Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Ahad, 2 Disember 2018

KISAH MIRACLE OF LOVE..MY BFF.

Minggu pertama cuti penggal persekolahan saya terperuk di tumah,menjaga anak berkhatan.Kesibukan sesi persekolahan buat saya melupakan sekejap dunia blogging.Banyak yang terkumpul di fikiran.Banyak peristiwa penting berlaku dan mengetuk pintu hati saya untuk menulis.Tragedi kuil Sri Maha Mahariaman Petaling Jaya , bagi saya  ia bukan gambaran keseluruhan negara tercinta bernama Malaysia.Ia fenomena kecil yang berlaku di suatu tempat yang berkaitan isu perundangan,isu   pembangunan dan kebodohan segelintir manusia bukan mewakili sesuatu kaum.Saya terkenang tulisan saya dalam blog ini beberapa bulan lalu.Sudah sampai masanya sekolah bercirikan venakular dihapuskan.Apa kata pembelajaran bahasa ibunda yakni bahasa Tamil dan bahasa Cina diwujudkan di sebuah sekolah kebangsaan yang menyatupadukan rakyat berbilang bangsa ini.Ini bukan cakap orang politik.Ini cakap sepuluh sen seorang guru Sejarah yang mengajar di sekolah menengah di sebuah kawasan luar bandar yang sedih melihat anak anak masih gagal menguasai bahasa kebangsaan,masih gagal dalam peperiksaan dan seterusnya gagal dalam hidup.Saya hairan tengok sikap orang politik.Nak sangat jadi hero bangsa masing masing sampai sanggup menggadai keamanan negara.Bagaimana nak ubah nasib sesuatu bangsa kalau bukan melalui pendidikan.Ketika kami guru guru Sejarah di seluruh negara  bergelut untuk menyatukan hati anak anak yang datang dari latar belakang agama, bangsa dan warna kulit,di luar para politikus alaf baru sibuk berucap di pentas awam dan medan media sosial yang nada suaranya macam mencurah minyak mahu menyalakan api permusuhan.Berhentilah jadi hero di gelanggang politik sempit . Apa kata jadi hero  yang lebih power,hero bangsa Malaysia.
Bercakap tentang perpaduan kaum teringat sahabat baik saya  Krishna Kumary Juval.Kisahnya dan rakan saya yang berbangsa Cina ,Wee Bee Eng ada saya tulis dalam blog ini.Baru baru ini kawan saya Krishna Kumary ada menghantar gambar lewat aplikasi wssup.Dia sedang bercuti di Gujerat,India.Bukan lagi sendirian,sepi dan keseorangan macam tahun lalu,namun kini dia sedang meniti bahagia bersama Mr. Wright Encik Suria.Masyaaallah,tabarakallah demikian sempurnanya aturan Sang Pencipta.Apabila cinta datang ....terbukalah pintu seluas- luasnya untuk mengetuk  salam kasih seterusnya hidup di sisi seorang suami sebagai isteri dan kekasih hati. Miracle...keajaiban cinta sentiasa ada di muka bumi Allah ini.Bayangkan seorang wanita berhati mulia yang berpuluh-puluh tahun hidup solo,mengabdi diri dalam dunia pendidikan dan  kebajikan boleh terpaut hati pada seorang lelaki di usia yang bukan lagi muda remaja. Saya mendengar kisah perkahwinannya dengan suatu perasaan , speechless.Bagaikan sebuah dongeng atau  fairy tales,Krishna Kumary" tertidur nyenyak" sebagai puteri salju  berdekad  lama tanpa mengetahui ada seorang putera tampan akan datang dengan ciuman sakti lalu mengejutkan dia dari mimpinya yang panjang.Tahniah ...my lovely friends. Your husband really handsome and kind .Handsome saya lihat dalam gambar.Kind saya tahu daripada cerita Kumary.Dulunya En.Suria mempunyai seorang rakan bernama Naga yang kemudian jatuh sakit.Sepanjang masa kritikal,En.Surialah yang menjaga Naga bersama sama BFF saya,Kumary.Dari situlah En .Suria melihat hati budi BFF saya.Wanita yang fizikalnya mungkin tidak secantik Aiswarya Rai namun sekeping hati yang tabah ,ikhlas dan penuh rasa kemanusiaan itulah yang membuatkan BFF saya lebih cantik dari Ratu Dunia itu.Buat pasangan ini Selamat Berbahagia...semoga one fine good day kita dapat bertemu dan bersembang sambil makan-makan.
Saya akhiri catatan diary cuti saya sebentar.Anak saya yang berkhatan sudah merengek minta dibuatkan air teh susu dan roti bakar untuk minum petang.Jika Mr .Suria adalah miracle of love untuk J Krishna Kumary, Rahmat Dalimun dan Ahmad Solihin adalah miracle of love buat saya. Mereka menyempurnakan perasaan sepi dan keseorangan yang dulu juga pernah saya rasai.Kepada semua isteri dan ibu...jadilah wanita terbahagia di dunia ini.
Inilah gambar BFF saya semasa bercuti di Gujerat..

