu antara menu yang saya ingat. Kadang-kadang dia bawakan bekal lempeng,cucur kucai,cucur bilis yang mengenyangkan. Dari situ arwah emak membuat tabungan tidak membelanjakan semua wang pemberian abah.Emak jarang keluar rumah.Dia menjadi pengurus rumah tangga yang cekap. Sebelah malam dia sendiri duduk mengajar anak-anak mengaji al Quran. Apabila bercerita dia jarang mengumpat keburukan orang melainkan  bercerita kisah-kisah keluarga kami yang terdahulu, nenek moyang yang sudah meninggal dunia dan memuji-muji kalau ada orang kampung yang berkelakuan baik.
Simple tapi berkat.Air tangan emak yang mengalir jadi darah daging kami.
Selain menjimatkan perbelanjaan,ia merapatkan kemesraan.

Berbalik kepada kisah ibu tadi ia bukan kisah ibu itu seorang.Ia kisah ratusan malah ribuan ibu yang terpedaya dengan tuntuntan wang ringgit sehingga mengabaikan anak-anak.Yang paling sedih melihat dia yang terlalu terdesak untuk melihat keluarga bahagia kemudian menyertai MLM yang jika tidak diurus dengan baik akan menyebabkan kewangan semakin parah..Dia memberitahu saya akibat tidak dapat downline dia bukan berfungsi sebagai penjual tapi pengguna produk yang terpaksa membelanjakan sejumlah wang untuk produk yang dibelinya.Sedih saya dengar pengakuannya..
Bahagia bukan pada wang.Bahagia terletak pada berkat.Segudang wang boleh habis jika tidak diurus dengan baik.Setitis kasih dan imanlah cahaya hidup insan..
Anak yang sepatutnya membahagiakan bisa berubah menjadi ujian besar dan mendukacitakan jika kita membesarkan mereka dengan tuntutan kebendaan lantas membiarkan jiwa mereka kosong dan sepi..
Ibu bapa zaman sekarang cuba imbas kembali cara ibu bapa dahulu membesarkan kita.Mungkin tidak sempurna namun ada suatu kekuatan pada diri mereka.Mereka tabah mengajar kita erti hidup susah dan tidak menggelabah mencari jalan penyelesaian yang mudah.Ibu bapa kita mengajar kita bahawa dalam gubuk yang gelap gelita hanya ada setitis cahaya yang menyuluh hidup insan.Cahaya itu tak lain tak bukan ialah cahaya cinta dan iman. Lihatlah walaupun mereka hanya penoreh getah,pesawah padi,buruh kampung namun anak-anak dididik dengan sempurna ...kitalah itu,
Dan di tangan kita lahir pula suatu generasi hasil didikan kita..anak-anak kita.
Marilah kembali mengenang cara didikan itu!