Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Sabtu, 1 November 2014

TIDURLAH AFDAL ( untuk bekas anak didikku Allahyarham Afdal Atma Negara yang kembali ke rahmatullah pada 25 Oktober lalu)

Tidurlah Afdal 
Tidur nyenyak-nyenyak
Nikmati sepi yang indah di liang lahad
Hayati sunyi yang nikmat didakap tanah

Tidurlah Afdal
Tidur nyenyak-nyenyak
Atas tilam keredhaan seorang ayah
Atas bantal keimanan seorang ibu
Dalam selimut kenangan terindah
Guru-guru dan teman
Di SMK Jeram

Tidurlah Afdal
Tidur nyenyak-nyenyak
Jangan lagi kau berasa sakit
Kerana kesakitan itu sudah tiada
Jangan lagi kau berasa rindu
Kerana semuanya sudah menjadi milikmu
Jangan lagi kau berasa takut
Kerana kau tak lagi sendiri

Tidurlah Afdal
Tidur nyenyak-nyenyak
Jangan peduli air mata kami yang jatuh menitis
Jangan peduli renung hiba ayah yang setia di sisi jenazahmu
Lupakan ibu dan adik yang jauh menanti di seberang
Tidurlah Afdal
Kerana kau bukan lagi milik kami
Kau kini milikNya abadi.

Tidurlah Afdal
Tidur nyenyak-nyenyak
Biarlah kami hanyut dalam lautan ingatan
Pada seorang lelaki tabah
Yang menghimpun nota derita
Dalam kesusahan mengharung hidup
Dalam kesengsaraan  tak putus mengharap
Bahtera kasih ibu ayah yang  terlerai musnah punah
Diamuk badai


Tidurlah Afdal
Tidur nyenyak-nyenyak
Temanmu nanti alunan hafazan ayat ayat suci
Ketulusan budi seindah mawar merah berseri

Tidurlah Afdal
Biarlah hujan malam menyimbah pusaramu
Biarlah kedinginan meratah jasadmu...





Tiada ulasan: