Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Sabtu, 26 November 2016

Puisi Untuk Anak Lelakiku 2

Suatu hari nanti kau pasti berpunya
Jangan lupa milikmu itu 
Lahir dari rahim seorang wanita 
Yang perlu kau kasihi keduanya 


Suatu hari nanti kau pasti memiliki 
Jangan lupa kekasihmu itu
Sebenarnya seorang bidadari
Dari syurga ayah bondanya.

Suatu hari nanti kau akan disayangi
Isteri solehah dan berbudi
Yang harus kau balas jasa
Dua insan yang lelah mendidiknya


Suatu hari nanti kau pasti  bahagia 
Jangan sampai bahagiamu itu 
Mencalar segaris luka derita 
Di lubuk hati mereka. 

Suatu hari nanti kau pasti membina istana
Jangan sampai istanamu itu
jauh dan asing
dari pondok mertua

Suatu hari nanti kau perlu belajar memahami
Tanggungjawab seorang suami
Selain ayah dan mama, di sisi Ilahi
Semua itu perlu kau adili

Suatu hari nanti
Kau akan mengerti
Sukarnya lahir ke dunia
Sebagai anak lelaki....




Jangan Menangis Habibah

Menulis dapat meredakan tekanan. Writting is theraphy. Ternyata itu benar. Akhir-akhir ini banyak perkara yang berserabut di kepala. Tentang cabaran profesyen perguruan. Tentang dilema seorang guru yang obses untuk melihat anak muridnya berjaya bukan saja di atas kertas namun di atas kanvas kehidupan. Ada isu yang saya mampu huraikan namun ada juga tersimpan rapi dalam kepala. Akhir tahun dunia saya semakin sibuk. Tuntutan kerja yang tak pernah selesai. Ada kerja berat yang terpaksa saya pikul hujung tahun ini.Walaupun letih dan penat berulang sejauh 45 km sehari saya akur. Saya penjawat awam yang menurut perintah.Sesekali air  mata menitis jua kerana penat dan rasa terbeban. Namun saya cepat menyedari. Barangkali ada perancangan Allah yang terbaik untuk saya.
Hujung minggu suami membawa saya menyaksikan persembahan live Aris Ariwatan yang pernah menyentuh hati saya dengan lagu Permaidani. Kali ini Aris menggetarkan jiwa perempuan saya dengan lagu Jangan Menangis Habibah. Lagu untuk wanita masa kini yang harus kuat dan tabah menjalani  hidup sebagai isteri, ibu dan tenaga kerja sebuah negara membangun.
Ada ketika saya berasa bersalah kerana terlalu mengejar kecemerlangan karier namun terkurang memberi perhatian pada rumahtangga. Dalam seminggu berapa hari suami dan anak makan hidangan air tangan saya.?Dalam seminggu berapa malam saya dapat mengejar anak mengaji al Quran? Ya Allah redhakah suami dengan kesibukan tugas saya kerana apabila kerana apabila penat pulang kerja saya marah-marah dan melenting. Ya Allah halalkah pendapatan saya kerana asyik merungut di belakang bos yang kadang -kadang memberi tugas di luar batas kemampuan saya.?
Namun tugas baru ini memberi saya peluang mengenali hati budi manusia. Diberi peluang menjawat jawatan ketua dan diselia oleh beberapa pegawai atasan banyak mengejar saya erti toleransi dan kesabaran. Dalam prosedur kerja kita memang mengejar hasil produktiviti dan kualiti  namun jangan sampai kita berkomunikasi dengan orang lain tanpa perasaan kemanusiaan.
Itu yang saya rasai, alami dan cuba pelajari.
Ada ramai orang apabila berada di atas berasa diri terlalu sempurna sehingga memandang orang lain rendah Ada juga yang berasa jika sebagai ketua dia tidak membesarkan diri maka orang akan memandangnya kecil.Manusia terlalu menjaga penilaian  orang lain terhadap dirinya tetapi sering lupa ada penilai lain yang lebih utama...Allah swt.
Sering saya bisikkan pada diri jika kita sedar kita hanya hambaNya maka kita tidak mampu untuk berlagak sombong. Walau ada seribu orang di bawah kita namun kita tetap hambaNya. Saya kenal ramai teman berpangkat besar yang memegang prinsip itu akhirnya menjadi pemimpin hebat yang disanjungi...
Kepada suami terima kasih kerana tetap sabar melayani isteri yang penat dan pulang ke rumah marah -marah. Terima kasih memberi cinta tak putus-putus dan memberi perhatian hujung minggu yang seronok. Terima kasih Aris Ariwatan insan seni yang karyanya menjadi teks dakwah yang indah dan menusuk kalbu.
Saya petik sebahagian lirik beliau
 
      Jangan menangis Habibah
      Penatmu itu ibadah....
      Isteri yang taat setia
      Syahidlah ganjarannya...

       Teladanilah wahai wanita
       Betapa tabah Siti  Khadijah
       Luhurnya hebatnya  Fatimah
       Teladanilah wahai wanita
       Selautan ilmu Siti Aishah
       Kudusnya takwanya Rabiatul Adawiyah


Subhanallah jauhnya diri saya dibandingkan dengan bidadari-bidadari tersebut!

 Gambar bersama insan insan tersayang di  Muzium 3D Kota Lukut
 Momen ketika bercuti melepaskan tekanan dunia pekerjaan....