Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Isnin, 28 Disember 2015

Danish Fitrie Dan Puisi Tepi Jalan Fyn Jamal

Musim tunggu result SPM.Kebanyakan anak murid saya kerja sambilan sementara result belum keluar.Ada yang kerja di kedai kek, di kilang coklat, di restoren makanan segera dan di kedai buku. Salah seorang anak murid saya Danish Fitrie namanya, bekerja di kedai buku MPH. Suatu hari dia tulis dalam wssup grup kelasnya." Siapa nak beli buku Puisi Tepi Jalan F yn Jamal pm saya." Wow terbeliak mata saya.Danish tiba- tiba promosi buku puisi dalam grup wssup." Saya dah baca buku ni, berkerut dahi fikir apa yang Fyn tulis.Bagi saya buku ini TERBAIK". Saya tersenyum sumbing.Wajah Danish terbayang.Walaupun dikategorikan budak yang agak bijak tak ada matapelajaran yang mampu menarik perhatiannya.Boleh dikatakan dia tidur masa semua subjek termasuk subjek Sastera.Dia juga gagal semua subjek masa percubaan SPM. Paling buat saya jengkel dia berani keluar awal masa peperiksaan Sejarah .Barangkali dia terkejut dengan nama Ferdinand Maggelan yang tertera di situ.Dia tak pernah baca buku teks.Malah tak satupun teks sastera SPM  saya confirm dia telah baca. Tapi dia baca puisi Fyn Jamal.Tahniah Fyn.Jujur saya katakan saya sudah lama tak ikuti perkembangan Fyn Jamal.Selain terkesan dengan lirik lagu Arjuna Beta kemudian saya tak peduli tentang Fyn Jamal.Sehinggalah Danish Fitri bercakap tentang Fyn Jamal dalam wssup grup.Sayapun search sebuah dua petikan Puisi Tepi Jalan secara online.
Hebat bukan sebab gaya bahasanya yang pop dan rock.Hebat sebab ada keberanian yang penulis tersohorpun belum tentu berani menyentuh isu atau pemikiran yang Fyn utarakan .Itu komen saya.Barangkali suara Fyn mewakili suara anak muda kerana itu bukunya menarik minat orang muda macam Danish. Danish yang saya  lihat personalitinya seorang rebel atau pemberontak.Dia tidak betah belajar dalam sistem pendidikan yang sedia ada.Barangkali he search for something.Saya berbalas -balas mesej dalam wssup grup yang akhirnya dia menulis.
" Cikgu kalau gaji nanti saya hantar buku puisi Fyn Jamal.I promise".
Saya bangga walaupun  dia bukan favourite student dalam kelas Sastera saya tapi sekurang-kurangnya sekarang dia baca buku puisi. Peluang bekerja di gedung buku menjadikan dia seorang peminat buku.Buku puisi pulak tu.Cayalah Danish..khabarnya khatam buku Puisi Tepi Jalan.Semoga lebih ramai' Fyn Jamal' 'menulis buku untuk orang macam Danish Fitrie!

Rabu, 16 Disember 2015

Diari Cuti Penggalku Di Kampung

Saya menikmati cuti di kampung dengan tenang tapi memikul tanggungjawab sosial menjaga dan merawat nenek yang berusia dalam lingkungan 90an.Tiada lagi suara bebelan dan kritikannya pada semua perkara.Semasa sihat dia terkenal banyak cakap dan peramah Kini dia terbaring lesu menghabiskan sisa sia usia tuanya.
Cucu kandungnya cuma saya  dan adik beradik saya .Yang lain cucu tiri kerana nenek berkahwin lain selepas arwah datuk saya meninggal dunia.Saya teringat semasa muda dahulu dialah yang membesarkan anak anak tiri dan anak angkatnya.Rumahnya di hujung kampung jadi tempat cucu cucu bermain baik cucu tiri,cucu angkat atau cucu kandung.Ada juga antara cucu cucu itu bersekolah di bawah jagaannya kerana ibu bapa bekerja jauh.
Sekarang semua tinggal kenangan.Saya sendiri yang sepatutnya menjaganya melepaskan tanggungjawab itu pada abah dan mak tiri ketana sukar dapat pembantu yang sesuai.Adik adik saya yang sudah berkeluarga janganlah diharap sangat.Beban keluarga anak isteri  terpikul berat dalam kamus hidup mereka.Jika hidup ini sebuah filem semua yang indah indah dalam hidup nenek hanyalah imbas kembali yang samar samar dan tidak jelas .Semua macam bayangan sahaja.
Hanya kesepiam mengisi hari tuanya.Tidak ada siapa yang harus dipersalahkan.Saya juga bukan cucu yang sempurna.Serba serbi kurang.Cuti sekolah saya bawa anak saya tinggal di rumah abah.Rutin hidup kami pagi -pagi memancing di tali air belakang rumah.Dapat puyu atau sepat goreng kunyit enak sangat dimakan dengan sayur kampung seperti pucuk ubi,cekur,pucuk labu, kangkung yang terdapat di sekeliling rumah abah.Tidak banyak yang saya dapat bantu.Sekadar memandikan,menyuapkan makan minum,memakai pampers,membuang najis, itu sahaja.Saya kira pengorbanan ini amat kecil macam zarah dalam laut.Sepatutnya saya yang jaga kebajikan dia di usia senjanya namun saya terbeban dengan kerja , kesukaran dapat pembantu yang sanggup berkhidmat menjaga orang tua dan lokasi rumah yang privacy serta jauh dari jiran tetangga.Dunia kehidupan hari ini yang semakin global mengecilkan ruang untuk manusia hidup berkasih sayang. Ruang keluarga primer iaitu anak -anak , ibu dan ayah terbatas dan tidak lagi menyerap dalam kehidupan ahli keluarga sekunder yang lain seperti datuk , nenek, pakcik, makcik, saudara mara dan sepupu sepapat.Tak apalah...sudah nasib nenek begini.Dia bukan sesiapa kini.Hanya sekujur tubuh kering layu menunggu masa dijemput Ilahi.Dia hidup dalam kerinduan yang tiada berpenghujung.Merindui insan-insan yang pernah dibelai,disayang,
dimanja sewaktu hayatnya muda dahulu.
Putaran hidupnya sudah lengkap.Dia jadi bayi semula yang mengharap jagaan dan belas kasihan orang lain.
Sewaktu menyuap makanan ke mulutnya hati berbekas kesedihan.Dia makan apa yang kita suap tanpa mampu meminta apa apa.Yang saya lihat hanya jasad yang bernyawa tanpa apa- apa perasaan.Barangkali perasaan itu sudah lama mati.Dia tidak mampu lagi untuk berbicara .Barangkali tiada lagi perbendaharaan kata untuk mengungkap emosi hari tuanya yang sepi ,asing dan tersisih dari kehidupan insan- insan  lain

Aktiviti budak kampung memancing...
 Tali air tempat memancing puyu dan sepat di belakang rumah
Rumah abah taman dekat sawah padi ada halaman sayur mayur

Isnin, 14 Disember 2015

Jejak Arkeologi Lembah Bujang

Seperti sejarah Hang Tuah yang tercatat dalam dokumentasi di Pulau Ryukyu Jepun,kisah keagungan kerajaan Kataha di Lembah Bujang terakam dalam puisi Tamil bertajuk Pathanapalai sekitar abad ke 2 Masihi.Kerajaan ini digambarkan aman makmur dan gilang gemilang lengkap dengan segala kemudahan.Muzium Arkeologi Lembah Bujang di Kedah menyimpan artifak dan binaan candi yang membuktikan wujudnya kerajaan Hindu Budha yang disifatkan antara kerajaan tertua di Malaysia.
Menyusuri kembali Lembah Bujang bersama anak dan suami  setelah berbelas tahun tidak ke sini mengembalikan nostalgia bertandang bersama Persatuan Sejarah daerah Klang semasa berkhidmat di SMK P Kapar.Segalanya kekal cantik,tenang, dan fenomena lereng bukit serta lembahnya yang disirami deruan air terjun...
Banyak kemudahan homestay di pekan sekitar , tetapi kosong dan sepi kerana mengunjungi tempat bersejarah bukan kebiasaan masyarakat Malaysia.

 Kawasan sekitar galeri indah dan asyik
 Terdapat air terjun yang mendamaikan
 Sayup sayup di kawasan lembah
 Pemandangan dari atas lereng
 Tangga untuk mendaki kawasan candi
 Salah satu candi yang dinamakan candi Batu Pahat

Rabu, 9 Disember 2015

Assalamualaikum Abang ( khas buat suamiku yang menyambut ulangtahun esok)

Assalamualaikum abang
Maaf subuh tadi tak kucup tangan
Tak ciun pipi
Maaf terlupa jadi bidadari dunia
Maaf terlupa jadi kekasih sejati.

Assalamualaikum abang
Semalam tak masak nasi
Hanya goreng mi hailam
Maaf terlupa jadi terbaik
Memenuhi seleramu

Assalamualaikum abang
Malam tadi tertidur awal
Tak teman abang tengok TV
Tak duduk di sisi
Maaf terlupa jadi penghibur
Yang manja dan merawat sepi

Assalamualaikum abang
Semalam bertengkar
Bila nak balik kampung
Pukul berapa nak bertolak
Maaf terlupa jadi patuh
Maaf terlupa jadi setia

Assalamualaikum abang
Hari ini sayang bersyukur
Ada abang sebagai teman
Paling sabar
Paling beriman
Selamat ulangtahun mu esok
Ucapan dari isterimu
Wanita bertuah dipilih Allah
Hidup disampingmu..

Terima Kasih Mualimah

Terima kasih mualimah
Ajar saya membaca
Ajar saya menulis
Ajar saya mengira

Terima kash mualimah
Ajar saya solat
Ajar saya mengaji
Ajar saya kenal Allah
Ajar saya kenal Rasulullah
Terima kasih mualimah
Jadi ibu bapa masa saya di tadika
Ajar saya doa makan
Ajar saya berdikari
Ajar saya tabah
Terima kasih mualimah
Ajar saya macam-macam
Hingga saya jadi insan

Terima kasih mualimah
Walau bukan
seorang doktor
Walau bukan
seorang ahli farmasi
Walau bukan
seorang pengurus bergaji besar
Mualimahlah yang  membuka
dunia saya yang kecil
jadi besar dan besar...

Terima kasih mualimah

Sajak di atas saya tujukan untuk mualimah di Pasti Imtiyaz Sg Serdang yang telah berjasa mendidik anak saya sehingga tamat pengajian di kelas pra Tahfiz dan akan masuk darjah satu tahun 2016.Alhamdulilah anak saya telah mengguasai bacaan bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Jawi.Daripada seorang anak yang kena gertak dengan sebilah rotan kemudian menangis kalau saya suruh membaca kini dia mampu membaca buku cerita tanpa disuruh-suruh, Semua ini peranan seorang guru atau anak saya panggil mualimah.Sewaktu saya berjumpa guru kelasnya untuk menandatangani buku rekod pencapaian, gurunya yang bersemangat itu berkata. "Anak puan dah boleh membaca bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, nanti saya nak ajar Jawi pulak.." Dalam hati saya memuji-muji cikgu muda yang anak saya panggil mualimah Kina itu kerana saya tahu anak saya bukan minat sangat membaca.Walaupun mudah pick up tapi dia lebih gila bermain atau melompat-lompat, Semasa majlis graduasi saya terkejut juga namanya tersenarai antara kanak-kanak yang menguasai 3 bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Arab/Jawi. Siapa kata tadika luar bandar tak mampu hasilkan produk cemerlang? Siapa kata guru bukan pekerja profesional.? Waaupun tanpa ijazah seorang guru  tadikapun besar impaknya dalam kehdupan insan.Sekarang saya sedang mengasah bacaan muqadam anak saya. Saya dapati tugas saya agak mudah walaupun sebutan hurufnya banyak salah kerana sekurang-kurangnya dia kenal tulisan Jawi.Dengan linangan air mata kalau suami saya yang mengajar mengajipun saya tegaskan juga pada anak saya..Hidup kita sebagai orang Islam harus pandai mengaji al Quran.Kepada anda yang rasa peranan guru itu kecil sehingga sanggup menghina dan membanding-banding dengan kerjaya profesional lainnya fikirlah, kenang kembali. Tanpa guru tadika anda yang tidak berkelulusan tinggi itu, sebaris perkataan untuk menulis ayat inipun anda tidak mampu... Kalau pandai dia tak jadi cikgu, dia jadi doktor ahli farmasi atau engineer (petikan wssup kawan saya). Fikir-fikirkan................


TIADA SIAPA TAHU (MENGENANG KEMBALINYA PAK YUS JAMBU KE RAHMATULLAH)

Tiada siapa tahu
Kapan senyuman kita
akan jadi senyuman akhir
Kapan pelukan  kita
akan jadi pelukan  akhir
Kapan ucapan kita
akan dikenang sebagai kata-kata akhir
Tiada siapa tahu

Tiada siapa tahu
Kapan kebaikan kita
yang dahulu dipandang remeh
tiba-tiba disebut  kembali
Kapan sedekah kita yang tak seberapa
akan diingat berjuta kali ganda
Kapan nasihat kita yang biasa biasa
akan jadi fatwa pujangga
Tiada siapa tahu

Tiada siapa tahu
Kapan gurau senda kita
akan jadi memori terindah
Kapan secangkir jenaka kita yang dahulu orang tertawa
kini jadi suatu kerinduan yang memilukan
Kapan semua yang pernah benci
akan terasa sayang kembali
Tiada siapa tahu

Tiada siapa tahu
Kapan kisahmu dsebut-sebut orang
Kapan gambarmu dicari-cari
dalam album lama
Kapan kesakitan yang kau tanggung sendiri
tiba-tiba semua orang merasainya
Tiada siapa tahu

Tiada siapa tahu
Kapan namamu yang pernah terpinggir akan dinobat setinggi gunung
Kapan riwayat hidupmu yang sederhana akan dibaca orang setiap masa
Kapan sejarah cintamu yang lara
akan jadi ilham sebuah puisi luka
Tiada siapa tahu

Tiada siapa tahu
Kapan semua kesepian itu
akan jadi sebuah bahagia
Kapan fatanorgana dan mimpi mimpi
akan jadi istana realiti
Kapan titis titis air mata
akan jadi sungai mengalir jernih di sana
Kapan semua derita
akan jadi taman syurga
Tiada siapa tahu.....

Tiada siapa tahu
Perjanjian kita dengan pencipta
Kerana Dia telah menulis skrip terbaik
Perjalanan cerita kita
Seorang hambaNya...............




Selasa, 1 Disember 2015

SALAM PERPISAHAN 5 Dinamik dan 5 Efisien 2015

Saya bangun pagi dengan suatu perasaan yang asing, Sepi. Aneh masa bersama mereka saya rasakan pelbagai perasaan.Marah.Bengang.Geram.Sakit hati.Apabila mereka pergi daripada hidup saya, saya berasa jauh ditinggalkan di sebuah pulau yang asing. Saya nampak perahu-perahu kecil mereka belayar meninggalkan saya.Perahu-perahu itu menuju lautan luas yang besar yang bergelombang.
Aduh, mengapa sakit apabila ditinggalkan.Mengapa? Mengapa ada sayu menggigit-gigit.
Semalam mereka menduduki peperiksaan Sastera Melayu SPM. Seperti seorang ibu yang ada anak kecil saya memimpin tangan mereka dengan iringan doa.Cemas. Resah.Semua bermain-main dalam tangkai hati.Mereka masih macam anak kecil saya yang manja.Minta dibelai.Minta disayang.Walapupun saya tahu mereka takut untuk berperang dan berjuang saya kuatkan semangat mereka.Saya katakan senjata kamu ialah doa dan kasih sayang saya. Saya sembunyikan perasaan gementar seorang ibu melepaskan anak ke medan perang. Alhamdulilah 2 jam 30 minit mereka bertempur tanpa senjata.Keluar dari dewan peperiksaan majoriti tersenyum puas.Oh! anak-anakku yang nakal rasanya baru semalam kita bertemu.Baru semalam kita sama-sama menyanyikan lagu Cinta Gunung Jerai dan Taman Astakona sambil menghayati makna pensonifikasi,metafora, sinkof,
simile dan pelbagai lagi hari ini kita sudah berpisah.Rasanya baru semalam mendengar syair Zulhelmi Bugiran yang sumbang mambang mengalunkan Si Burung Nuri hari ini tiada lagi syair versi pelik itu.Rasanya baru semalam melihat kamu mementaskan teks Dari Lembah Ke Puncak dengan pelbagai gaya dan aksi, hari ini teks itu sudah kamu pulangkan ke BILIK SPBT. Semuanya sudah tidak menjadi milik kita. Suara jeritan cikgu yang kuat sampai guru kelas sebelah turut terganggu.Suara leteran cikgu pada Pancau ,pada Akim yang suka ponteng sekolah.Semua tak lagi jadi milik kita...
Hari ini saya lihat  dalam grup WSSUP EX LOVING SASTERARIANS bertubi-tubi mesej....Rindu cikgu.Sayang cikgu.....Hei, patutlah sejak berpisah dengan mereka semalam saya berasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena. Rasa sepi. Rasa kosong .Rasa perjuangan sudah berakhir.Padahal tahun hadapan saya akan terus menjadi guru di kelas lain.Namun kenangan bersama 5 Dinamik dan 5 Efisien di SMK Jeram berbekas amat kuat di dalam hati. Ibarat saya menonton sebuah filem yang di dalamnya ada true colours about life....merekalah itu!
Bayangkan kami sudah bersama selama 2 tahun di mana saya mengajar Sastera dan Sejarah di kelas yang sama. Saya sudah masak dengan sepak terajang mereka. Saya tahu isi poket mereka.Saya tahu sisi lain hidup mereka yang orang tidak kenal. Terlalu banyak yang kami kongsi.Terlalu...
Kadang-kadang saya ini bukan sahaja jadi guru kelas bahkan saya jugalah pemandu mereka kalau mereka ada latihan atau kelas tambahan. Sayalah along kalau mereka tak ada wang saku. Sayalah kaunselor cinta tak bertauliah yang menyelesaikan permasalahan cinta monyet dan cinta beruk mereka. Saya juga ustazah yang menuliskan doa-doa untuk mengiringi kehidupan harian mereka agar lebih berkat, lebih kenal Allah. Sayalah teman mereka bergelak ketawa. Saya juga kawan ketika mereka menangis.
Malam tadi mereka kirim macam-macam puisi dalam grup wssup. Daripada seorang murid buta Sastera mereka belajar mencintai dan menghayati sastera.Mereka mahir meluahkan rasa,kritikan sosial dalam bentuk puisi moden atau puisi tradisional. Pantun 4 kerat, 6 kerat, 8 kerat sudah jadi mainan bibir mereka.Saya tidak mahu jadi guru yang memaksa mereka dapat A dalam peperiksaan.Saya mahu jadi guru yang mengajar anak-anak saya menikmati ilmu sebagai titian kehidupan dunia dan akhirat. Hubungan pelajar-pelajar ini yang datangnya dari 2 kelas bertukar dari musuh ketat semasa Tingkatan 4 menjadi saudara sehidup semati semasa di Tingkatan 5.Saya ajar mereka hidup berkasih sayang, menerima kekurangan dan kelebihan orang lain,bukan merasakan diri sendiri sahaja yang hebat!
Kepada anak-anak didik saya yang berlepas dengan perahu-perahu kecil , tabahlah menghadapi gelombang hidup yang lebih ganas, Cikgu sudah tidak pegang tangan kamu lagi.Tapi peganglah pada nasihat -nasihat cikgu..Ingat Allah, ingat Rasulullah dalam setiap perkataan dan perbuatan kita!
Jika kamu pegang kepada itu, di manapun kamu belayar perahu kamu tak mungkin karam.
Sayu rasanya hati cikgu saat menulis catatan ini.....Tali kasih kita janganlah dileraikan oleh tamatnya  musim persekolahan dan peperiksaan. Tali kenangan kita janganlah diputuskan oleh jauhnya jarak pertemuan.

Duduk bermadah dalam taman
Bersyair duka lagunya sendu
Terlerai sudah sebuah pertemuan
Tertinggal hanya seberkas rindu

Bersyair duka lagunya sendu
Hiasan taman lalang melata
Tertinggal hanya seberkas rindu
Buat peneman si air mata.......


Rabu, 28 Oktober 2015

Di Mana Pusaramu Sayang? (Mengenang tragedi MH 370)


 Di mana pusaramu sayang?

 untuk kujejaki
 tika angin kerinduan bertiup
 tika seruling keresahan berlagu sayup

Di mana pusaramu emak?
untuk kudatangi
tika air mata menjadi hujan
tika tangisan bertakung semalaman

Di mana pusaramu ayah?
untuk kucabut lalang nan menghijau
untuk kutanam pohon kemboja putih
sebagai lambang cinta kasih

Di mana pusaramu teman?
untuk kususuri sungai kenangan
yang airnya takkan pernah surut
walau kemarau hangat meragut

Di mana pusaramu  Kapten Zahari?
untuk kuukir tugu pahlawan
seorang lagenda seorang wira
dalam zuhud,dalam diam menabur jasa.

Di mana pusaramu Kapten Farid
untuk kutulis suatu catatan
seorang pemuda berjiwa kental
gagah berani menakluk angkasa.

Di mana pusaramu anak-anak kapal ?
untuk kupatrikan lambang kemegahan
MAS,
burung besi gagah melayang di awan
terbang dari sebuah bumi indah permai
meredah samudera
memintas awan
meraih makna bebas merdeka
dari jajahan
dari neokolonialisme
dari igauan kekerdilan bangsa


Di mana pusaramu?
ingin kujejaki
walau di dalam belantara belukar
atau di rimba sarat onak duri
atau tinggal hanya serpihan zarah zarah kecil
dalam luas lautan tak bertepi

Di mana pusaramu dik?
ingin kuhampiri
ingin kubacakan al Fatihah
ingin kusentuh batu nesanmu..

Di mana pusaramu ?
ingin kukunjungi
walau jasadmu tak bisa kelihatan
agar rasa sakit dan kepiluan ini
hilang perlahan -lahan.


 Di mana pusaramu kekasih?

 untuk kudakap setia penantian
 janji kita di malam pertama
 hanya maut bisa memisahkan.

Di mana pusaramu tunangku?
untuk kubacakan puisi pengantin
yang kita cipta semusim lalu
menanti pelamin menjadi syurga.

Dimana pusaramu suamiku?
untuk kubawa anak-anak kita
yang saban hari tak henti bertanya
mama...........
di mana papa?

Dimana pusaramu isteriku?
untukku nyanyikan lagu sepi
seorang lelaki ditinggal pergi
tanpa pesan, tanpa pamitan

Di mana pusaramu anakku,menantuku?
untukku hilangkan sunyi
hari tuaku yang asing dan ngeri
jauh dari perkhabaran dunia

Di mana pusaramu kekanda?
dinda mencari
hujung benua ke hujung benua
hingga kering air di tempayan.

Di mana pusaramu adinda?
kanda mencari
hujung sahara ke hujung sahara
hingga gugur bintang di langit.

Di mana pusaramu?
di mana.....
wahai angin jawablah pertanyaanku
di mana pusaramu?

Di mana pusaramu?
di mana....
wahai bulan jawablah salamku
salam cinta tak kesampaian.

Di mana pusaramu MH 370?
di mana...
untuk kami rakyat Malaysia 
memeluk erat kotak hitam
dalam keberanian
menuntut keadilan
 
Wahai Tuhan
ampuni kami
kasihani kami
berikan kami kekuatan luar biasa !























Anak Oh Anak !

Ketika engkau dilahirkan
Engkau menerangi alam
Kegelapan ayah dan ibumu....
                                                (petikan lagu Anak nyanyian Freedie Aguilar)
Benar kelahiran seorang anak amat beerti dalam sebuah rumah tangga. Dalam bahasa Arab, perkataan anak bermaksud "Quratul Aqyun" yang bermaksud cahaya mata.Dahulu saya tidak mengerti apa maksud cahaya mata sehinggalah saya mempunyai anak.Walaupun seorang , anak menepati pengertian cahaya mata andainya anak itu dengan keletah dan sikapnya bisa membuat kita bahagia dan tertawa. Itu yang saya rasakan sebagai ibu.Hilang penat lelah kita bekerja melihat suatu perkara kecll yang baik dilakukan  oleh anak.Hilang semua resah, semua tekanan apabila mendengar halus tulus dan hormatnya perkataan anak apabila berbicara dengan ibu bapa. Di rumah saya mewajibkan anak menuturkan ayat-ayat ini.Pertama " Terima Kasih"
Kedua " Maafkan Saya" dan ketiga " Bolehkah Saya...." .Alhamdullah 3 ayat itu menjadi mainan di bibir anak saya walaupun dia kadang-kadang nakal juga.Namun perkataan itu jika diucapkan selalu akan memadam api kemarahan kita. Benarlah anak adalah cahaya mata,
Kisah anak yang saya tulis kali ini ialah suatu  kisah benar. Seorang ibu yang hidup susah cuba membahagiakan anak-anaknya sebab pada pendapat ibu ini wang akan menjamin kebahagiaan keluarganya. Maka dia pun melakukan dua tiga empat pekerjaan sambil menyertai pernagaan MLM.
Niat yang baik untuk membantu ekonomi keluarga akhirnya bertukar menjadi suatu kesudahan yang buruk. Anak-anak yang terbiar dan terabai semakin liar dan nakal. Salah seorang anak lelakinya menjadi seorrang remaja bermasaalah sehingga terlibat dalam kegiatan pecah rumah,meragut dan mencuri, Apabila berbual dengan ibu ini saya dapati memang dia langsung tiada masa untuk anak-anak yang ramai dan perlukan perhatian. Hujung minggu menghadiri perjumpaan MLM.
Masakan ibu sudah lama tidak dicicipi. Kata-kata ibu,gurau senda ibu,senyuman manis ibu sudah lama tidak dilihat oleh anak-anak. Apabila ditanya kenapa dia buat kerja sampai tiada masa untuk anak anak,dia jawab tuntutan hdup...Nak bayar sewa rumah,bayaran  bulanan kereta, bil air,elektrik,astro,telefon , belanja sekolah anak dan sebagainya. Duit belanja anak sekolah sehari 5 ringgit kali 5 orang anak sama dengan 25ringgit. Hampir mencecah 20 ringgit jika ada kokurikulum. Sebulan sudah berapa?
Itu belum dikira perbelanjaan anak prasekolah yang mencecah ratusan ringgit sebulan.Aduhai...
Lantas saya teringat kenangan sewaktu saya bersekolah lebih 30 tahun yang lalu. Abah saya seorang saja bekerja membanting tulang.Kerjanya sebagai pengawal keselamatandan buruh kampung.
Kami hidup susah. Emak akan pastikan setiap hari dia masak nasi.Semua anak-anak tidak diberi wang saku tapi dibekalkan nasi. Lauknya bukan seimbang tapi cukup untuk membangkitan selera.Sambal telur, sambal bilis dengan terung tepokak, itu antara menu yang saya ingat. Kadang-kadang dia bawakan bekal lempeng,cucur kucai,cucur bilis yang mengenyangkan. Dari situ arwah emak membuat tabungan tidak membelanjakan semua wang pemberian abah.Emak jarang keluar rumah.Dia menjadi pengurus rumah tangga yang cekap. Sebelah malam dia sendiri duduk mengajar anak-anak mengaji al Quran. Apabila bercerita dia jarang mengumpat keburukan orang melainkan  bercerita kisah-kisah keluarga kami yang terdahulu, nenek moyang yang sudah meninggal dunia dan memuji-muji kalau ada orang kampung yang berkelakuan baik.
Simple tapi berkat.Air tangan emak yang mengalir jadi darah daging kami.
Selain menjimatkan perbelanjaan,ia merapatkan kemesraan.

Berbalik kepada kisah ibu tadi ia bukan kisah ibu itu seorang.Ia kisah ratusan malah ribuan ibu yang terpedaya dengan tuntuntan wang ringgit sehingga mengabaikan anak-anak.Yang paling sedih melihat dia yang terlalu terdesak untuk melihat keluarga bahagia kemudian menyertai MLM yang jika tidak diurus dengan baik akan menyebabkan kewangan semakin parah..Dia memberitahu saya akibat tidak dapat downline dia bukan berfungsi sebagai penjual tapi pengguna produk yang terpaksa membelanjakan sejumlah wang untuk produk yang dibelinya.Sedih saya dengar pengakuannya..
Bahagia bukan pada wang.Bahagia terletak pada berkat.Segudang wang boleh habis jika tidak diurus dengan baik.Setitis kasih dan imanlah cahaya hidup insan..
Anak yang sepatutnya membahagiakan bisa berubah menjadi ujian besar dan mendukacitakan jika kita membesarkan mereka dengan tuntutan kebendaan lantas membiarkan jiwa mereka kosong dan sepi..
Ibu bapa zaman sekarang cuba imbas kembali cara ibu bapa dahulu membesarkan kita.Mungkin tidak sempurna namun ada suatu kekuatan pada diri mereka.Mereka tabah mengajar kita erti hidup susah dan tidak menggelabah mencari jalan penyelesaian yang mudah.Ibu bapa kita mengajar kita bahawa dalam gubuk yang gelap gelita hanya ada setitis cahaya yang menyuluh hidup insan.Cahaya itu tak lain tak bukan ialah cahaya cinta dan iman. Lihatlah walaupun mereka hanya penoreh getah,pesawah padi,buruh kampung namun anak-anak dididik dengan sempurna ...kitalah itu,
Dan di tangan kita lahir pula suatu generasi hasil didikan kita..anak-anak kita.
Marilah kembali mengenang cara didikan itu!





Ahad, 11 Oktober 2015

Warkah Cikgu Aida Buat Pelajar 5 Dinamik dan 5 Efisien...

Assalamualaikum anak anakku...di 5 Dinamik dan 5  Efisien.

Apa khabar? Semoga semua sihat.Maklumlah  cuti semester seminggu.Malam tadi kita berwassup sampai pukul 11 malam. Ada yang tanya soalan folio Sastera, ada yang hantar gambar sedang dinner celebrate kemenangan pasukan bolasepak sekolah, ada yang gurau-gurau ,usik-usik. Farid saja bikin panas hantar gambar mesranya bersama pelakon Sharnaz Ahmad dan Pekin. Tahulah awak tu budak teater ..provokasi kawan -kawanlah tu. Si Kuntet pula hantar gambar bersama pelakon baru katanya..si Zul Bugiran. Kuntet paling pandai buat lawak.Terima kasih Kuntet masa kelas tambahan Sejarah kamu jadi artis tiap setengah jam nyanyi satu lagu d hadapan kelas biar tak ada yang tertidur.

Cikgu memlih untuk menulis surat ini kerana dalam wssup tak semua isi hati terhurai. Zaman dahulu sebelum ada alam maya,siber, internet, surat adalah penghubung utama. Sebenarnya surat atau warkah ada sentuhan sendiri yang lebih "touching" berbanding wssup,telegram atau wechat.Sebenarnya cikgu nak beritahu betapa bersyukurnya cikgu dapat mengajar anak-anak macam kamu.
Walaupun kamu nakal, malas, suka tidur dalam kelas, melawan cakap cikgu ,kerja rumah tak siap,kamulah anugerah terindah dalam hdup cikgu.
Tanpa kamu cikgu tak kenal erti perjuangan. Tanpa kamu cikgu tak tahu erti ketabahan. Tanpa kamu cikgu tak mengerti bahawa kasih sayang sejati harus tanpa syarat. Cikgu bukan cikgu yang lemah lembut dalam kelas, walaupun di luar ramai yang cakap cikgu lemah lembut. Suara cikgu selalu meninggi. Kadang-kadang kamu terpaksa tutup telnga mendengar leteran cikgu yang berbisa. Belum lagi jeritan cikgu tatkala melihat mata kamu semua terpisat-pisat baru bangun tidur sebak sahaja cikgu masuk ke kelas. Jangan tidur dalam kelas cikgu..itu pantang nenek moyang.Yang masih mengantuk terpisat-pisat mata biasanya kena cubit dekat perut, kena balun dekat belakang,kena tarik telinga sampai merah. Yang selalu kena hadiah istmewa macam tu, Hakim, Iwan, Shahril, Danish, dari kelas Efsien. Hakim terutamanya dah kena balun pun ada hati nak sambung tdur. Iwan selalu bagi alasan tidur lambat. Cikgu peduli apa tidur lambat.Bukan dia kerja jaga atau guard tapi merayau tiap-tiap malam bersama kawan. Shahril pula ikut kepala masa rajin rajinlah sangat, masa malas layan malasnya sampai mengences dalam kelas.
Danish seorang budak yang bijak tapi tak tahulah akhir-akhr ini macam orang kematian isteri.Kerenah kamu buat cikgu angin satu badan. Terlupa yang cikgu ni cikgu perempuan, jadi gangster dalam kelas.Tapi alhamdulilah anak-anak cikgu ini masih berbudi orangnya. Marah macam manapun  kamu tak pernah 
dendam. Hakim yang handsome dan macho selalunya selepas habis kelas akan tersengih-sengih cari cikgu.Minta maaf cikgu....lembut tuturnya.Luluh hati cikgu dengan perkataan maafnya walau sudah berpuluh kali diucapkan. Begtu juga Iwan...ada sahaja alasan diberi dengan senyuman meleret panjang.
Anak-anak cikgu sekalian...cuba bayangkan seawal jam 6 30 pagi cikgu sudah berangkat ke sekolah.Melihat wajah-wajah nakal kamu dari 2 kelas ini selama berpuluh-puluh jam seminggu. Keluar masuk kelas 5 Dinamik dan 5 Efisien.
Ada sebab kenapa cikgu pertahankan jadual waktu yang pengetua tetapkan pada awal tahun,mengajar kamu 3 subjek sekaligus, Sejarah, Sastera Melayu dan PSK. Cikgu mahu kenal kamu sedalam-dalamnya. Cikgu mahu berjuang bersama kamu mengubah hidup kamu. Sebab cikgu nampak potensi yang besar dalam mata kamu sejak kamu berada dalam Tngkatan 4 lagi. Alhamdullah anak-anak cikgu ramai yang telah terjumpa "the turning point" dalam hidup.
Amir , lelaki yang suka berangan,tidur dan khayal kini salah seorang pelajar yang dapat medal "Akulah Bintang" mewakil kelasnya. Khaizurin atau nama glamournya Apek sekarang rajin datang kelas tambahan.Mamat dan Ikmal pun sudah mahu jadi protege Amir.Adam selalu bergaduh dalam kelas dengan ckgu. Kini hari-hari hantar mesej...Cikgu saya sudah insaf.Alhamduliah.Kenapa nama-nama pelajar lelaki banyak dalam warkah ini.? Bukan sebab tak sayang pelajar perempuan tapi pelajar perempuan mudah dididik, mendengar kata dan rajin belajar. Pelajar lelaki kerana nak jadi macho sampai lupa nak rendahkan ego di hadapan orang yang lebih tua dan mengajar kamu. Tapi anak-anak jangan pernah marah kalau cikgu bandng-bandingkan kamu.Tiada yang lebh hebat atau kurang hebat di mata cikgu. Cuma cikgu suka "highight " kejayaan kawan kamu agar kamu nampak potensi diri semua orang sama sahaja.Tidak kira di kelas belakang atau kelas hadapan...kamu tetap boleh jadi bintang.

Surat ini cikgu sambung tulis selepas cuti semester ,kemudian kamu semua dapat cuti 2 hari lagi iaitu cuti kerana negara dianda bencana alam jerebu.Masa cuti jadi lebih panjang, cikgu baca luahan hati dalam wssup grup...Eh cuti lagi,periksa dah dekat..Bila cikgu nak buat keas tambahan? Nampaknya beberapa minggu menjelang peperiksaan baru kamu tersedar.SPM sudah dekat.
Garis pertemuan antara kita semakin hampir untuk terlerai. Kelas 5 Dinamik juga kelas 5 Efisen ....perjuangan cikgu sudah semakin sampai ke garisan penamat.Namun perjuangan kamu di medan peperksaan akan bermula.Kepada Ainin, Sabrina, Aisah, Siti, Wani, Bella, Ecah,Ain, Chika,Ika,Niza ,Najwa,Farahin,Ayu cikgu berdoa mudah-mudahan kamu bukan saja menjadi pelajar perempuan terbaik dalam akademik, namun juga akan melangkah jadi muslimah yang solehah ,cinta akan Allah dan rasul, jadi isteri dan ibu sejati, bidadari dunia yang akan menjadi perhaiasan terindah.Begitu juga Mimi, Haida,Dayah,Anisha,Zafira,Syafika,Ain,Umi,Wawa, Yaya, Nadia dan Maria..selalulah ingat pesan cikgu, jadilah wanita Melayu terbaik dengan Islam sebagai pakaian luaran dan dalaman.
Kepada Faiz Azha, Zul,Olan,Kuntet,Farid,Haziq,Nazrin,Fazreen,Firdaus, Azizi,Shahril ,Akim, kamu jangan ketinggalan dalam dunia akhir zaman di mana wanita berebut-rebut peluang untuk jadi the best among the best.
Amir, Mizi,Aiman,Faez, Shahril, Iwan, Apek,Aiman Hakim,Mamat,Nizam ,Iqmal ,Danish,Hakimi , Hakim, Adam,jangan berasa diri kerdil dan kecil .Perasaan kerdil dan kecil itulah musuh utama kamu sebenarnya...
Akhir kata cikgu ingin menyatakan walau sakitnya pukulan dan cubitan yang hinggap di tubuh kamu namun sakit lagi perasaan cikgu jika melihat kamu gagal dalam peperiksaan apatah lagi melihat kamu gagal dalam kehidupan.
Salam sayang buat anak-anak cikgu. Kamu semua anugerah terindah yang Allah beri.Kepada Ain Syafiera...cikgu bahagia melihat perubahan kamu walaupun perubahan itu kamu anggap terlalu kecil. Jika kamu idamkan bahagia, hanya Allah yang akan memberi,bukan manusia. Belajarlah dari kesilapan.Bangunlah dari tempat kamu pernah jatuh,Jangan kejar cinta manusia nanti kamu ketinggalan cinta Allah,tapi kejarlah cinta Allah, nanti cinta manusia semua datang padamu.
Buat Wani yang memanggil cikgu  mama Haida, kenangan antara kita cikgu simpan dalam lubuk hati.Begitu juga Farid, kalau dah jadi bintang filem jangan lupa pada cikgu.Amirpun sama, mana tahu suatu hari nanti kamu jadi insan yang hebat di gelanggang teater.Begitu juga Siti, Ecah,Mizi,Mimi.
Semoga kenangan memasuki pertandingan drama 2 tahun berturut-turut mengajar kamu semua jadi insan kuat,cekal,tabah dan yakin diri kerana sesungguhnya gelanggang pertandingan adalah suatu ujian kecil berbanding gelanggang kehidupan yang lebih mencabar di luar nanti.
Buat semua yang cikgu tidak sentuh dalam surat ini,percayalah kamu semua ada suatu tempat istimewa dalam hati cikgu...hanya Allah yang tahu.Betapa cikgu amat sayang pada semua kamu.
Selamat menduduki peperiksaan SPM 2015

