Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Selasa, 16 Ogos 2016

Puisi Mentor Kepada Menteenya. ..khas buat Emy,Suliza,Suhaida, Diana, Harissa dan Zira

Kalau mahu lukislah bulan di telapak tanganmu
Kerana bulan tak akan pernah berhenti menyinar
Kalau mahu ukirlah bayu dalam mimpi -mimpimu 
Kerana bayu tak akan pernah lelah berhembus 
Kalau mahu tegakkan batu -batu gunung dalam teratak citamu 
Kerana batu -batu gunung tak akan pernah runtuh 
Kalau mahu kaitlah pelangi untuk ayah ibumu
Kerana pelangi terlalu indah dalam redup senja berlalu 
Kalau mahu jadilah laskar perang dalam medan ilmu
Kerana laskar perang tak akan pernah rebah  walau sakit ditusuk peluru. .




Kekurangan Itulah Kelebihan. ....

Faris banyak diam waktu saya mengajar . Dia jarang  bercakap atau menyampuk. Menulispun dia agak kurang berminat. Saya dapati dia banyak berangan. Sebagai pelajar kelas paling akhir saya tidak mahu menggantung harapan terlalu tinggi. Cukup kalau saya mengenalinya dan tahu sedikit sebanyak cita citanya. Rupa rupanya dia seorang remaja yang unik dan meminati bidang penternakan. Ketika remaja lain seusianya minta dibelikan motorsikal dia  minta ayahnya membelikan seekor kambing. Menurut ibunya yang datang bertemu saya sewaktu menandatangani buku laporan prestasi, anak lelakinya yang seorang itu kini berjaya menternak 8 ekor kambing peliharaan tanpa bimbingan mana mana pihak.
Seorang lagi anak murid saya namanya Shahrul. Saya mengenalinya di kelas intervensi sewaktu tingkatan 2.Pencapaiannya setakat ini hanya mampu membaca perkataan mudah walaupun dia sudah berada dalam tingkatan 4.Tapi dia fokus menyalin apa apa tugasan yang diberi.Wajahnya tidak pernah sedih.Happy memanjang .Sentiasa tersengih-sengih.Baru -baru ini  saya datang ke rumahnya  untuk bertanya khabar.Ibunya banyak cakap dan peramah Dia memberitahu Shahrul  memasuki kelas pemulihan sejak sekolah rendah namun tidak pulih pulih. Apa daya saya cikgu. ..luahnya telus. Shahrul juga anak kampung tipikal. Dunianya selepas pulang sekolah hanyalah ayam itik peliharaan dan kebun kelapa sawit. Tiada istilah enjoy.Dia bukan jenis anak yang meminta-minta. kerana adik -beradiknya berjumlah 10 orang.
Seorang lagi anak murid saya Norimah. Wajahnya pulih melepak.Dia juga sangat lemah dalam pelajaran. Pada awalnya saya tidak mengenali sisi lain dalam hidupnya. Saya selalu marah marah kerana dia tidak mampu menyelesaikan walau diberi latihan yang mudah. Suatu hari bapanya kemalangan dan terlantar di ICU. Ibunya  menelefon kerana Norimah minta kebenaran bercuti untuk menjaga adik di rumah. Saya datang melawatnya.  Keadaan rumahnya agak  dhaif. Adiknya  hanya mampu mengengsot dan memakai pampers walaupun sudah berusia 14 tahun. Patutlah dia selalu tidak ke sekolah kerana dialah satu satunya insan yang boleh diharap untuk menjaga adik kalau ibunya ada urusan di luar rumah.Baru baru ini Norimah diuji lagi. Ayahnya menghembuskan nafas terakhir. Norimah bergelut dengan kemiskinan ,kehilangan  ayah dan adik cacat yang perlu perhatian.
Seorang lagi anak murid saya namanya Darwis. Anak yatim yang tinggal bersama ibunya seorang janda yang sakit darah tinggi dan kencing manis kronik. Sebagai warganegara luar ibunya tiada saudara mara. Darwis lah satu satunya waris yang diharap menggalas beban mencari sesuap nasi selepas ibunya tidak mampu bekerja lagi. Patutlah dia tidur memanjang dalam kelas. Setiap hari dia berulang sejauh 20 km menaiki motorsikal tanpa lesen ke tempat  dia bekerja sebagai seorang cleaner.Pergi kerja sebaik tamat sessi persekolahan dan pulang jam 11.00 malam.
Benarlah kata kata suami Kelebihan itulah kekurangan sebaliknya kekurangan itulah kelebihan . Manusia yang kurang dalam bidang akademik pasti ada kelebihan lain.Faris,Shahrul,Norimah dan Darwis (bukan  nama sebenar) adalah insan yang tidak cemerlang dalam akademik namun bagi saya mereka sudah cemerlang sebagai insan. Ketekunan Faris mengurus kambing kambing peliharaan. Kegigihan Shahril bekerja kampung membantu ayahnya.Ketabahan Norimah menjaga dan mengurus adik yang cacat. Kecekalan Darwis bekerja dan menjaga ibu yang sakit. Dalam usia semuda dan sementah itu tika remaja lain bergelumang dengan keseronokan ,telefon bimbit , couple, wecchat dan facebook mereka memetakan tanggungjawab pada keluarga.
Melihat dunia kehidupan mereka membuat saya lebih mengerti dan mensyukuri. Jika pelajar lain bergelut untuk mendapat selembar sijil akademik mereka bergelut untuk terus bernafas di bumi Allah dengan perasaan tenang, redha dan pasrah. Saya tahu tidak banyak yang saya boleh lakukan untuk membantu mereka namun sebagai orang yang mereka panggil cikgu saya akan berdiri di sisi mereka saat mereka tersenyum atau menangis. Insyaallah itu janji saya pada Tuhan rabbul izatti sejak saya memilih profesyen ini. ...