Untuk menikmati bahagia...tiada istilah terlewat ,TUHAN tahu yang terbaik buat hambaNya...






Isnin, 10 September 2018

Encore Malacca ...Jom bawa anak kita!

Cuti hari keputeraan DYMM Yang Dipertuan Agung bersambung dengan cuti awal Muharam memberikan peluang buat kami bercuti di Melaka.Dimulai dengan Family Day Dalimun dan Tareah diikuti temujanji dengan ex student Zaimah Hussein di Encore Malacca Klebang.Zaimah salah seorang artis budaya di Encore Malacca telah menempah tiket untuk saya dan keluarga menonton teater tari berteknologi tinggi pertama di Malaysia.
Berbaloi, tidak menyesal.Teater tari ini membuat saya,suami dan anak terpaku di kerusi.Tidak ada satu detikpun fikiran kosong menerawang.Semua berlari deras mengikut layar lakon di hadapan.
Teknologi tanpa seni hanya ciptaan sains yang tidak bermunafaat sama sekali.Namun teknologi dengan seni yang mengangkat budaya,isi hati dan sejarah masyarakat akan menjadi masterpiece yang mengkagumkan.Bak kata suami saya pelaburan Encore Malacca ialah pelaburan ahli perniagaan yang bijak.Encore Malacca  mengangkat seni budaya ke tahap tarikan pelancongan bertaraf dunia.
Saya cuba mendidik anak menjadi pemikir dengan membawanya menonton teater  tari Encore Malacca .Bukan maksudnya saya ibu yang terlalu serius dan skema dalam mendidik anak ,sebab baru 2 minggu yang lalu saya membawanya menonton filem Mamat Khalid, Hantu Kak Limah 2.Saya cuma mahu memberinya ruang dan posisi yang berbeza.Ternyata bukan susah membawa anak seusianya menonton teater tari apatah lagi teater tari di panggung serba canggih ini ala ala Kobuki Jepun.Terbuka saja layar sinografi terus matanya meliar mencari Cik Zaimah,gelaran untuk ex student saya yang memang rapat dengan family saya sejak dia masih bayi.Malah Cik Zaimahlah yang menjaganya semasa saya menjalani pembedahan ketika itu.Dan di akhir pertunjukan sebaik lampu terpasang,terus dia menjerit ?....Mamaaaa....tu dia Cik Zaimah!.Ya bukan mudah mengenali siapa yang menari atau memegang watak dalam teater sebesar Encore Malacca Namun saya tahu dalam teater sebesar itu,tiada watak utama dan tiada yang kurang utama.Semua artis baik penari baba nyonya yang erotis ,pemukul gendang kapal laksamana Cheng Ho, pelakon babak Awang dengan  waunya  serta semua babak adalah sangat sangat penting dan besar.Babak tari,babak budaya,babak teater dan drama,paparan layar dan shoot 3 D serta elemen elemen muzikal diadun sempurna tanpa cacat cela.
Paling melankolik adalah babak bayi  lelaki yang hanyut di laut  dan dijaga oleh  6 ibu angkat.Ibu Melayu,ibu Cina,ibu India,ibu Portugis,ibu Chettiar dan ibu Nyonya.Tinggi sangat makna tersirat itu.Babak ini merenggut jiwa saya ,juga jiwa anak saya .Barangkali anak saya yang sentimental menitiskan air mata kerana lelaki itu apabila tua sangat merindui dan mengasihi keenam enam ibu itu tanpa berbelah bagi.Dan saya sebagai penonton dewasa menitiskan air mata kerana mengenang betapa itulah wajah ibu , tanah air  yang membesar dan mendewasakan kita.Babak ini saya kira garapan paling patriotik dalam Encore Malacca.
Bagusnya anak saya bertepuk tangan tanpa disuruh setiap kali selesai satu scene.Lihatlah betapa seorang anak zaman siber yang gilakan game Mobile Legend masih boleh menghayati teater.Itulah kelebihan mendidik anak dengan teater sejak dari usia rebung.
Melaka sebagai salah satu tapak warisan UNESCO menggamit pelancong dalam dan luar negara.Encore Malacca merupakan sesuatu yang wajib bagi melengkapkan lawatan.Saya terharu melihat seorang datuk dipapah oleh anak cucunya sewaktu menonton teater tari ini.Semangat tinggi seorang warga emas yang uzur untuk melihat sentuhan akar seni budaya.Kredit untuk anak cucu datuk tua berbangsa Cina itu.
Cuma semasa awal penerangan ketika memasuki panggung box office itu saya terkesima dengan 2 bahasa yang digunakan untuk memberi arahan kecemasan.Bahasa Inggeris dan bahasa Cina. Hati saya cuak ...Eh bahagian formal ini ..di mana bahasa Melayu.? Susah sangatkah untuk meletakkan bahasa Melayu ssbagai bahasa info ? Saya tak tahu apa penerangan jawapan ini jika kita ajukan kepada penerbitnya Yong Tai namun walau apapun jawapan mereka saya kira saya ada alasan pada soalan itu.Bukankah bahasa Melayu itu bahasa rasmi negara.Bahasa kebangsaan,Mujurlah skrip teater tari itu menggunakan 3 bahasa yang disusun indah.Bahasa Inggeris,Bahasa Melayu dan bahasa Cina.
Di sebalik keghairahan menonton Encore Malacca dan saya banggga dengan lakaran seni kota Melaka di situ..ada juga titisan air mata jauh di sudut  kalbu.Saya tercari cari .Di mana Tun Perak dan Hang Tuah.? Sebagai guru Sejarah tidak sempurna jika kita bercerita tentang Melaka tanpa mengemukakan 2 tokoh terkenal itu.Hang Tuah tercatat dalam dokumentasi di Pulau Rukyu Jepun.Namun di tanah air sendiri dia masih dikategorikan separa lagenda.Tun Perak pula tanpa sumbangan besarnya sebagai bendahara paling bijaksana zaman itu tidak mungkin Melaka menempah nama dalam era kegemilangan antarabangsa.Saya menangisi kehilangan Hang Tuah dan Tun Perak dalam Encore Malacca  ....Sepatah kata keramatnya Takkan Melayu Hilang di Dunia,terngiang ngiang di fikiran.Benar laksamana Cheng Ho datang dengan segerombolan kapal pedagang ke Melaka,namun kehebatan Laksamana Cheng Ho jika digandingkan dengan keagungan Hang Tuah akan menjadikan Encore Malacca  lebih bermakna dan sempurna.
Tiada istilah penyesalan bagi saya dan suami membawa anak saya menonton Encore Malacca. Walau bukan warga Melaka,anak saya dan semua kanak kanaklah benih yang hidup subur  dalam perut watak perempuan mengandung yang bersusah payah mengharung derita dalam panahan petir,kilat,sabung menyabung dan hujan lebat serta asap peperangan dalam Encore Malacca .Jom jadi ibu bapa yang bijak.Bawa anak kita menonton Encore Malacca.
Buat ex student kesayanganku..Terima kasih uruskan pembelian tiket Encore Malacca.Cikgu tahu kamu tidak membuat pilihan yang salah mengambil ijazah Seni Teater di Aswara.Pengalaman memegang watak kecil dalam Encore Malacca sebenarnya besar dan akan membesarkan lagi jiwa seni kamu.Saya mengharap sangat akan ada graduan Seni Teater seperti Zaimah Hussein yang akan diambil sebagai pengarah dalam produksi teater sebesar Encore Malacca pada masa akan datang.Pasti akan ada Hang Tuah, Tun Fatimah dan Tun Perak di situ.Selamat Hari Malaysia.
Monumen di hadapan Encore Malacca....unik dan menarik