Selasa, 22 September 2015

SEKITAR MAJLIS PENUTUPAN BULAN KEMERDEKAAN DAN SAMBUTAN HARI MALAYSIA

Kali ini biarlah gambar berbicara betapa meriahnya sambutan penutupan Bulan Kemerdekaan peringkat sekolah SMK Jeram dan sambutan Hari Malaysia 2015. Sudah pasti orang kuat disebalik majlis gilang gemilang ini ialah orang-orang kuat Bidang Kemanusiaan yang ditunjangi Ketua Bdang, Ketua Panitia dan ahli-ahlinya. Seronok menikmati suasana patriotisme seperti ini, Pada saat ahli-ahli politik memilih untuk mengenengahkan survival politik mereka kami warga pendidik memilih untuk menyemai benih-benih patriotisme dalam diri anak-anak.
Lihatlah dengan pakaian tema warna bendera, warga pendidik bersatu hati menyangkutkan ideologi politik masing-masing di luar pagar sekolah.
Penat lelah saya berpakaian ala Tun Fatimah sebagai pengacara majlis berbayar sudah, Berbaloi berpeluh-peluh selama beberapa jam untuk sebuah majlis penuh pengertian seperti ini.Kami warga SMK Jeram memang selalu sehati sejiwa.....Tak percaya lihatlah gambar-gambar ini..
                    Tun Fatimah..kupinjam semangatmu dalam diam...untuk pertiwi tercinta!
                     Jelitawan SMK Jeram mengenakan busana Sehati Sejiwa.....
                                                           Perarakan motor berhias...
       Persembahan deklamasi sajak patriotik oleh pelajar Kelas Sastera 5 Dinamik dan Efisien
                                      Laungan merdeka...sumpah keramat di bumi bertuah !
                         Lihatlah kemeriahan sambutan ini walaupun cuma di perngkat sekolah
                                             Pemandangan dari atas pentas utama....
                    Perarakan para pentadbir dan VIP dari pintu pagar ke tapak perhmpunan
          Ramai yang nak selfie dengan Tun Fatimah dan Hang Tuah.. ( Abd Raziq Kasnan 5 Ibsina)
                Gambar saya bersama Cik Ramnah guru kesayangan pelajar SMK Jeram di pintu masuk
                 Kelas 5 Dnamik yang dpenuhi coretan puisi Sehati Sejiwa nukilan pelajar Sastera.

Isnin, 24 Ogos 2015

31hb Ogos 2015....Kenapa Sepi Tanpa Jalur Gemilang...

Beberapa hari lagi..kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan.Tema Sehati Sejiwa mengingatkan kita walau berbeza warna kulit,agama atau keturunan, darah merah kita mengalir panas,sama warnanya menuju hati,jiwa ,jantung dan kalbu..
Cinta..pada saya ia perlu dizahirkan bukan disimpan kemas dalam kamar hati.Bagaimana nak tahu kita cinta pada seseorang? Sudah pasti melalui tindakan, pertuturan,ucapan atau pemberian.Malangnya masyarakat Malaysia kurang pandai menzahirkan cinta..
Menyahut kempen Kibar Jalur Gemilangpun segan.Di kampung saya sendiri sehingga.catatan ini ditulis hanya ada beberapa buah rumah mengibarkan Jalur Gemilang.Rasanya tak sampai 10 buah rumah..Yang lain sepi..tak kisah,tak peduli,tak ada perasaan.Tanpa mengira perbezaan politik Jalur Gemilang seharusnya berkibar megah di rumah.setiap warganegara Malaysia..
Siapa peduli anda orang kuat Dato Najib, atau penyokong.tegar Anwar. Ibrahim atau pengikut setia Lim Kit.Siang hatta Haji Hadi   sekalipun..Jalur Gemilang tetap milik anda!
Perasaan nasionalisme dan patriotisme seharusnya mengatasi perasaan kepartian dan assabiyah politik.Tanah merdeka ini hanya sebuah.
Kepada yang darah merahnya menitis di sini kemudian apabila dewasa tega bermain api memperolok-olokkan lagu kebangsaan, memijak-mijak jalur gemilang dan memperolok-olokkan tanah air sendri..cuba anda hantar jasad tubuh anda ke suatu daerah asing yang panas dengan letupan bom, nuklear dan perang menggila. Di sanalah anda harus berdiri tegak dan menyumpah seranah tanah air sendiri. Kita tidak akan menghargai erti merdeka jika tubuh tak rasa hancur dimamah peluru.Kita juga tidak akan mengerti erti sengsara jika kita bukan nasionalis yang bergelut mengusir penjajah.Kepada yang menggelar diri Malaysian namun membenci  Malaysia..berhentilah menghina tanah air sendiri...
Kepada yang menggelar dirinya pejuang marilah mengenang persahabatan Dato Onn Jaafar Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambathan. Atas persahabatan merekalah terbinanya jambatan perpaduan.
Janganlah kerana pertelingkahan politik kepartian yang semakin membesar di bumi yang kian membangun ini ,perasaan patriotisme terhakis sedikit demi sedikit..
Pemimpin datang dan pergi, silih berganti namun tanah tempat tumpah darah kita tidak mungkin ada galang gantinya. Hanya  satu...Malaysia!
Alangkah seronoknya dan bangganya melihat Jalur Gemilang berkibar di setiap tiang rumah,bangunan dan kenderaan...
Ayuh meriahkan sambutan hari kemerdekaan tahun ini.
Zahirkan cinta anda dengan modal tidak sampai sepuluh ringgit!

Jalur Gemlang berkibar di pintu masuk kelas anak- anak didik saya

                Pelajar-pelajar ini menzahirkan cinta dengan hiasan dalaman kelas warna bendera
                      JalurGenilang di hadapan rumah saya..tanda kempen bersahut!
                  Pelajar-peajar keturunan India di sekolah saya juga menzahirkan cinta melalui kolum
                                                           SEHATI SEJIWA !



Isnin, 17 Ogos 2015

Titipan Kalbu buat Wahida..

