Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Rabu, 10 Februari 2016

Kisah Yusry Hakimi dan Bat Pingpongnya

Saya ditugaskan menjadi pengurus pasukan pingpong sekolah. Tugas ini amat asing bagi saya.Saya biasanya menjadi pengurus atau jurulatih team drama, pantun, puisi dan yang sealiran dengannya. Sekali air bah sekali pantai berubah.2016, perubahan keluar masuk guru di SMK Jeram, dasar pentadbiran berubah. Jadual waktu berubah.Segalanya berubah. Namapun pegawai kerajaan. Dasar saya yang menurut perintah adakalanya merupakan suatu cabaran hebat dalam diri.
Walau bagaimanapun ada kenangan manis yang Allah kurniakan sepanjang menjadi pengurus pasukan ping pong dan berkampung di SRJKC Tanjung Karang. Sekolah kami menjadi juara lelaki bawah 18 tahun. Saya terkejut dan teruja. Hei...ada permata dalam pasukan kami.Selama ini ia mungkin terbenam di perlimbahan. Anak murid saya yang bernama Yusry Hakimi ini umurnya baru mencecah 16 tahun. Dia pelajar kelas pertengahan. Hari pertama bermain saya berkenalan dengan ayahnya yang setia menemani. Terima kasih wahai ayah yang penyayang.Nak suruh saya jadi penasihat minta  maaflah inilah kali pertama saya terjun dalam dunia sukan. Saya kagum dengan perwatakan si ayah.Walaupun hanya seorang penebar roti canai dan tinggal di ceruk kampung dia mengembangkan bakat anaknya dalam dunia pingpong dengan wang poket sendiri.Sejak tahu anaknya minat bermain pingpong dia yang juga boleh bermain pingpong menghantar anaknya ke kelab pingpong dengan yuran bulanan mencecah ratusan ringgit. Dia ayah yang super!
Saya ternganga mendengar ceritanya. Kesusahan dan kemiskinan tidak menghalangnya menjadi seorang ayah yang hebat.Kami duduk bersama dan mendorong Yusry bermain. Salah seorang pemain yang ditewaskannya berbangsa Cina. Wow...dia membuktikan skil bukan bergantung pada kesesuaian bangsa. Di mana ada kemahuan , di situ ada jalan. Kami terpaku melihat anak kampung yang serba sederhana itu menguasai table tenis yang lazimnya permainan popular anak -anak di kawasan bandar. Hari kedua Yusy menang semua perlawanan dan menewaskan johan tahun lalu. Saya hampir menjerit kegirangan. Saya melihat jiwa yang kuat dalam tubuh kerdilnya. Saya melihat kasih seorang ayah menjadi lilin menyalakan semangat perjuangannya.
Apabila dia menjuarai kejohanan untuk kategori bawah 18 tahun saya membelanjanya makan Mac Donald walaupun niat nak belanja dia makan pizza Dominos. Rupa-rupnya itulah kali pertama dia melangkahkan kaki dalam restoren Mac Donalds. Dia anak kampung Melayu yang tipikal. Ayahnya mengajarnya erti perjuangan, erti mengejar impian tanpa bermewah-mewah dan membazir.
Sewaktu makan bersama banyak rahsia yang saya dengar dari mulut anak muda berkulit hitam manis ini. Di kelab ayahnya menghantar dia bermain pingpong ada seorang peguam bangsa Cina yang melihat bakatnya. Kerana kagum dan merasakan dia mampu pergi jauh,peguam itu telah menghadiahi bat pingpong yang berharga ratusan ringgit untuknya, Bergenang air mata saya mendengar kisahnya, Siapa kata Malaysia tiada perpaduan? Masih ramai rakyat Malaysia tidak peduli perbezaan bangsa , agama, keturunan dan warna kulit. Kasih sayang dan kebaikan selalu hadir tanpa syarat. Kata Yusry lagi malam-malam terakhir sebelum beraksi mewakili sekolah ayahnya membawanya bermain di rumah seorang kenalan bangsa Cina yang teruja mendengar dia akan beraksi dalam perlawanan peringkat daerah. Hebatkan.....perasaaan kemanusiaan menjadi penghubung perpaduan .Perasaan kemanusiaan lebih kuat daripada perasaan kepartian atau kepolitikan.
Kepada Yusry Hakimi.... kejarlah bintang! Seperti Datuk Lee Chong Wei atau Misbun Sidek dalam gelanggang badminton bukan mustahil nama Yusry Hakimi akan terpakat dalam sejarah sukan pingpong  Malaysia suatu masa nanti. Cikgu akan selalu mendorongmu mengutip bintang-bintang di langit itu walau kakimu berada jauh di atas rumput di bumi nan hijau ini.......
Kasih seorang ayah
Yusry tersenyum bersama rakan sepasukan

Tiada ulasan: