Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Isnin, 28 Disember 2015

Danish Fitrie Dan Puisi Tepi Jalan Fyn Jamal

Musim tunggu result SPM.Kebanyakan anak murid saya kerja sambilan sementara result belum keluar.Ada yang kerja di kedai kek, di kilang coklat, di restoren makanan segera dan di kedai buku. Salah seorang anak murid saya Danish Fitrie namanya, bekerja di kedai buku MPH. Suatu hari dia tulis dalam wssup grup kelasnya." Siapa nak beli buku Puisi Tepi Jalan F yn Jamal pm saya." Wow terbeliak mata saya.Danish tiba- tiba promosi buku puisi dalam grup wssup." Saya dah baca buku ni, berkerut dahi fikir apa yang Fyn tulis.Bagi saya buku ini TERBAIK". Saya tersenyum sumbing.Wajah Danish terbayang.Walaupun dikategorikan budak yang agak bijak tak ada matapelajaran yang mampu menarik perhatiannya.Boleh dikatakan dia tidur masa semua subjek termasuk subjek Sastera.Dia juga gagal semua subjek masa percubaan SPM. Paling buat saya jengkel dia berani keluar awal masa peperiksaan Sejarah .Barangkali dia terkejut dengan nama Ferdinand Maggelan yang tertera di situ.Dia tak pernah baca buku teks.Malah tak satupun teks sastera SPM  saya confirm dia telah baca. Tapi dia baca puisi Fyn Jamal.Tahniah Fyn.Jujur saya katakan saya sudah lama tak ikuti perkembangan Fyn Jamal.Selain terkesan dengan lirik lagu Arjuna Beta kemudian saya tak peduli tentang Fyn Jamal.Sehinggalah Danish Fitri bercakap tentang Fyn Jamal dalam wssup grup.Sayapun search sebuah dua petikan Puisi Tepi Jalan secara online.
Hebat bukan sebab gaya bahasanya yang pop dan rock.Hebat sebab ada keberanian yang penulis tersohorpun belum tentu berani menyentuh isu atau pemikiran yang Fyn utarakan .Itu komen saya.Barangkali suara Fyn mewakili suara anak muda kerana itu bukunya menarik minat orang muda macam Danish. Danish yang saya  lihat personalitinya seorang rebel atau pemberontak.Dia tidak betah belajar dalam sistem pendidikan yang sedia ada.Barangkali he search for something.Saya berbalas -balas mesej dalam wssup grup yang akhirnya dia menulis.
" Cikgu kalau gaji nanti saya hantar buku puisi Fyn Jamal.I promise".
Saya bangga walaupun  dia bukan favourite student dalam kelas Sastera saya tapi sekurang-kurangnya sekarang dia baca buku puisi. Peluang bekerja di gedung buku menjadikan dia seorang peminat buku.Buku puisi pulak tu.Cayalah Danish..khabarnya khatam buku Puisi Tepi Jalan.Semoga lebih ramai' Fyn Jamal' 'menulis buku untuk orang macam Danish Fitrie!

