Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Rabu, 17 September 2014

Cerita Sebuah Pantun

                         Sungguh indah bunga melati,
                         Dihias orang atas batang,
                        Jika ada kesudian hati
                         Saya jemput silalah datang.
Pantun di atas menghiasi kad jemputan walimatul urus salah seorang bekas pelajar saya.Menguntum senyum di bibir .Pantun di atas menggamit kenangan saya bersamanya.
                         Anjing tersepit di celah pintu
                         Biawak duduk di batu bata
                         Sungguh sedih yatim piatu
                         Tiada kasih hidup derita.

" Nasir berapa kali saya cakap,jangan guna binatang ganas dalam pantun.Banyak binatang lain macam rusa, pelanduk, burung kenari,burung cenderawasih....indah disebut, ini awak guna anjing,biawak. Dahlah tu anjing mati tersepit.....Aduh tak puitis langsung pantun,seram, cuba awak baca.Ada keindahan tak? " Saya mencampakkan kertas kerja rumahnya.
" Apa salahnya cikgu....guna perkataan haiwan macam anjing,biawakkesian binatang ni dahlah tak handsome...tak boleh guna pula dalam pantun...!" Dia tersengih-sengih memandang saya. Rakan-rakannya di kelas 4 Sastera 2 gelak terbahak-bahak.
" Kita buat pantun serius jangan guna unsur lawak dalam pembayang,kalau nak guna perkataan anjing,biawak, nanti bila buat pantun jenaka..."
"Tulah cikgu fikir serius je...sampai sekarang tak kahwin!" Matanya bulat memandang saya.Suara ketawa kembali bergema memenuhi ruangan bilik darjah' Dia memang berani.
Kepetahannya berhujah dan membuat lawak bodoh menyebabkan rakan-rakan sekelas amat menyukainya. Tapi dalam kalangan cikgu-cikgu ramai yang meluat. Ramai yang menggelarnya  Ketua Samseng sebab bakatnya selain bercakap, ialah mengugut kawan dan membelasah kawan. Tak mungkin saya lupa pada anak murid saya yang seorang ini. Masa mengajarnya,saya masih bujang dan belum berkahwin.
Apabila saya mengajar dia jarang fokus.Mulutnya bercakap tak henti-henti.Saya bosan melayan soalan-soalan bodohnya,Tapi di luar waktu kelas setiap kali saya lalu di sebelah kelasnya dia akan melaung ....."Cikgu Aida ....I luv u"
"Suka hati saya kahwin ke tak kahwin,kamu tu hidung masih berhingus, cakap tak beradat!"\Muka saya merah padan menahan marah.
" Betullah cikgu....cikgu ni serius je cuba senyum sikit..." Dia tetap berani mengusik saya.
Hati saya langsung tak terusik dengan kata-katanya.Meluat lagi ada.Cepatlah habis masa saya sudah tak tahan mengajar di kelas itu ( Maklumlah ketika itu saya masih belum matang,rendah aras ketahanan mental)
Namun apabila mendapat tahu saya akan berpindah ke negeri Selangor kerana permohonan bertukar diluluskan dia orang yang paling sedih. Berkali-kali dia datang berjumpa saya dan minta maaf.Matanya berkaca-kaca.
" Sampai hati cikgu tinggalkan saya, lepas ni siapa nak ajar pantun,siapa nak ajar Sastera!. Sampai hati orang yang saya sayang pergi tinggalkan saya"
Apabila saya melihat kad undangannya beserta pantun di atas saya tahu dan yakin dia memang benar sayangkan saya.Lihatlah baris pembayangnya ...tiada lagi anjing dan biawak! Saya tersenyum puas !