Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Rabu, 9 Disember 2015

Assalamualaikum Abang ( khas buat suamiku yang menyambut ulangtahun esok)

Assalamualaikum abang
Maaf subuh tadi tak kucup tangan
Tak ciun pipi
Maaf terlupa jadi bidadari dunia
Maaf terlupa jadi kekasih sejati.

Assalamualaikum abang
Semalam tak masak nasi
Hanya goreng mi hailam
Maaf terlupa jadi terbaik
Memenuhi seleramu

Assalamualaikum abang
Malam tadi tertidur awal
Tak teman abang tengok TV
Tak duduk di sisi
Maaf terlupa jadi penghibur
Yang manja dan merawat sepi

Assalamualaikum abang
Semalam bertengkar
Bila nak balik kampung
Pukul berapa nak bertolak
Maaf terlupa jadi patuh
Maaf terlupa jadi setia

Assalamualaikum abang
Hari ini sayang bersyukur
Ada abang sebagai teman
Paling sabar
Paling beriman
Selamat ulangtahun mu esok
Ucapan dari isterimu
Wanita bertuah dipilih Allah
Hidup disampingmu..

Terima Kasih Mualimah

Terima kasih mualimah
Ajar saya membaca
Ajar saya menulis
Ajar saya mengira

Terima kash mualimah
Ajar saya solat
Ajar saya mengaji
Ajar saya kenal Allah
Ajar saya kenal Rasulullah
Terima kasih mualimah
Jadi ibu bapa masa saya di tadika
Ajar saya doa makan
Ajar saya berdikari
Ajar saya tabah
Terima kasih mualimah
Ajar saya macam-macam
Hingga saya jadi insan

Terima kasih mualimah
Walau bukan
seorang doktor
Walau bukan
seorang ahli farmasi
Walau bukan
seorang pengurus bergaji besar
Mualimahlah yang  membuka
dunia saya yang kecil
jadi besar dan besar...

Terima kasih mualimah

Sajak di atas saya tujukan untuk mualimah di Pasti Imtiyaz Sg Serdang yang telah berjasa mendidik anak saya sehingga tamat pengajian di kelas pra Tahfiz dan akan masuk darjah satu tahun 2016.Alhamdulilah anak saya telah mengguasai bacaan bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Jawi.Daripada seorang anak yang kena gertak dengan sebilah rotan kemudian menangis kalau saya suruh membaca kini dia mampu membaca buku cerita tanpa disuruh-suruh, Semua ini peranan seorang guru atau anak saya panggil mualimah.Sewaktu saya berjumpa guru kelasnya untuk menandatangani buku rekod pencapaian, gurunya yang bersemangat itu berkata. "Anak puan dah boleh membaca bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, nanti saya nak ajar Jawi pulak.." Dalam hati saya memuji-muji cikgu muda yang anak saya panggil mualimah Kina itu kerana saya tahu anak saya bukan minat sangat membaca.Walaupun mudah pick up tapi dia lebih gila bermain atau melompat-lompat, Semasa majlis graduasi saya terkejut juga namanya tersenarai antara kanak-kanak yang menguasai 3 bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Arab/Jawi. Siapa kata tadika luar bandar tak mampu hasilkan produk cemerlang? Siapa kata guru bukan pekerja profesional.? Waaupun tanpa ijazah seorang guru  tadikapun besar impaknya dalam kehdupan insan.Sekarang saya sedang mengasah bacaan muqadam anak saya. Saya dapati tugas saya agak mudah walaupun sebutan hurufnya banyak salah kerana sekurang-kurangnya dia kenal tulisan Jawi.Dengan linangan air mata kalau suami saya yang mengajar mengajipun saya tegaskan juga pada anak saya..Hidup kita sebagai orang Islam harus pandai mengaji al Quran.Kepada anda yang rasa peranan guru itu kecil sehingga sanggup menghina dan membanding-banding dengan kerjaya profesional lainnya fikirlah, kenang kembali. Tanpa guru tadika anda yang tidak berkelulusan tinggi itu, sebaris perkataan untuk menulis ayat inipun anda tidak mampu... Kalau pandai dia tak jadi cikgu, dia jadi doktor ahli farmasi atau engineer (petikan wssup kawan saya). Fikir-fikirkan................


TIADA SIAPA TAHU (MENGENANG KEMBALINYA PAK YUS JAMBU KE RAHMATULLAH)

Tiada siapa tahu
Kapan senyuman kita
akan jadi senyuman akhir
Kapan pelukan  kita
akan jadi pelukan  akhir
Kapan ucapan kita
akan dikenang sebagai kata-kata akhir
Tiada siapa tahu

Tiada siapa tahu
Kapan kebaikan kita
yang dahulu dipandang remeh
tiba-tiba disebut  kembali
Kapan sedekah kita yang tak seberapa
akan diingat berjuta kali ganda
Kapan nasihat kita yang biasa biasa
akan jadi fatwa pujangga
Tiada siapa tahu

Tiada siapa tahu
Kapan gurau senda kita
akan jadi memori terindah
Kapan secangkir jenaka kita yang dahulu orang tertawa
kini jadi suatu kerinduan yang memilukan
Kapan semua yang pernah benci
akan terasa sayang kembali
Tiada siapa tahu

Tiada siapa tahu
Kapan kisahmu dsebut-sebut orang
Kapan gambarmu dicari-cari
dalam album lama
Kapan kesakitan yang kau tanggung sendiri
tiba-tiba semua orang merasainya
Tiada siapa tahu

Tiada siapa tahu
Kapan namamu yang pernah terpinggir akan dinobat setinggi gunung
Kapan riwayat hidupmu yang sederhana akan dibaca orang setiap masa
Kapan sejarah cintamu yang lara
akan jadi ilham sebuah puisi luka
Tiada siapa tahu

Tiada siapa tahu
Kapan semua kesepian itu
akan jadi sebuah bahagia
Kapan fatanorgana dan mimpi mimpi
akan jadi istana realiti
Kapan titis titis air mata
akan jadi sungai mengalir jernih di sana
Kapan semua derita
akan jadi taman syurga
Tiada siapa tahu.....

Tiada siapa tahu
Perjanjian kita dengan pencipta
Kerana Dia telah menulis skrip terbaik
Perjalanan cerita kita
Seorang hambaNya...............