Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Rabu, 28 Oktober 2015

Di Mana Pusaramu Sayang? (Mengenang tragedi MH 370)


 Di mana pusaramu sayang?

 untuk kujejaki
 tika angin kerinduan bertiup
 tika seruling keresahan berlagu sayup

Di mana pusaramu emak?
untuk kudatangi
tika air mata menjadi hujan
tika tangisan bertakung semalaman

Di mana pusaramu ayah?
untuk kucabut lalang nan menghijau
untuk kutanam pohon kemboja putih
sebagai lambang cinta kasih

Di mana pusaramu teman?
untuk kususuri sungai kenangan
yang airnya takkan pernah surut
walau kemarau hangat meragut

Di mana pusaramu  Kapten Zahari?
untuk kuukir tugu pahlawan
seorang lagenda seorang wira
dalam zuhud,dalam diam menabur jasa.

Di mana pusaramu Kapten Farid
untuk kutulis suatu catatan
seorang pemuda berjiwa kental
gagah berani menakluk angkasa.

Di mana pusaramu anak-anak kapal ?
untuk kupatrikan lambang kemegahan
MAS,
burung besi gagah melayang di awan
terbang dari sebuah bumi indah permai
meredah samudera
memintas awan
meraih makna bebas merdeka
dari jajahan
dari neokolonialisme
dari igauan kekerdilan bangsa


Di mana pusaramu?
ingin kujejaki
walau di dalam belantara belukar
atau di rimba sarat onak duri
atau tinggal hanya serpihan zarah zarah kecil
dalam luas lautan tak bertepi

Di mana pusaramu dik?
ingin kuhampiri
ingin kubacakan al Fatihah
ingin kusentuh batu nesanmu..

Di mana pusaramu ?
ingin kukunjungi
walau jasadmu tak bisa kelihatan
agar rasa sakit dan kepiluan ini
hilang perlahan -lahan.


 Di mana pusaramu kekasih?

 untuk kudakap setia penantian
 janji kita di malam pertama
 hanya maut bisa memisahkan.

Di mana pusaramu tunangku?
untuk kubacakan puisi pengantin
yang kita cipta semusim lalu
menanti pelamin menjadi syurga.

Dimana pusaramu suamiku?
untuk kubawa anak-anak kita
yang saban hari tak henti bertanya
mama...........
di mana papa?

Dimana pusaramu isteriku?
untukku nyanyikan lagu sepi
seorang lelaki ditinggal pergi
tanpa pesan, tanpa pamitan

Di mana pusaramu anakku,menantuku?
untukku hilangkan sunyi
hari tuaku yang asing dan ngeri
jauh dari perkhabaran dunia

Di mana pusaramu kekanda?
dinda mencari
hujung benua ke hujung benua
hingga kering air di tempayan.

Di mana pusaramu adinda?
kanda mencari
hujung sahara ke hujung sahara
hingga gugur bintang di langit.

Di mana pusaramu?
di mana.....
wahai angin jawablah pertanyaanku
di mana pusaramu?

Di mana pusaramu?
di mana....
wahai bulan jawablah salamku
salam cinta tak kesampaian.

Di mana pusaramu MH 370?
di mana...
untuk kami rakyat Malaysia 
memeluk erat kotak hitam
dalam keberanian
menuntut keadilan
 
Wahai Tuhan
ampuni kami
kasihani kami
berikan kami kekuatan luar biasa !























Anak Oh Anak !

Ketika engkau dilahirkan
Engkau menerangi alam
Kegelapan ayah dan ibumu....
                                                (petikan lagu Anak nyanyian Freedie Aguilar)
Benar kelahiran seorang anak amat beerti dalam sebuah rumah tangga. Dalam bahasa Arab, perkataan anak bermaksud "Quratul Aqyun" yang bermaksud cahaya mata.Dahulu saya tidak mengerti apa maksud cahaya mata sehinggalah saya mempunyai anak.Walaupun seorang , anak menepati pengertian cahaya mata andainya anak itu dengan keletah dan sikapnya bisa membuat kita bahagia dan tertawa. Itu yang saya rasakan sebagai ibu.Hilang penat lelah kita bekerja melihat suatu perkara kecll yang baik dilakukan  oleh anak.Hilang semua resah, semua tekanan apabila mendengar halus tulus dan hormatnya perkataan anak apabila berbicara dengan ibu bapa. Di rumah saya mewajibkan anak menuturkan ayat-ayat ini.Pertama " Terima Kasih"
Kedua " Maafkan Saya" dan ketiga " Bolehkah Saya...." .Alhamdullah 3 ayat itu menjadi mainan di bibir anak saya walaupun dia kadang-kadang nakal juga.Namun perkataan itu jika diucapkan selalu akan memadam api kemarahan kita. Benarlah anak adalah cahaya mata,
Kisah anak yang saya tulis kali ini ialah suatu  kisah benar. Seorang ibu yang hidup susah cuba membahagiakan anak-anaknya sebab pada pendapat ibu ini wang akan menjamin kebahagiaan keluarganya. Maka dia pun melakukan dua tiga empat pekerjaan sambil menyertai pernagaan MLM.
Niat yang baik untuk membantu ekonomi keluarga akhirnya bertukar menjadi suatu kesudahan yang buruk. Anak-anak yang terbiar dan terabai semakin liar dan nakal. Salah seorang anak lelakinya menjadi seorrang remaja bermasaalah sehingga terlibat dalam kegiatan pecah rumah,meragut dan mencuri, Apabila berbual dengan ibu ini saya dapati memang dia langsung tiada masa untuk anak-anak yang ramai dan perlukan perhatian. Hujung minggu menghadiri perjumpaan MLM.
Masakan ibu sudah lama tidak dicicipi. Kata-kata ibu,gurau senda ibu,senyuman manis ibu sudah lama tidak dilihat oleh anak-anak. Apabila ditanya kenapa dia buat kerja sampai tiada masa untuk anak anak,dia jawab tuntutan hdup...Nak bayar sewa rumah,bayaran  bulanan kereta, bil air,elektrik,astro,telefon , belanja sekolah anak dan sebagainya. Duit belanja anak sekolah sehari 5 ringgit kali 5 orang anak sama dengan 25ringgit. Hampir mencecah 20 ringgit jika ada kokurikulum. Sebulan sudah berapa?
Itu belum dikira perbelanjaan anak prasekolah yang mencecah ratusan ringgit sebulan.Aduhai...
Lantas saya teringat kenangan sewaktu saya bersekolah lebih 30 tahun yang lalu. Abah saya seorang saja bekerja membanting tulang.Kerjanya sebagai pengawal keselamatandan buruh kampung.
Kami hidup susah. Emak akan pastikan setiap hari dia masak nasi.Semua anak-anak tidak diberi wang saku tapi dibekalkan nasi. Lauknya bukan seimbang tapi cukup untuk membangkitan selera.Sambal telur, sambal bilis dengan terung tepokak, itu antara menu yang saya ingat. Kadang-kadang dia bawakan bekal lempeng,cucur kucai,cucur bilis yang mengenyangkan. Dari situ arwah emak membuat tabungan tidak membelanjakan semua wang pemberian abah.Emak jarang keluar rumah.Dia menjadi pengurus rumah tangga yang cekap. Sebelah malam dia sendiri duduk mengajar anak-anak mengaji al Quran. Apabila bercerita dia jarang mengumpat keburukan orang melainkan  bercerita kisah-kisah keluarga kami yang terdahulu, nenek moyang yang sudah meninggal dunia dan memuji-muji kalau ada orang kampung yang berkelakuan baik.
Simple tapi berkat.Air tangan emak yang mengalir jadi darah daging kami.
Selain menjimatkan perbelanjaan,ia merapatkan kemesraan.

Berbalik kepada kisah ibu tadi ia bukan kisah ibu itu seorang.Ia kisah ratusan malah ribuan ibu yang terpedaya dengan tuntuntan wang ringgit sehingga mengabaikan anak-anak.Yang paling sedih melihat dia yang terlalu terdesak untuk melihat keluarga bahagia kemudian menyertai MLM yang jika tidak diurus dengan baik akan menyebabkan kewangan semakin parah..Dia memberitahu saya akibat tidak dapat downline dia bukan berfungsi sebagai penjual tapi pengguna produk yang terpaksa membelanjakan sejumlah wang untuk produk yang dibelinya.Sedih saya dengar pengakuannya..
Bahagia bukan pada wang.Bahagia terletak pada berkat.Segudang wang boleh habis jika tidak diurus dengan baik.Setitis kasih dan imanlah cahaya hidup insan..
Anak yang sepatutnya membahagiakan bisa berubah menjadi ujian besar dan mendukacitakan jika kita membesarkan mereka dengan tuntutan kebendaan lantas membiarkan jiwa mereka kosong dan sepi..
Ibu bapa zaman sekarang cuba imbas kembali cara ibu bapa dahulu membesarkan kita.Mungkin tidak sempurna namun ada suatu kekuatan pada diri mereka.Mereka tabah mengajar kita erti hidup susah dan tidak menggelabah mencari jalan penyelesaian yang mudah.Ibu bapa kita mengajar kita bahawa dalam gubuk yang gelap gelita hanya ada setitis cahaya yang menyuluh hidup insan.Cahaya itu tak lain tak bukan ialah cahaya cinta dan iman. Lihatlah walaupun mereka hanya penoreh getah,pesawah padi,buruh kampung namun anak-anak dididik dengan sempurna ...kitalah itu,
Dan di tangan kita lahir pula suatu generasi hasil didikan kita..anak-anak kita.
Marilah kembali mengenang cara didikan itu!





Ahad, 11 Oktober 2015

Warkah Cikgu Aida Buat Pelajar 5 Dinamik dan 5 Efisien...

Assalamualaikum anak anakku...di 5 Dinamik dan 5  Efisien.

Apa khabar? Semoga semua sihat.Maklumlah  cuti semester seminggu.Malam tadi kita berwassup sampai pukul 11 malam. Ada yang tanya soalan folio Sastera, ada yang hantar gambar sedang dinner celebrate kemenangan pasukan bolasepak sekolah, ada yang gurau-gurau ,usik-usik. Farid saja bikin panas hantar gambar mesranya bersama pelakon Sharnaz Ahmad dan Pekin. Tahulah awak tu budak teater ..provokasi kawan -kawanlah tu. Si Kuntet pula hantar gambar bersama pelakon baru katanya..si Zul Bugiran. Kuntet paling pandai buat lawak.Terima kasih Kuntet masa kelas tambahan Sejarah kamu jadi artis tiap setengah jam nyanyi satu lagu d hadapan kelas biar tak ada yang tertidur.

Cikgu memlih untuk menulis surat ini kerana dalam wssup tak semua isi hati terhurai. Zaman dahulu sebelum ada alam maya,siber, internet, surat adalah penghubung utama. Sebenarnya surat atau warkah ada sentuhan sendiri yang lebih "touching" berbanding wssup,telegram atau wechat.Sebenarnya cikgu nak beritahu betapa bersyukurnya cikgu dapat mengajar anak-anak macam kamu.
Walaupun kamu nakal, malas, suka tidur dalam kelas, melawan cakap cikgu ,kerja rumah tak siap,kamulah anugerah terindah dalam hdup cikgu.
Tanpa kamu cikgu tak kenal erti perjuangan. Tanpa kamu cikgu tak tahu erti ketabahan. Tanpa kamu cikgu tak mengerti bahawa kasih sayang sejati harus tanpa syarat. Cikgu bukan cikgu yang lemah lembut dalam kelas, walaupun di luar ramai yang cakap cikgu lemah lembut. Suara cikgu selalu meninggi. Kadang-kadang kamu terpaksa tutup telnga mendengar leteran cikgu yang berbisa. Belum lagi jeritan cikgu tatkala melihat mata kamu semua terpisat-pisat baru bangun tidur sebak sahaja cikgu masuk ke kelas. Jangan tidur dalam kelas cikgu..itu pantang nenek moyang.Yang masih mengantuk terpisat-pisat mata biasanya kena cubit dekat perut, kena balun dekat belakang,kena tarik telinga sampai merah. Yang selalu kena hadiah istmewa macam tu, Hakim, Iwan, Shahril, Danish, dari kelas Efsien. Hakim terutamanya dah kena balun pun ada hati nak sambung tdur. Iwan selalu bagi alasan tidur lambat. Cikgu peduli apa tidur lambat.Bukan dia kerja jaga atau guard tapi merayau tiap-tiap malam bersama kawan. Shahril pula ikut kepala masa rajin rajinlah sangat, masa malas layan malasnya sampai mengences dalam kelas.
Danish seorang budak yang bijak tapi tak tahulah akhir-akhr ini macam orang kematian isteri.Kerenah kamu buat cikgu angin satu badan. Terlupa yang cikgu ni cikgu perempuan, jadi gangster dalam kelas.Tapi alhamdulilah anak-anak cikgu ini masih berbudi orangnya. Marah macam manapun  kamu tak pernah 
dendam. Hakim yang handsome dan macho selalunya selepas habis kelas akan tersengih-sengih cari cikgu.Minta maaf cikgu....lembut tuturnya.Luluh hati cikgu dengan perkataan maafnya walau sudah berpuluh kali diucapkan. Begtu juga Iwan...ada sahaja alasan diberi dengan senyuman meleret panjang.
Anak-anak cikgu sekalian...cuba bayangkan seawal jam 6 30 pagi cikgu sudah berangkat ke sekolah.Melihat wajah-wajah nakal kamu dari 2 kelas ini selama berpuluh-puluh jam seminggu. Keluar masuk kelas 5 Dinamik dan 5 Efisien.
Ada sebab kenapa cikgu pertahankan jadual waktu yang pengetua tetapkan pada awal tahun,mengajar kamu 3 subjek sekaligus, Sejarah, Sastera Melayu dan PSK. Cikgu mahu kenal kamu sedalam-dalamnya. Cikgu mahu berjuang bersama kamu mengubah hidup kamu. Sebab cikgu nampak potensi yang besar dalam mata kamu sejak kamu berada dalam Tngkatan 4 lagi. Alhamdullah anak-anak cikgu ramai yang telah terjumpa "the turning point" dalam hidup.
Amir , lelaki yang suka berangan,tidur dan khayal kini salah seorang pelajar yang dapat medal "Akulah Bintang" mewakil kelasnya. Khaizurin atau nama glamournya Apek sekarang rajin datang kelas tambahan.Mamat dan Ikmal pun sudah mahu jadi protege Amir.Adam selalu bergaduh dalam kelas dengan ckgu. Kini hari-hari hantar mesej...Cikgu saya sudah insaf.Alhamduliah.Kenapa nama-nama pelajar lelaki banyak dalam warkah ini.? Bukan sebab tak sayang pelajar perempuan tapi pelajar perempuan mudah dididik, mendengar kata dan rajin belajar. Pelajar lelaki kerana nak jadi macho sampai lupa nak rendahkan ego di hadapan orang yang lebih tua dan mengajar kamu. Tapi anak-anak jangan pernah marah kalau cikgu bandng-bandingkan kamu.Tiada yang lebh hebat atau kurang hebat di mata cikgu. Cuma cikgu suka "highight " kejayaan kawan kamu agar kamu nampak potensi diri semua orang sama sahaja.Tidak kira di kelas belakang atau kelas hadapan...kamu tetap boleh jadi bintang.

Surat ini cikgu sambung tulis selepas cuti semester ,kemudian kamu semua dapat cuti 2 hari lagi iaitu cuti kerana negara dianda bencana alam jerebu.Masa cuti jadi lebih panjang, cikgu baca luahan hati dalam wssup grup...Eh cuti lagi,periksa dah dekat..Bila cikgu nak buat keas tambahan? Nampaknya beberapa minggu menjelang peperiksaan baru kamu tersedar.SPM sudah dekat.
Garis pertemuan antara kita semakin hampir untuk terlerai. Kelas 5 Dinamik juga kelas 5 Efisen ....perjuangan cikgu sudah semakin sampai ke garisan penamat.Namun perjuangan kamu di medan peperksaan akan bermula.Kepada Ainin, Sabrina, Aisah, Siti, Wani, Bella, Ecah,Ain, Chika,Ika,Niza ,Najwa,Farahin,Ayu cikgu berdoa mudah-mudahan kamu bukan saja menjadi pelajar perempuan terbaik dalam akademik, namun juga akan melangkah jadi muslimah yang solehah ,cinta akan Allah dan rasul, jadi isteri dan ibu sejati, bidadari dunia yang akan menjadi perhaiasan terindah.Begitu juga Mimi, Haida,Dayah,Anisha,Zafira,Syafika,Ain,Umi,Wawa, Yaya, Nadia dan Maria..selalulah ingat pesan cikgu, jadilah wanita Melayu terbaik dengan Islam sebagai pakaian luaran dan dalaman.
Kepada Faiz Azha, Zul,Olan,Kuntet,Farid,Haziq,Nazrin,Fazreen,Firdaus, Azizi,Shahril ,Akim, kamu jangan ketinggalan dalam dunia akhir zaman di mana wanita berebut-rebut peluang untuk jadi the best among the best.
Amir, Mizi,Aiman,Faez, Shahril, Iwan, Apek,Aiman Hakim,Mamat,Nizam ,Iqmal ,Danish,Hakimi , Hakim, Adam,jangan berasa diri kerdil dan kecil .Perasaan kerdil dan kecil itulah musuh utama kamu sebenarnya...
Akhir kata cikgu ingin menyatakan walau sakitnya pukulan dan cubitan yang hinggap di tubuh kamu namun sakit lagi perasaan cikgu jika melihat kamu gagal dalam peperiksaan apatah lagi melihat kamu gagal dalam kehidupan.
Salam sayang buat anak-anak cikgu. Kamu semua anugerah terindah yang Allah beri.Kepada Ain Syafiera...cikgu bahagia melihat perubahan kamu walaupun perubahan itu kamu anggap terlalu kecil. Jika kamu idamkan bahagia, hanya Allah yang akan memberi,bukan manusia. Belajarlah dari kesilapan.Bangunlah dari tempat kamu pernah jatuh,Jangan kejar cinta manusia nanti kamu ketinggalan cinta Allah,tapi kejarlah cinta Allah, nanti cinta manusia semua datang padamu.
Buat Wani yang memanggil cikgu  mama Haida, kenangan antara kita cikgu simpan dalam lubuk hati.Begitu juga Farid, kalau dah jadi bintang filem jangan lupa pada cikgu.Amirpun sama, mana tahu suatu hari nanti kamu jadi insan yang hebat di gelanggang teater.Begitu juga Siti, Ecah,Mizi,Mimi.
Semoga kenangan memasuki pertandingan drama 2 tahun berturut-turut mengajar kamu semua jadi insan kuat,cekal,tabah dan yakin diri kerana sesungguhnya gelanggang pertandingan adalah suatu ujian kecil berbanding gelanggang kehidupan yang lebih mencabar di luar nanti.
Buat semua yang cikgu tidak sentuh dalam surat ini,percayalah kamu semua ada suatu tempat istimewa dalam hati cikgu...hanya Allah yang tahu.Betapa cikgu amat sayang pada semua kamu.
Selamat menduduki peperiksaan SPM 2015