Rabu, 16 Disember 2015

Diari Cuti Penggalku Di Kampung

Saya menikmati cuti di kampung dengan tenang tapi memikul tanggungjawab sosial menjaga dan merawat nenek yang berusia dalam lingkungan 90an.Tiada lagi suara bebelan dan kritikannya pada semua perkara.Semasa sihat dia terkenal banyak cakap dan peramah Kini dia terbaring lesu menghabiskan sisa sia usia tuanya.
Cucu kandungnya cuma saya  dan adik beradik saya .Yang lain cucu tiri kerana nenek berkahwin lain selepas arwah datuk saya meninggal dunia.Saya teringat semasa muda dahulu dialah yang membesarkan anak anak tiri dan anak angkatnya.Rumahnya di hujung kampung jadi tempat cucu cucu bermain baik cucu tiri,cucu angkat atau cucu kandung.Ada juga antara cucu cucu itu bersekolah di bawah jagaannya kerana ibu bapa bekerja jauh.
Sekarang semua tinggal kenangan.Saya sendiri yang sepatutnya menjaganya melepaskan tanggungjawab itu pada abah dan mak tiri ketana sukar dapat pembantu yang sesuai.Adik adik saya yang sudah berkeluarga janganlah diharap sangat.Beban keluarga anak isteri  terpikul berat dalam kamus hidup mereka.Jika hidup ini sebuah filem semua yang indah indah dalam hidup nenek hanyalah imbas kembali yang samar samar dan tidak jelas .Semua macam bayangan sahaja.
Hanya kesepiam mengisi hari tuanya.Tidak ada siapa yang harus dipersalahkan.Saya juga bukan cucu yang sempurna.Serba serbi kurang.Cuti sekolah saya bawa anak saya tinggal di rumah abah.Rutin hidup kami pagi -pagi memancing di tali air belakang rumah.Dapat puyu atau sepat goreng kunyit enak sangat dimakan dengan sayur kampung seperti pucuk ubi,cekur,pucuk labu, kangkung yang terdapat di sekeliling rumah abah.Tidak banyak yang saya dapat bantu.Sekadar memandikan,menyuapkan makan minum,memakai pampers,membuang najis, itu sahaja.Saya kira pengorbanan ini amat kecil macam zarah dalam laut.Sepatutnya saya yang jaga kebajikan dia di usia senjanya namun saya terbeban dengan kerja , kesukaran dapat pembantu yang sanggup berkhidmat menjaga orang tua dan lokasi rumah yang privacy serta jauh dari jiran tetangga.Dunia kehidupan hari ini yang semakin global mengecilkan ruang untuk manusia hidup berkasih sayang. Ruang keluarga primer iaitu anak -anak , ibu dan ayah terbatas dan tidak lagi menyerap dalam kehidupan ahli keluarga sekunder yang lain seperti datuk , nenek, pakcik, makcik, saudara mara dan sepupu sepapat.Tak apalah...sudah nasib nenek begini.Dia bukan sesiapa kini.Hanya sekujur tubuh kering layu menunggu masa dijemput Ilahi.Dia hidup dalam kerinduan yang tiada berpenghujung.Merindui insan-insan yang pernah dibelai,disayang,
dimanja sewaktu hayatnya muda dahulu.
Putaran hidupnya sudah lengkap.Dia jadi bayi semula yang mengharap jagaan dan belas kasihan orang lain.
Sewaktu menyuap makanan ke mulutnya hati berbekas kesedihan.Dia makan apa yang kita suap tanpa mampu meminta apa apa.Yang saya lihat hanya jasad yang bernyawa tanpa apa- apa perasaan.Barangkali perasaan itu sudah lama mati.Dia tidak mampu lagi untuk berbicara .Barangkali tiada lagi perbendaharaan kata untuk mengungkap emosi hari tuanya yang sepi ,asing dan tersisih dari kehidupan insan- insan  lain

Aktiviti budak kampung memancing...
 Tali air tempat memancing puyu dan sepat di belakang rumah
Rumah abah taman dekat sawah padi ada halaman sayur mayur

Isnin, 14 Disember 2015

Jejak Arkeologi Lembah Bujang

Seperti sejarah Hang Tuah yang tercatat dalam dokumentasi di Pulau Ryukyu Jepun,kisah keagungan kerajaan Kataha di Lembah Bujang terakam dalam puisi Tamil bertajuk Pathanapalai sekitar abad ke 2 Masihi.Kerajaan ini digambarkan aman makmur dan gilang gemilang lengkap dengan segala kemudahan.Muzium Arkeologi Lembah Bujang di Kedah menyimpan artifak dan binaan candi yang membuktikan wujudnya kerajaan Hindu Budha yang disifatkan antara kerajaan tertua di Malaysia.
Menyusuri kembali Lembah Bujang bersama anak dan suami  setelah berbelas tahun tidak ke sini mengembalikan nostalgia bertandang bersama Persatuan Sejarah daerah Klang semasa berkhidmat di SMK P Kapar.Segalanya kekal cantik,tenang, dan fenomena lereng bukit serta lembahnya yang disirami deruan air terjun...
Banyak kemudahan homestay di pekan sekitar , tetapi kosong dan sepi kerana mengunjungi tempat bersejarah bukan kebiasaan masyarakat Malaysia.

 Kawasan sekitar galeri indah dan asyik
 Terdapat air terjun yang mendamaikan
 Sayup sayup di kawasan lembah
 Pemandangan dari atas lereng
 Tangga untuk mendaki kawasan candi
 Salah satu candi yang dinamakan candi Batu Pahat

Rabu, 9 Disember 2015

Assalamualaikum Abang ( khas buat suamiku yang menyambut ulangtahun esok)

Assalamualaikum abang
Maaf subuh tadi tak kucup tangan
Tak ciun pipi
Maaf terlupa jadi bidadari dunia
Maaf terlupa jadi kekasih sejati.

Assalamualaikum abang
Semalam tak masak nasi
Hanya goreng mi hailam
Maaf terlupa jadi terbaik
Memenuhi seleramu

Assalamualaikum abang
Malam tadi tertidur awal
Tak teman abang tengok TV
Tak duduk di sisi
Maaf terlupa jadi penghibur
Yang manja dan merawat sepi

Assalamualaikum abang
Semalam bertengkar
Bila nak balik kampung
Pukul berapa nak bertolak
Maaf terlupa jadi patuh
Maaf terlupa jadi setia

Assalamualaikum abang
Hari ini sayang bersyukur
Ada abang sebagai teman
Paling sabar
Paling beriman
Selamat ulangtahun mu esok
Ucapan dari isterimu
Wanita bertuah dipilih Allah
Hidup disampingmu..

Terima Kasih Mualimah

Terima kasih mualimah
Ajar saya membaca
Ajar saya menulis
Ajar saya mengira

Terima kash mualimah
Ajar saya solat
Ajar saya mengaji
Ajar saya kenal Allah
Ajar saya kenal Rasulullah
Terima kasih mualimah
Jadi ibu bapa masa saya di tadika
Ajar saya doa makan
Ajar saya berdikari
Ajar saya tabah
Terima kasih mualimah
Ajar saya macam-macam
Hingga saya jadi insan

Terima kasih mualimah
Walau bukan
seorang doktor
Walau bukan
seorang ahli farmasi
Walau bukan
seorang pengurus bergaji besar
Mualimahlah yang  membuka
dunia saya yang kecil
jadi besar dan besar...

Terima kasih mualimah

Sajak di atas saya tujukan untuk mualimah di Pasti Imtiyaz Sg Serdang yang telah berjasa mendidik anak saya sehingga tamat pengajian di kelas pra Tahfiz dan akan masuk darjah satu tahun 2016.Alhamdulilah anak saya telah mengguasai bacaan bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Jawi.Daripada seorang anak yang kena gertak dengan sebilah rotan kemudian menangis kalau saya suruh membaca kini dia mampu membaca buku cerita tanpa disuruh-suruh, Semua ini peranan seorang guru atau anak saya panggil mualimah.Sewaktu saya berjumpa guru kelasnya untuk menandatangani buku rekod pencapaian, gurunya yang bersemangat itu berkata. "Anak puan dah boleh membaca bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, nanti saya nak ajar Jawi pulak.." Dalam hati saya memuji-muji cikgu muda yang anak saya panggil mualimah Kina itu kerana saya tahu anak saya bukan minat sangat membaca.Walaupun mudah pick up tapi dia lebih gila bermain atau melompat-lompat, Semasa majlis graduasi saya terkejut juga namanya tersenarai antara kanak-kanak yang menguasai 3 bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Arab/Jawi. Siapa kata tadika luar bandar tak mampu hasilkan produk cemerlang? Siapa kata guru bukan pekerja profesional.? Waaupun tanpa ijazah seorang guru  tadikapun besar impaknya dalam kehdupan insan.Sekarang saya sedang mengasah bacaan muqadam anak saya. Saya dapati tugas saya agak mudah walaupun sebutan hurufnya banyak salah kerana sekurang-kurangnya dia kenal tulisan Jawi.Dengan linangan air mata kalau suami saya yang mengajar mengajipun saya tegaskan juga pada anak saya..Hidup kita sebagai orang Islam harus pandai mengaji al Quran.Kepada anda yang rasa peranan guru itu kecil sehingga sanggup menghina dan membanding-banding dengan kerjaya profesional lainnya fikirlah, kenang kembali. Tanpa guru tadika anda yang tidak berkelulusan tinggi itu, sebaris perkataan untuk menulis ayat inipun anda tidak mampu... Kalau pandai dia tak jadi cikgu, dia jadi doktor ahli farmasi atau engineer (petikan wssup kawan saya). Fikir-fikirkan................


TIADA SIAPA TAHU (MENGENANG KEMBALINYA PAK YUS JAMBU KE RAHMATULLAH)

Tiada siapa tahu
Kapan senyuman kita
akan jadi senyuman akhir
Kapan pelukan  kita
akan jadi pelukan  akhir
Kapan ucapan kita
akan dikenang sebagai kata-kata akhir
Tiada siapa tahu

Tiada siapa tahu
Kapan kebaikan kita
yang dahulu dipandang remeh
tiba-tiba disebut  kembali
Kapan sedekah kita yang tak seberapa
akan diingat berjuta kali ganda
Kapan nasihat kita yang biasa biasa
akan jadi fatwa pujangga
Tiada siapa tahu

Tiada siapa tahu
Kapan gurau senda kita
akan jadi memori terindah
Kapan secangkir jenaka kita yang dahulu orang tertawa
kini jadi suatu kerinduan yang memilukan
Kapan semua yang pernah benci
akan terasa sayang kembali
Tiada siapa tahu

Tiada siapa tahu
Kapan kisahmu dsebut-sebut orang
Kapan gambarmu dicari-cari
dalam album lama
Kapan kesakitan yang kau tanggung sendiri
tiba-tiba semua orang merasainya
Tiada siapa tahu

Tiada siapa tahu
Kapan namamu yang pernah terpinggir akan dinobat setinggi gunung
Kapan riwayat hidupmu yang sederhana akan dibaca orang setiap masa
Kapan sejarah cintamu yang lara
akan jadi ilham sebuah puisi luka
Tiada siapa tahu

Tiada siapa tahu
Kapan semua kesepian itu
akan jadi sebuah bahagia
Kapan fatanorgana dan mimpi mimpi
akan jadi istana realiti
Kapan titis titis air mata
akan jadi sungai mengalir jernih di sana
Kapan semua derita
akan jadi taman syurga
Tiada siapa tahu.....

Tiada siapa tahu
Perjanjian kita dengan pencipta
Kerana Dia telah menulis skrip terbaik
Perjalanan cerita kita
Seorang hambaNya...............




Selasa, 1 Disember 2015

SALAM PERPISAHAN 5 Dinamik dan 5 Efisien 2015

Saya bangun pagi dengan suatu perasaan yang asing, Sepi. Aneh masa bersama mereka saya rasakan pelbagai perasaan.Marah.Bengang.Geram.Sakit hati.Apabila mereka pergi daripada hidup saya, saya berasa jauh ditinggalkan di sebuah pulau yang asing. Saya nampak perahu-perahu kecil mereka belayar meninggalkan saya.Perahu-perahu itu menuju lautan luas yang besar yang bergelombang.
Aduh, mengapa sakit apabila ditinggalkan.Mengapa? Mengapa ada sayu menggigit-gigit.
Semalam mereka menduduki peperiksaan Sastera Melayu SPM. Seperti seorang ibu yang ada anak kecil saya memimpin tangan mereka dengan iringan doa.Cemas. Resah.Semua bermain-main dalam tangkai hati.Mereka masih macam anak kecil saya yang manja.Minta dibelai.Minta disayang.Walapupun saya tahu mereka takut untuk berperang dan berjuang saya kuatkan semangat mereka.Saya katakan senjata kamu ialah doa dan kasih sayang saya. Saya sembunyikan perasaan gementar seorang ibu melepaskan anak ke medan perang. Alhamdulilah 2 jam 30 minit mereka bertempur tanpa senjata.Keluar dari dewan peperiksaan majoriti tersenyum puas.Oh! anak-anakku yang nakal rasanya baru semalam kita bertemu.Baru semalam kita sama-sama menyanyikan lagu Cinta Gunung Jerai dan Taman Astakona sambil menghayati makna pensonifikasi,metafora, sinkof,
simile dan pelbagai lagi hari ini kita sudah berpisah.Rasanya baru semalam mendengar syair Zulhelmi Bugiran yang sumbang mambang mengalunkan Si Burung Nuri hari ini tiada lagi syair versi pelik itu.Rasanya baru semalam melihat kamu mementaskan teks Dari Lembah Ke Puncak dengan pelbagai gaya dan aksi, hari ini teks itu sudah kamu pulangkan ke BILIK SPBT. Semuanya sudah tidak menjadi milik kita. Suara jeritan cikgu yang kuat sampai guru kelas sebelah turut terganggu.Suara leteran cikgu pada Pancau ,pada Akim yang suka ponteng sekolah.Semua tak lagi jadi milik kita...
Hari ini saya lihat  dalam grup WSSUP EX LOVING SASTERARIANS bertubi-tubi mesej....Rindu cikgu.Sayang cikgu.....Hei, patutlah sejak berpisah dengan mereka semalam saya berasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena. Rasa sepi. Rasa kosong .Rasa perjuangan sudah berakhir.Padahal tahun hadapan saya akan terus menjadi guru di kelas lain.Namun kenangan bersama 5 Dinamik dan 5 Efisien di SMK Jeram berbekas amat kuat di dalam hati. Ibarat saya menonton sebuah filem yang di dalamnya ada true colours about life....merekalah itu!
Bayangkan kami sudah bersama selama 2 tahun di mana saya mengajar Sastera dan Sejarah di kelas yang sama. Saya sudah masak dengan sepak terajang mereka. Saya tahu isi poket mereka.Saya tahu sisi lain hidup mereka yang orang tidak kenal. Terlalu banyak yang kami kongsi.Terlalu...
Kadang-kadang saya ini bukan sahaja jadi guru kelas bahkan saya jugalah pemandu mereka kalau mereka ada latihan atau kelas tambahan. Sayalah along kalau mereka tak ada wang saku. Sayalah kaunselor cinta tak bertauliah yang menyelesaikan permasalahan cinta monyet dan cinta beruk mereka. Saya juga ustazah yang menuliskan doa-doa untuk mengiringi kehidupan harian mereka agar lebih berkat, lebih kenal Allah. Sayalah teman mereka bergelak ketawa. Saya juga kawan ketika mereka menangis.
Malam tadi mereka kirim macam-macam puisi dalam grup wssup. Daripada seorang murid buta Sastera mereka belajar mencintai dan menghayati sastera.Mereka mahir meluahkan rasa,kritikan sosial dalam bentuk puisi moden atau puisi tradisional. Pantun 4 kerat, 6 kerat, 8 kerat sudah jadi mainan bibir mereka.Saya tidak mahu jadi guru yang memaksa mereka dapat A dalam peperiksaan.Saya mahu jadi guru yang mengajar anak-anak saya menikmati ilmu sebagai titian kehidupan dunia dan akhirat. Hubungan pelajar-pelajar ini yang datangnya dari 2 kelas bertukar dari musuh ketat semasa Tingkatan 4 menjadi saudara sehidup semati semasa di Tingkatan 5.Saya ajar mereka hidup berkasih sayang, menerima kekurangan dan kelebihan orang lain,bukan merasakan diri sendiri sahaja yang hebat!
Kepada anak-anak didik saya yang berlepas dengan perahu-perahu kecil , tabahlah menghadapi gelombang hidup yang lebih ganas, Cikgu sudah tidak pegang tangan kamu lagi.Tapi peganglah pada nasihat -nasihat cikgu..Ingat Allah, ingat Rasulullah dalam setiap perkataan dan perbuatan kita!
Jika kamu pegang kepada itu, di manapun kamu belayar perahu kamu tak mungkin karam.
Sayu rasanya hati cikgu saat menulis catatan ini.....Tali kasih kita janganlah dileraikan oleh tamatnya  musim persekolahan dan peperiksaan. Tali kenangan kita janganlah diputuskan oleh jauhnya jarak pertemuan.

Duduk bermadah dalam taman
Bersyair duka lagunya sendu
Terlerai sudah sebuah pertemuan
Tertinggal hanya seberkas rindu

Bersyair duka lagunya sendu
Hiasan taman lalang melata
Tertinggal hanya seberkas rindu
Buat peneman si air mata.......