                                   Kami antara penonton terawal berada dalam panggung
                                   Persembahan live yang segar....Encore Malacca
                                 Saya hanya merakam babak akhir....tidak mahu ganggu
                                 konsentrasi
                                    Seni teater abad ke21 yang menghiburkan
                                    Kami merakam gambar kenangan dengan Cik Zaimah






Jumaat, 24 Ogos 2018

Erti Pengorbanan..Salam Aidil Adha

Kami menyambut Hari Raya Korban di kampung.Sesungguhnya banyak pengorbanan disebalik perayaan ini dalam diari hidup keluarga saya.Pertama suami saya berkorban masa dan tenaga memandu kereta sejauh lebih 200 km setiapkali pulang ke kampung.Ayah yang uzur dan disahkan kanser prostat berkorban masa dan tenaga bangun awal dan menyediakan juadah favourite cucu cucunya.Gulai ayam kampung versi atuk dan pulut kuning yang umphh ,itu kegemaran anak saya.Tak boleh orang lain masak.Hanya versi atuk yang sedap ...kata anak saya.Itu belum lagi juadah tradisional wadai kiping .Bila masalah atuk bangun masak.Tau tau dah siap atas meja.Aromanya aduhai apatah lagi campur buah durian.Ibu tiri saya juga berkorban masa dan tenaga melayan kepulangan kami,padahal dia ada ayah di rumah yang duduk seorang diri.Saya hmmmm...ada juga pengorbanan saya,berkorban sedikit wang ringgit untuk hiburkan hati anak anak buah yang balik kampung bersama.Tahun ini saya bawa seorang anak yang tiada keluarga dari  rumah PAKAT Bukit Kerayong,untuk sama sama berhari raya di kampung.Alhamdulilah,bertambah meriah rumah ayah saya.Kebetulan 2 orang anaknya tidak pulang kerana tak dapat cuti.
Saya dapat lihat kebahagiaan terpancar di mata tuanya.Hilang sakit yang ditanggung.Sibuk melayan anak,cucu cucu dan menantu.Pengorbanan kami semua untuk berada disisinya saat saat yang kami tak tahu berapa lama Allah izinkan dia bernafas dan menjalani kehidupan.Anak murid saya yang yatim piatu itu juga saya lihat riang dan bersemangat.Tanpa rasa kekok dia turun ke dapur bersembang dan merasa lauk lauk kampung yang ibu tiri dan ayah saya sediakan. Dia juga mudah mesra dan rapat dengan anak anak buah saya ,Afik dan Najmi.Erti kasih sayang dan kebahagiaan sejati.Tak perlu jadi orang kaya untuk share apa yang kita ada.Itu saya tarbiyahkan anak  ssya Ahmad Solihin dan anak anak buah saya yang remaja ,Afik dan Najmi.Suami saya ...lagilah terlalu banyak berkorban untuk membahagiakan saya.Walau dia tak berkorban membina Taj Mahal atau Taman Tergantung Babylon namun dia berkorban perasaan menerima keluarga saya, sepenuh jiwa.Dan berkorban membenarkan saya menjadi guru di luar masa persekolahan.Kadang kadang saya share life saya dengan anak murid atas dasar perikemanusiaan.Misalnya anak murid saya yang sebatang kara ini setahun tak belajar silibus Tingkatan 4.Tahun ini nak ambil SPM.Macam mana saya nak cover silibus Sejarah Tingkatan 4 kalau saya tak beri dia personel tuisyen di rumah.Sudahlah matapelajaran wajjb lulus.Saya kasihan kalau dia gagal SPM.Bagaimana masa hadapan dia.?Sudahlah tiada harta,tiada ibu bapa....Sejak saya tahu sejarah hitam hidupnya saya tekad.Saya mesti berkorban sedikit untuk bantu dia.Itulah kebetulan cuti sekolah .Saya sediakan jadual personel tuisyen dibantu anak buah saya ,Afik seorang student Unisel.Dan bersambung cuti raya Aidil Adha.
Mudah mudahan kenangan bersembahyang raya di masjid di kampung saya, menjadi kenangan terindah.Kenangan melihat orang menyembelih dan melapah daging korban  menjadi kenangan abadi yang membesarkan jiwa kecilnya..Kenangan mencium tangan atuk dan nenek di pagi raya Aidil Adha menghadiahkan satu ruang beerti dalam hatinya.Bayangkan berbelas belas tahun dibesarkan di rumah Perlindungan Wanita dan Kanak Kanak Kristian dia agak terasing daripada agama dan budaya Islam.Kredit saya berikan buat pengetua rumah PAKAT En .Helmi bin Abdullah dan isterinya Puan Elin Jamal yang berusaha memberikan sinar baru dalam hidup anak ini....cahaya dan petunjuk Islam sebenar sesuai fitrah yang dianutinya sejak lahir.Dua insan mulia ini subhanallah ...mereka bukan ahli politik yang kaya dengan kempen dan retorik.Bukan pula pendakwah atau ulama yang kaya dengan hujah, dalil dan fatwa namun mereka berperanan sebagai insan...khalifah di bumi Allah.
Kredit juga buat pengusaha Rumah Perlindungan Wanita dan Kanak Kanak yang memberinya bukan sahaja perlindungan bahkan asuhan dsn didikan sehingga dia membesar menjadi insan tabah,berbudi bahasa dan tahu tentang nilai nilai murni.Meskipun karakternya adakala sukar diduga namun saya percaya insan insan yang dekat dalam hidupnya walau bukan ayah atau ibu mampu memanusiakan dirinya.
Saat hendak berpisah dia mencium pipi ayah saya dan mengucapkan terima kasih serta minta maaf andai sepanjang percutiannya bersama kami dia ada berbuat salah,Kepada anak anak buah saya Afik dan Najmi yang dianggapnya saudara dia banyak meluahkan perasaan.Maklumlah mereka remaja yang hampir sebaya ,sebab itu dia rasa selesa berbicara tentang dunia kehidupannya sebagai insan sebatang kara.
Alhamdulilah Aidil Adha ini memberi ruang dan peluang untuk anak anak buah saya menghargai pengorbanan ibu dan ayah membesarkan mereka.Saya juga,apabila melihat kesungguhan ayah menyediakan hidangan lazat buat kami walaupun dirinya uzur dan sakit buat saya semakin menghargai.Dahulu semasa kecil dia berkorban tenaga,masa ,dan wang ringgit untuk membesarkan dan menyekolahkan kami.Kini di usia senjanya dia masih mahu berkorban kudrat dan tenaganya untuk melihat kami merasai erti bahagia.
Teringat lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee

Berkorban apa saja
Harta ataupun nyawa
Itulah kasih mesra
Sejati dan mulia

Kita tak mampu jadi semulia dan seagung Nabi Allah Ibrahim.
Namun saya percaya kita mampu memberikan sedikit ruang dalam hidup kita untuk membahagiakan orang lain.Salam Aidil Adha
 Pagi Aidil Adha...depan rumah ayah.
 Suami saya yang pandai melayan kerenah anak anak.
 Tahun ini korban kerbau
 Tengok orang kampung melapah
 Meriah raya di kampung..
 Hari berikut ke Pulau Orang Utan naik bot
Spesis yang DNAnya 97 peratus manusia
 Taman percutian yang patriotik Bukit Merah Laketown Resort
Lets share our love....














Khamis, 28 Jun 2018

PUISI UNTUK LELAKI LUAR BIASA

Dia memandu keretanya sejauh 200 km saban tahun
Menjelang Aidilfitri yang kami tak bisa pulang ke kampung
Dia bertandang ke rumah kami dengan lapang dada, redha dan gembira
Meskipun di mata orang lain dia tidak  perlu menjadi sepertI itu
 
Dia menyayangi cucu-cucunya tanpa berbeda
Walau mereka semua terkadang kurang mengerti sedalam mana kasih itu
Tangan tuanya dengan ramah menanak gulai ayam kampung
Atau pulut kuning yang paling  enak kata anakku
Kemudian kami anak-anak, menantu dan cucu akan menyantap  juadah itu sampai habis licin
Semuanya tanpa rasa ragu atau malu

Dia tidak pernah peduli
Kalau ada antara kami yang bermasam muka ,tergelincir lidah berkata kasar
Memalingkan wajah ketika bertemu
Menyayat ,merobek-robek hati tuanya
Kerana dia selalunya lekas-lekas membasuh gurisan luka itu
dengan  siraman doa ketika solat tahujud di malam sepi
memohon Tuhan membalas yang baik-baik sahaja untuk kami.

Dia tidak pernah kesal atau rebah
Ketika doktor berkata
"hayat pakcik mungkin akan berakhir tak lama lagi"
Kerana penyakit kronik sidah menyerang tubuh dan jasadnya
Cuma sesekali
Dia menyeka air mata jernih
dan menyatakan rindunya
 pada seseorang yang sudah lama pergi dijemput Ilahi

Puisi ini kutulis untuk nya
Lelaki luar biasa yang kutemukan
sejak hari pertama aku diberi peluang menatap sinar mentari



                                        (gambar Aidilfitri...ayahnadaku Hj Amri bin Ghani


Rabu, 27 Jun 2018

PRU 14 - DARI KACA MATA SEORANG GURU SEJARAH

Salam blogger.Aduhai,ke mana hilangnya jemari blogger yang bernama Cikgu Haida.Berbulan-bulan memendam rasa tak menulis.Saya bermonolog sendiri tentang pelbagai perkara .Tentang kehidupan.Tentang dunia pendidikan.Tentang hati. Warna-warni kanvas lukisan seprang perempuan bergelar ibu,isteri dan guru.
Sekali air bah,sekali pantai berubah.Selepas PRU ke14,peranan saya sebagai guru matapelajaran Sejarah semakin mencabar. Di kelas paling hadapan setiap hari anak-anak yang petah berbicara dan bijak berhujah mengemukakan pelbagai persoalan.



Di kelas belakang pula, anak-anak yang kurang dianggap bijak dalam akademik namun hebat  dalam pelbagai skil   turut menjadi pemerhati politik yang cemerlang.Tiba-tiba sahaja anak-anak murid saya tak kira bangsa mula rancak bercerita soal politik. Di sinilah peranan saya sebagai guru Sejarah diuji. Namun saya tetap dengan pendirian saya, Sseorang guru Sejarah harus matang,berpandangan jauh, bijak berhujah dan jangan terlalu emosi menyatakan kecenderungan atau sokongan.
 Beberapa hari selepas PRU 14 , apabila saya mengajar tajuk Demokrasi Berparlimen di Malaysiaia ,ia menjadi topik yang ,sangat menarik  dan sangat dekat dengan apa yang anak-anak murid saya lalui.Demokrasi hidup subur di Malaysia.Peralihan kuasa antara parti politik berlaku dengan aman dan penuh beretika tanpa setitik darah yang tumpah.Aduhai bangganya saya sebagai warganegara Malaysia.

Hari ini saya mengajar Sejarah di kelas paling hujung iaitu kelas 5 Seni. Di kelas ini saya bergelut dengan macam-macam peranan.Kadang-kadang saya jadi mak tiri yang garang.Kadang-kadang saya jadi rocker menyanyi lagu-lagu rock yang liriknya fakta Sejarah.Kadang-kadang saya jadi orang kampung atau makcik bawang dan larut dalam dunia mereka yang suka membebel,bercerita tentang apa-apa.sahaja bak kata orang sekarang layannnnnn....Saya cuba nengikut rentak mereka. Penat berjuang di  kelas 5 Seni dengan pelbagai watak .Adakalanya saya menyerah.Menjadi dermawan yang pemurah.Salah satu cara mengawal  disiplin kelas ini ialah menawarkan aiskrim, air kotak, atau roti bagi sesiapa yang mampu menyiapkan tugasan atau menjawab soalan. Teori Maslow manusia perlu penghargaan....benar seratus peratus.
Semalam saya bawa biskut raya dan sedekahkan pada anak-anak murid saya yang berbangsa India yang selalu terpinga-pinga masa saya mengajar Sejarah kerana ada ketikanya mereka tidak memahami peristiwa,istilah,konsep atau cerita sejarah hanya kerana pengetahuan bahasa Melayu yang terbatas dan kurang perbendaharaan kata.

 Saya amat simpati pada Devahsenah,Manimala, Hemalatha,Shanju, Arawinth  dan lain-lain. Mereka terperangkap dalam polemik politik sempit,Bersekolah rendah di SRJKT kemudian tinggal dalam lingkungan persekitaran sesama bangsa  Mereka langsiung tak fasih berbahasa Melayu.Aduhai sedihnya , nasib anak-anak ini.! Bagaimana mereka dapat membesar menjadi warga bertaraf dunia kalau mereka sendiri keliru dengan dasar kebudayaan kebangsaan.Belas hati saya melihat anak-anak murid saya yang masih gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik. Berhentilah bermain politik perkauman. Negara sudah merdeka lebih   60 tahun.Carilah jalan agar anak-anak berbilang bangsa ini berbahasa dengan satu bahasa, berbicara dengan satu rentak dan berbudaya dengan satu tradisi akar yang kukuh. Bangsa Malaysia. Menjadi bangsa Malaysia bukan bermakna anda tterpaksa membuang darah Melayu atau darah Cina atau darah India yang mengalir hangat dalam tubuh.Menjadi bangsa Malaysia maksudnya anda mempunyai  jiwa dan impian yang sama.

Selain masalah bahasa yang membataskan kemajuan anak-anak yang rata-rata tinggal di ladang ini,masalah kemiskinan masih menjadi satu ancaman besar. Mujurlah mereka bersekolah di sekolah saya yang sangat menjaga kebajikan murid. Sarapan pagi free meal percuma, minuman percuma semasa aktiviti kokurikulum dan sebagainya,  Kami menjadi warga pendidik yang prihatin dan merasai kelaparan dan kehausan mereka.Janganlah tuduh guru dengan macam-macam tuduhan liar yang viral di media sosial. Tidak ada guru yang mahu anak-anak muridnya susah dan kecundang dalam kehidupan. Meskipun ada segelintir guru yang bermasaalah, sebahagian besar dan selaut jumlahnya adalah    pejuang ,adalah jurutera dan arkitek bangsa yang sangat berintegriti dan bermaruah.

Saya akhiri catatan saya dengan sekeping gambar Anugerah Guru Paling Patriotik yang saya terima hasil daripada undian murid-murod di sekolah saya sempena Hari Guru Peringkat Sekolah tahun ini. Tak susah menjadi warga patriotik.Sayangilah negara anda. Hormatilah pemimpin  selagi mereka tidak melanggar hukum agama. dan etika sosial Menghormati pemimpin  sebagai individu lebih baik daripada menghormati pemimpin  semata -mata kerana taksub pada sesebuah parti politik. Parti politik hanya wadah perjuangan.Ia boleh jatuh dan bangun dengan kuasa rakyat.Namun  seorang khalifah agung yang mewarisi akhlak rasulullah saw tetap akan dikenang orang dalam lipatan Sejarah sepanjang hayat
.Saya selalu bangga bercerita tentang kehebatan bangsa Melayu sebagai bangsa yang unggul di nusantara namun saya tidak pernah lupa   untuk  menjunjung budaya perpaduan kaum yang harmoni di negara bertuah Malaysia.
Jika saya mahu Alif ,Jannah ,Atikah ,Farah ,Faezah dari kelas 5 Sains menjadi pemimpin umat yang cemerlang ,saya juga mahu satu-satunya anak murid saya yang berbangsa Cina di kelas itu iaitu Paw Ren Yee menjadi lagenda yang hebat untuk Malaysia.
Jika hati saya terluka kerana Hemalatha,Manimala ,Yogaraja ,di kelas 5 Seni yang masih   gagal berbahasa Melayu maaflah itu bukan kerana saya marah pada  sistem sekolah rendah yang pelbagai aliran seperti dasar :divide and rules" dalam era kolonialisme ,namun saya menangisi masa depan mereka yang punah kerana tidak diasuh sedari rebung untuk  membentuk jati diri Malaysia yang benar-benar sejati. Salam Malaysia baharu !