Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Sabtu, 18 Mac 2017

Stanza Perpisahan (buat ustazah Mariam dan NoorNajyha)

Saat kerinduan datang menjenguk 
Ada kesayuan  yang sakit menggigit 
Membaca bisikan hatimu lewat nota yang kau tinggalkan 
Ustazah, jangan pernah merajuk dengan penilaian manusia
atau terkesan dengan etika jabatan 
kita insan kerdil, hanya semut merah yang merayap
kadang terlihat, kadang tersembunyi di dalam timbunan tanah .

Saat kemesraan menjadi milik kita 
Wajah polosmu ustazah 
tak pernah kusimpan dalam album hati 
Namun saat kakimu jauh melangkah pergi 
Mengapa potretmu ada di mana -mana 
Di bilik guru, di bilik mesyuarat, di balai sumber, 
Tiba-tiba terdengar  suara lantangmu yang tak pernah mahu didengari 
Ustazah jangan ambil hati 
Manusia memang hanya mahu dengar yang indah dan yang baik-baik.

Saat perpisahan merampas bahagia 
Walau tak mampu menahan titis-titis  air mata 
Namun ustazah  jangan sampai kau hilang redha 
Kerana itulah permata indah titipan Allah 
tersimpan dari syurga 
Mudah -mudahan di sekolah baru 
Lemak merdu suaramu bertarannum 
Dan lantang tegasmu menegakkan  hukum 
Akan menjadi benih-benih subur 
Dalam dada mereka, 
Anak-anak bangsa kita
Yang sebenarnya beruntung 
Mendapat mualimah  baru
Dari suratan terindah 
Takdir ketentuanNya.