Wahida.
laut tidak pernah tahu kapan gelombang akan menerjah
pantai tidak pernah tahu kapan
badai akan singgah
pohon juga tidak tahu kapan
daunnya akan gugur ke tanah
bungapun tidak tahu kapan
kuntumnya layu jatuh menyembah
engkaupun tentunya tidak tahu kapan
dia akan berangkat pergi
membawa semua cinta dan rindu
ke suatu daerah paling sepi
paling sunyi
paling abadi...

Wahida
kerana kita tidak pernah tahu
kapan bulan akan menangis
kapan malam akan gerimis

Wahida
mentari dipinjamkan untuk pagi yang indah
pelangi dipinjamkan untuk senja yang
merah
kekasih dipinjamkan untuk kita merasai nikmat kasihNya
suami dipinjamkan untuk kita
merasai syurga Adam dan Hawa
kerana itu adinda
bersyukurlah walau cuma secubit kenangan
engkau dan dia pernah bersatu
dalam teratak istana terindah

Wahida
biarkan kekasihmu senyum bahagia
punya bidadari setabah Fatimah
punya permaisuri semulia Khadijah
buat zuriatnya meneruskan hidup membangun tugu iman
membina sebuah impian
walau ayah tak lagi di sisi....

Puisi ini saya titipkan khas buat bekas anak murid saya Nur Wahida bt Hambali...yang kehilangan insan paling disayangi,dikasihi, suaminya..
yang bernama.Hisyam...
Semoga Wahida tabah berdiri demi zuriat putera dan puteri..
Sesungguhnya Tuhan menguji kerana
terlalu mengasihi... 
Teruskan perjuanganmu duhai serikandi!





Jumaat, 14 Ogos 2015

ANTARA PESANAN,MELATI DI TAPAL BATAS DAN UNTUK NUSA BANGSA

Sambutan bulan kemerdekaan tiba lagi..Ogos masa untuk mengenang pahit getir perjuangan  Tuk Janggut,Maharajalela,Rentap,Dato Sagor, Mat Kilau, Shariff Mashor,Haji Abd Rahman Limbung
Rosly Dhoby,Leftenan Adnan...yang bergalang nyawa menuntut hak yang kita nikmati hari ini...hak kemerdekaan. Tahun ini sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan kempen kibar Jalur Gemlang saya ditugaskan mengendalikan pertandingan lagu patriotik..Selain lagu tema Sehati Sejiwa yang indah dan puitis liriknya karya Siso, saya turut menyenaraikan beberapa buah lagu patriotik lain yang sesuai dinyanyikan misalnya Warisan, Bahtera Merdeka ,Pahlawanku dan SiBaju Hijau..
Masa nak study lirik lagu patriotik inilah saya dapati banyak lagu lama, lagu malar segar yang kaya dengan mesej atau pengajaran.Begitu bertanggungjawab penulis lirik zaman dahulu...Dia mengerti peranannya sebagai khalifah di muka bumi..Sebuah lagu bukan sekadar dinyanyikan tapi didengari dan sudah pasti kata- kata menyentuh hati dikenang orang sampai mati...
Cuba lihat lirik lagu Untuk Nusa Bangsa nyanyian kunpulan Gingerbread antara baitnya berbunyi

Semangatmu bagai serikandi bangsa
Tak lalai membuang waktu percuma
Jiwamu kuat dan penuh cita-cita
Sungguh bertuah kupilih dirimu

Doaku suatu hari nanti
Janganlah pula kau terlupa daratan
Disebabkan kejayaanmu
Kau megah sendiri
Kau khianati janji suci


Doaku moga kau selamat
Pulang kepadaku bersama ijazahmu
Hari depan kita perjuangkan untuk nusa bangsa...


Hakikatnya lirik di atas cuma sebuah lagu cinta tapi cinta bukan sekadar cinta antara kekasih namun cinta pada nusa bangsa...Hebatnya penulis lirik yang bernama Nur Bisa ni.Tanpa hiperbola dan metafora yang berlebhan,mesejnya jelas menddik masyarakat agar menjadi suami dan isteri yang bertanggungjawab.

Suatu pagi yang hening terdengar pula lagu ini sewaktu memandu kereta ke sekolah..Hampir menitis air mata saya.Alunan lunak suara Dato DJ Dave..sayu memanggil- manggil supaya kita berbuat jasa..

Sudah menjadi resam dunia
Pahit manis kau alami
Berbuat baik mencari ilmu
Agar senang di kemudian hari

Setelah ilmu penuh dada
Jangan lupa saudaramu
Si miskin mahupun yang kaya
Sama.saling membantu...

Keluarga disanjungi
Kampung dikenangi
Kesenian keturunan
Kebudayaan yang murni.
Jauhi apa saja yang dbenci


Hidupmu usah dipersiakan
Pesanan ikhlas dariku
Berbuat baik sepanjang hayatmu
Agar namamu disanjung selalu

Aduh bijaknya penulis  yang bernama Habsah Hassan  menggunakan lagu sebagai medium dakwah...Lagu Pesanan Dato DJ Dave mendekatkan kita pada tanggungjawab sosial..keluarga ,kampung halaman dan masyarakat..

Perhatikan pula Melati Di Tapal Batas lagu nyanyan  J Mizan yang juga bernada patriotik...

Engkau gadis muda remaja
Bagai kuntuman melati
Engkau semboyan jiwa raga
Di tapal batas berbakti

Engkau dinamakan serikandi
Suntingan kampung halaman
Engkau turut jejak pemuda
Rela mengawal negara...

Lagu ini menaikkan imej wanita untuk membangunkan dan mempertahankankan tanah air....

Ratusan saya kira malah ribuan lagu zaman dahulu walaupun bukan lagu nasyid mengajak manusia berbuat baik...mengingati ibu bapa,mengenang jasa orang tua dan menjadi warganegara yang bertanggungjawab....

Dendangan itulah yang didengar dan mendewasakan kita semua...Patutlah orang zaman dahulu terkenal dengan sifat ketimuran dan akhlak mulia.
Sudah sampai masanya negara kita menguatkuasakan garis panduan menulis lirik lagu..Tanpa mahu memberi contoh lagu zaman sekarang, dengarlah dan hayatilah..carilah ...adakah unsur didaktiknya.?Jika ada sudah pasti nisbah dan bilangannya amat sedikit.
Seperti nyanyian ibu menidurkan anak  di buaian sewaktu kecil dengan selawat nabi dan lagu rakyat yang mengasyikkan...seperti itulah kita didodoi saban hari dengan lagu lagu nyanyian artis tanah air..
barangkali kerana lagu itu tiada roh maka kita mendengar dengan perasaan yang kosong...
Sebagai ibu saya lebih selesa  anak saya tidur lena dengan dendangan lagu Opick atau Raihan , Rabbani atau Maher  Zain.dan segelintir yang lain...
Selebihnya biarlah anak saya tidur tanpa dendangan apa- apa lagu..
Cukuplah suara sumbang saya menepuk nepuk badannya yang masih kecil,mentah dan tidak tahu apa-apa...

