Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Khamis, 28 Jun 2018

PUISI UNTUK LELAKI LUAR BIASA

Dia memandu keretanya sejauh 200 km saban tahun
Menjelang Aidilfitri yang kami tak bisa pulang ke kampung
Dia bertandang ke rumah kami dengan lapang dada, redha dan gembira
Meskipun di mata orang lain dia tidak  perlu menjadi sepertI itu
 
Dia menyayangi cucu-cucunya tanpa berbeda
Walau mereka semua terkadang kurang mengerti sedalam mana kasih itu
Tangan tuanya dengan ramah menanak gulai ayam kampung
Atau pulut kuning yang paling  enak kata anakku
Kemudian kami anak-anak, menantu dan cucu akan menyantap  juadah itu sampai habis licin
Semuanya tanpa rasa ragu atau malu

Dia tidak pernah peduli
Kalau ada antara kami yang bermasam muka ,tergelincir lidah berkata kasar
Memalingkan wajah ketika bertemu
Menyayat ,merobek-robek hati tuanya
Kerana dia selalunya lekas-lekas membasuh gurisan luka itu
dengan  siraman doa ketika solat tahujud di malam sepi
memohon Tuhan membalas yang baik-baik sahaja untuk kami.

Dia tidak pernah kesal atau rebah
Ketika doktor berkata
"hayat pakcik mungkin akan berakhir tak lama lagi"
Kerana penyakit kronik sidah menyerang tubuh dan jasadnya
Cuma sesekali
Dia menyeka air mata jernih
dan menyatakan rindunya
 pada seseorang yang sudah lama pergi dijemput Ilahi

Puisi ini kutulis untuk nya
Lelaki luar biasa yang kutemukan
sejak hari pertama aku diberi peluang menatap sinar mentari



                                        (gambar Aidilfitri...ayahnadaku Hj Amri bin Ghani


Rabu, 27 Jun 2018

PRU 14 - DARI KACA MATA SEORANG GURU SEJARAH

Salam blogger.Aduhai,ke mana hilangnya jemari blogger yang bernama Cikgu Haida.Berbulan-bulan memendam rasa tak menulis.Saya bermonolog sendiri tentang pelbagai perkara .Tentang kehidupan.Tentang dunia pendidikan.Tentang hati. Warna-warni kanvas lukisan seprang perempuan bergelar ibu,isteri dan guru.
Sekali air bah,sekali pantai berubah.Selepas PRU ke14,peranan saya sebagai guru matapelajaran Sejarah semakin mencabar. Di kelas paling hadapan setiap hari anak-anak yang petah berbicara dan bijak berhujah mengemukakan pelbagai persoalan.



Di kelas belakang pula, anak-anak yang kurang dianggap bijak dalam akademik namun hebat  dalam pelbagai skil   turut menjadi pemerhati politik yang cemerlang.Tiba-tiba sahaja anak-anak murid saya tak kira bangsa mula rancak bercerita soal politik. Di sinilah peranan saya sebagai guru Sejarah diuji. Namun saya tetap dengan pendirian saya, Sseorang guru Sejarah harus matang,berpandangan jauh, bijak berhujah dan jangan terlalu emosi menyatakan kecenderungan atau sokongan.
 Beberapa hari selepas PRU 14 , apabila saya mengajar tajuk Demokrasi Berparlimen di Malaysiaia ,ia menjadi topik yang ,sangat menarik  dan sangat dekat dengan apa yang anak-anak murid saya lalui.Demokrasi hidup subur di Malaysia.Peralihan kuasa antara parti politik berlaku dengan aman dan penuh beretika tanpa setitik darah yang tumpah.Aduhai bangganya saya sebagai warganegara Malaysia.

Hari ini saya mengajar Sejarah di kelas paling hujung iaitu kelas 5 Seni. Di kelas ini saya bergelut dengan macam-macam peranan.Kadang-kadang saya jadi mak tiri yang garang.Kadang-kadang saya jadi rocker menyanyi lagu-lagu rock yang liriknya fakta Sejarah.Kadang-kadang saya jadi orang kampung atau makcik bawang dan larut dalam dunia mereka yang suka membebel,bercerita tentang apa-apa.sahaja bak kata orang sekarang layannnnnn....Saya cuba nengikut rentak mereka. Penat berjuang di  kelas 5 Seni dengan pelbagai watak .Adakalanya saya menyerah.Menjadi dermawan yang pemurah.Salah satu cara mengawal  disiplin kelas ini ialah menawarkan aiskrim, air kotak, atau roti bagi sesiapa yang mampu menyiapkan tugasan atau menjawab soalan. Teori Maslow manusia perlu penghargaan....benar seratus peratus.
Semalam saya bawa biskut raya dan sedekahkan pada anak-anak murid saya yang berbangsa India yang selalu terpinga-pinga masa saya mengajar Sejarah kerana ada ketikanya mereka tidak memahami peristiwa,istilah,konsep atau cerita sejarah hanya kerana pengetahuan bahasa Melayu yang terbatas dan kurang perbendaharaan kata.

 Saya amat simpati pada Devahsenah,Manimala, Hemalatha,Shanju, Arawinth  dan lain-lain. Mereka terperangkap dalam polemik politik sempit,Bersekolah rendah di SRJKT kemudian tinggal dalam lingkungan persekitaran sesama bangsa  Mereka langsiung tak fasih berbahasa Melayu.Aduhai sedihnya , nasib anak-anak ini.! Bagaimana mereka dapat membesar menjadi warga bertaraf dunia kalau mereka sendiri keliru dengan dasar kebudayaan kebangsaan.Belas hati saya melihat anak-anak murid saya yang masih gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik. Berhentilah bermain politik perkauman. Negara sudah merdeka lebih   60 tahun.Carilah jalan agar anak-anak berbilang bangsa ini berbahasa dengan satu bahasa, berbicara dengan satu rentak dan berbudaya dengan satu tradisi akar yang kukuh. Bangsa Malaysia. Menjadi bangsa Malaysia bukan bermakna anda tterpaksa membuang darah Melayu atau darah Cina atau darah India yang mengalir hangat dalam tubuh.Menjadi bangsa Malaysia maksudnya anda mempunyai  jiwa dan impian yang sama.

Selain masalah bahasa yang membataskan kemajuan anak-anak yang rata-rata tinggal di ladang ini,masalah kemiskinan masih menjadi satu ancaman besar. Mujurlah mereka bersekolah di sekolah saya yang sangat menjaga kebajikan murid. Sarapan pagi free meal percuma, minuman percuma semasa aktiviti kokurikulum dan sebagainya,  Kami menjadi warga pendidik yang prihatin dan merasai kelaparan dan kehausan mereka.Janganlah tuduh guru dengan macam-macam tuduhan liar yang viral di media sosial. Tidak ada guru yang mahu anak-anak muridnya susah dan kecundang dalam kehidupan. Meskipun ada segelintir guru yang bermasaalah, sebahagian besar dan selaut jumlahnya adalah    pejuang ,adalah jurutera dan arkitek bangsa yang sangat berintegriti dan bermaruah.

Saya akhiri catatan saya dengan sekeping gambar Anugerah Guru Paling Patriotik yang saya terima hasil daripada undian murid-murod di sekolah saya sempena Hari Guru Peringkat Sekolah tahun ini. Tak susah menjadi warga patriotik.Sayangilah negara anda. Hormatilah pemimpin  selagi mereka tidak melanggar hukum agama. dan etika sosial Menghormati pemimpin  sebagai individu lebih baik daripada menghormati pemimpin  semata -mata kerana taksub pada sesebuah parti politik. Parti politik hanya wadah perjuangan.Ia boleh jatuh dan bangun dengan kuasa rakyat.Namun  seorang khalifah agung yang mewarisi akhlak rasulullah saw tetap akan dikenang orang dalam lipatan Sejarah sepanjang hayat
.Saya selalu bangga bercerita tentang kehebatan bangsa Melayu sebagai bangsa yang unggul di nusantara namun saya tidak pernah lupa   untuk  menjunjung budaya perpaduan kaum yang harmoni di negara bertuah Malaysia.
Jika saya mahu Alif ,Jannah ,Atikah ,Farah ,Faezah dari kelas 5 Sains menjadi pemimpin umat yang cemerlang ,saya juga mahu satu-satunya anak murid saya yang berbangsa Cina di kelas itu iaitu Paw Ren Yee menjadi lagenda yang hebat untuk Malaysia.
Jika hati saya terluka kerana Hemalatha,Manimala ,Yogaraja ,di kelas 5 Seni yang masih   gagal berbahasa Melayu maaflah itu bukan kerana saya marah pada  sistem sekolah rendah yang pelbagai aliran seperti dasar :divide and rules" dalam era kolonialisme ,namun saya menangisi masa depan mereka yang punah kerana tidak diasuh sedari rebung untuk  membentuk jati diri Malaysia yang benar-benar sejati. Salam Malaysia baharu !