Khamis, 13 Ogos 2015

Namun Kita.Terlupa


Hari ini kita banyak bicara
berapa orang pelajar kita dapat A
berapa peratus kelulusan
berapa pula  GPS
agar rekod perkhidmatan kita
mencapai target
 Sasaran Kerja Tahunan
namun kita terlupa mengira
berapa banyak pesan
lewat nilai- nilai murni
telah kita sisipkan
dalam mengejar kecemerlangan pedagogi

Hari ini kita banyak bicara
siapa di kelas hadapan
dia bijak
dia bakal pemimpin
siapa di kelas belakang
dia pakej
masa hadapan yang kabur
namun kita terlupa mencatur
tanah air perlu
bukan sekadar intelek termasyur
namun juga pekerja biasa
semulia akhlak rasul

Hari ini kita banyak mengata
nakal dan biadapnya anak- anak kita
 degil dan liarnya perangai mereka
namun kita terlupa
di  rumah kitalah
mereka membesar dan belajar


Hari ini.kita banyak berharap
cemerlang mereka di atas kertas
namun kita terlupa mendoakan
cemerlang mereka meniti kehidupan

Hari ini kita sering mengkritik
anak- anak kita terlalu menggilai
budaya barat, hip hop dan kpop
namun kita terlupa menghukum
kitalah pembunuh akar budaya
pohon seni tradisi
di laman sendiri

Hari ini masa kita banyak dihabisi
mengisi  dan melengkapi
segala data
segala bernama e
di laman sesawang IT
namun kita terlupa
tugas utama kita
membina tiang negara
tegap dan kukuh sendinya
di bilik darjah sendiri...

Hari ini kita cuba refleksi
dan muhasabah diri
sempurnakah janji kita padaNya
atau tertunai hanya
di lembar slip gaji...





Puisi ini saya hasilkan setelah menonton anak saya menyertai pertandingan Kalam Jamaei..bahasa Arab ..Tersentuh hati melihat dedikasi dan gigihnya para mualimah mendidik anak- anak kecil prasekolah.Tanpa gaji besar, tanpa ganjaran tinggi..mereka mendidik anak anak seikhlas hati..Rasa malu pada diri...kami guru guru sekolah menengah mampukah mencorak kuntuman putih melati yang mereka lukis atau  d tangan kami nanti kuntuman itu  gugur sebagai bunga bangsa tanpa seri dan erti?

Kepada guru guru prasekolah anda hebat...di tangan anda kanvas putih bersih suci terlakar...
Kami di sekolah menengah bergelut untuk meneruskan perjuangan anda
membina negara bangsa...
Salam perjuangan buat guru guru anak saya Mualimah Nor, Mualimah Yana, Mualimah Jah dan Mualimah Kina.....


     Wajah suci anak-anak prasekolah,rebung yang masih mudah dilentur.
     Kebahagiaan mereka kerana bernaung di bawah limpahan kasih mualimah yang penyayang..


Sabtu, 8 Ogos 2015

Setajam Mata Pena..Perkampungan Sastera SMK Jeram - SMK Serendah

Perkampungan Sastera SMK Jeram bersama SMK Serendah telah berlangsung dan bertempat di
Warisan Sembilang Trainning Centre
Pantai Remis1 dan 2 hb Ogos 2015....
Gambar- gambar di bawah koleksi senyum tawa senda gurau semangat padu anak- anak yang menggelar diri mereka Sasterians...itu nama grup wssup mereka..Bunyi macam melanggar tatabahasa...tapi mereka anak muda ,beri mereka peluang mengungkap emosi, nurani...
Saya bersama sahabat Puan Zuzana bt Abdullah..merelakan sekolah kami jadi penganjur,jadi tuan rumah merintis  pertemuan yang dipanggil Perkampungan Sastera...SETAJAM MATA PENA.
Setiap usaha harus ada permulaan..dan kami memulakan,mengatur langkah penuh semangat setiakawan walaupun kami sedar kekerdilan diri..Terima kasih sahabat dari SMK Serendah,Cikgu Sani,bonda Faridah,Puan Siti Haida dan Puan Ramlah..
Tanpa kalian kami tak mampu mengatur langkah besar menganjurkan program antara daerah.Tanpa kalian..kami tak belajar erti kemesraan tanpa sempadan.
Istimewa buat pelajar SMK Jeram kelas 5 Dinamik dan 5 Efisien..serta pelajar-pelajar SMK Serendah..anda semua hebat sebab dapat menanam nilai Aku Insan Penuh Kemanusiaan Dalam Diri..
Terima kasih buat pengetua SMK Jeram..En Bibit bin Haji Marzuki,ucapan tuan pembakar semangat anak anak agar tidak melihat diri daripada perspektif orang lain.Buat PK Pentadbiran Encik Mukharita dan PK HEM Puan Salbiah..senyuman yang sentiasa terukir buat kami rasa kuat..Syukur anda semua pemimpin yang memakai prinsip Hati Gajah Sama Dilapah ,Hati Kuman Sama Dicicah..beruntungnya kami warga SMK Jeram...
Teristimewa buat our iron lady
Puan Mariah Ghanib,ketua bidang Kemanusiaan..dengan Rumah Kecil Tiang Seribu..falsafah hidup manusia bijak dialun dalam tarian,lagu joget dan muzik indah... Puan buat kami rasa santai untuk memulakan langkah mengatur gerak tari di laman pedagogi Sastera..

Sebelah pagi walaupun terkial- kial mencipta pantun dan syair kesemua sepuluh kumpulan berjaya menyiapkan tugasan..Sukarnya anak -anak zaman IT  membina baris pembayang pantun 6 kerat 8 kerat yang jadi trend soalan KBAT SPM namun berkat kesabaran,kesungguhan mereka dapat menciptanya...
Rasa teruja tengok wajah Nazmirul Hamizi,Zulhelmi Bugiran,Zulidzwan Hasan  Basri berpantun..dengan irama dan lenggok pantun Melayu..sedangkan mereka underdog di dalam kelas..
Petang pula seronok meredah Pantai Remis mencari frasa indah metafora, pensonifikasi,hiperbola , sinkof dan pelbagai unsur gaya bahasa yang diadun menjadi sebuah resepi..sajak ciptaan sendiri ,satu lagi trend soalan KBAT SPM..
Dan malamnya merelakan diri menjadi Jalil,Biah,Mak Teh dan lain lain watak dalam novel Dari Lembah ke Puncak serta meminjamkan jasad  menjadi Anuariza, Soleha,Syed Farizj dan lain lainnya ilham watak Jeriji Kasih!
Saya sudah lama berangan mahu mengaplikasi teori Mengalami Menghayati dan Kecerdasan Pelbagai..Dan saya dapat lihat wajah anak- anak ini belajar tanpa tekanan, tanpa baju sekolah...Ekspresi wajah mereka...mereka riang,tiada kebosanan,tiada paksaan,tiada teacher centered yang mengongkong dan membelenggu..Malam Sastera walaupun singkat kerana memenuhi permintaan guru - guru SMK Serendah yang bermurah hati mengadakan babaque,dengan sumbangan kambing bakar dan jagung bakar sahabat saya Zuzana Abdullah,namun saya dapat lihat anak anak kelas Sastera ini berdiri penuh keyakinan membawa watak antagonis dan protagonis yang sememangnya hidup dalam masyarakat..melalui novel karya Ghazali Lateh dan Ramlah Rashid..
Paling terkesan watak Jalil dipegang oleh Farid Aziz..watak Mak Teh dibawa oleh Noraisyah Mazlan dan watak Biah oleh Siti Nurhaliza Mohd Rosli yang jadi mangsa sumbang mahram...dengan alunan lagu Gelombang nyanyian Mohd Nazrin.
SMK Serendah tak kurang hebat melalui watak Nek Siah , Syed Fariz dan Anuariza...
Tahniah pelajar Sastera...genggam pesan Cikgu Bibit..anda semua bakal sasterawan negara...
Keluarga besar Perkampungan Sastera..
Bengkel KBAT..penulisan karya
Anak-anak ini saya suburkan jiwanya agar mencintai Kesusasteraan Melayu
 i     
      Wajah teruja dan gembira...slot Bicara Pembukaan Puan Mariah Ghanib
Bersedia untuk eksplorasi Gerabak Keretapi...belajar sambil bermain ombak meredah pinggir pantai..
Pedagogi kaedah Naturalis...merangsang minat dan emosi...