Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Sabtu, 29 November 2014

BOBO...I LOVE U SO MUCH

 Cuti sekolah sangat dirindui dalam kamus kehidupan seorang guru. Bukan sebab malas bekerja tapi inilah satu-satunya peluang untuk menjadi isteri dan ibu sepenuh masa.Teman-teman di SMK Jeram punya rancangan percutian yang hebat. Kak Mas, Lily, Ain dan Cikgu Assari dengan misi menawan puncak Kinabalu. Kak Nora, Kak Hafsah dan Kak Ram pula bermanja dengan musim salji di Eropah...Saya, biasalah walaupun tak ke mana-mana, hati berbunga riang. Taman Herba di sekelilng rumah melambai-lambai minta perhatian. Wajah ayah,mak tiri, sawah bendang dan tali air yang luas hening menghijau di pekan Bagan Serai juga menggamit kenangan !Syukur saya masih memiliki semua ini.
Hari terakhir persekolahan hati dicuit dek gelagat dan telatah seorang pelajar yang diberi nama Mohd Fikri atau nama manjanya Bobo.Dia masuk ke bilik guru dengan wajah riang sebaik tamat peperiksaan SPM.Namun matanya kelihatan bening berkaca-kaca. Semua guru yang pernah mengajarnya diberikan cenderahati dalam beg kertas yang cantik.Dengan sapaan ikhlas dia berkata "Ini untuk cikgu..." Kemudian dia meminta kami menulis di atas baju sekolahnya yang putih bersih .Kata-kata terakhir buat ingatan.
FIKRI JANGAN NAKAL
JANGAN TINGGAK SOLAT
SEMOGA BEROLEH KEJAYAAN
SEM0GA SUKSESS
Itulah kata-kata yang terconteng di baju uniformnya. Saya menulis besar-besar I LOVE U SO MUCH...Ada sebab kenapa saya tulis begini. Pertama saya amat sayang pada dia.Kedua kata-kata inilah yang amat dirinduinya selalu dan setiap masa.
Tahun lepas saya mengajarnya matapelajaran Sejarah. Saya tahu dia pandai menyanyi kerana dia berkawan baik dengan anak murid saya dari kelas Sastera Melayu iaitu Suraya. Dengan Suraya , Bobo amat rapat. Ada tali halus yang menyatukan mereka bukan sebagai pasangan bercinta....Semasa Panitia Sastera sekolah saya menjadi bench mark dan dikunjungi pelawat dari daerah Klang yang minta agar saya menunjukkan satu program Mikro Teaching,kelas Surayalah yang jadi sumber saya. Bobo tidak ketinggalan.Saya jemput dia kerana kebolehannya menyanyi lagu-lagu malar segar untuk set induksi mikro teaching saya. Sejak itu hubugan kami rapat. Ada kisah tentang Suraya yang saya simpan dalam artikel yang akan datang....kisah manusia dan kemanusiaan!
Suraya dan Bobo sering datang bertandang ke rumah saya,bukan datang sendiri melainkan saya jemput .Di rumah saya mereka bercerita, menyanyi dan juga masak. Bobo pandai masak ayam masak merah! Kenapa dia pandai dan mahir memasak.....Bobo ditinggalkan ibu sejak perceraian berlaku. Malah Bobo pernah hidup sendiri di rumah sewa di bandar Klang selama setahun,sebelum tinggal dengan makciknya di Jeram semasa bersekolah dalam tingkatan 4.Saya terlopong mendengar kisah hidupnya. Dia kata di Sekolah Menengah Raja Mahadi guru kelasnya tidak tahu dia tinggal sendiri,sehinggalah akhir tahun...Patutlah dia pandai masak...Ada sesuatu yang menyentap jiwa saya setiapkali saya mendengar cerita Bobo.Pada saya dia tabah dan sangat kuat...Dia masih mampu tersenyum,ramah dengan sesiapa saja, berani ke hadapan jika disuruh walaupun bertahun tahun hidup tanpa belai kasih ibu dan ayah. Sekarang walaupun hidup dengan makcik ayahnya jarang menjenguk kerana khabarnya sudah berkahwin lain.
Bobo bekerja di sebuah gedung di bandar Klang pada hujung minggu.Menjelang peperiksaan dia berhenti kerja dan berniaga air batu di hadapan rumah makciknya! Yang mengkagumkan kami pada hari terakhir setelah tamat peperiksaan dia membawa berbelas-belas beg kertas berisi hadiah untuk diberikan kepada cikgu yang mengajarnya! Kami tertanya-tanya mana dia dapat duit sebanyak ini. Orang lain yang ada ibu ayah ,yuranpun masih tertunggak.Dia mampu pula bagi cikgu hadiah. Apabila saya buka beg kertas yang cantik itu terdapat sehelai sejadah biru di dalamnya. Tanpa saya sedari air mata bergenang ..Ini kali kedua dia buat saya menangis. Kali pertama masa dia mengalunkan lagu Syurga Di  Telapak Kaki Ibu semasa saya jemput dia untuk program Perkampungan Sastera peringkat sekolah...
Duhai apakah gerangan budi balasan
Bagi insan melahir dan membesarkan
Bercucuran air mata bila mengenangkan
Betapakah besar budi ibunda berikan.....
Waktu itu Bobo menyanyi sepenuh hati. Matanya sesekali teterpejam barangkali membayangkan orang yang siang malam dirinduinya. Saya difahamkan ibunya sejak berpisah kembali ke kampung halamannya di Thailand.."Tak apalah cikgu nanti kalau saya dah kerja saya kumpul duit balik Thailand,jumpa mak"Mukanya yang tembam dan lucu dengan badan gempal dan chubby tetap kelihatan lucu walaupun dia sebenarnya sedang menuturkan perkara paling sedih!Apabila saya melihat kemesraannya dengan Suraya saya amat faham!Suraya anak terbuang yang sejak lahir ditinggalkan dengan nenek. Bobo dan Suraya berkongsi rasa,berkongsi kepiluan,berkongsi impian yang siapapun tidak akan faham kecuali mereka berdua!
Tiada bahagia jika tiada doa puja restu, syurga itu di telapak kaki ibu...
Buat anak-anakku Suraya dan Bobo jangan berhenti mengharap. Siapapun kita dan apapun takdir yang menimpa kita...ingatlah ada Allah yang memberi rahmat,naungan dan perlindungan...Simpan kenangan antara kita baik-baik sebaik saya menyimpan rahsia suka duka hidup kalian berdua...

Pemberian Bobo untuk semua guru yang pernah mengajarnya....



















Sabtu, 1 November 2014

TIDURLAH AFDAL ( untuk bekas anak didikku Allahyarham Afdal Atma Negara yang kembali ke rahmatullah pada 25 Oktober lalu)

Tidurlah Afdal 
Tidur nyenyak-nyenyak
Nikmati sepi yang indah di liang lahad
Hayati sunyi yang nikmat didakap tanah

Tidurlah Afdal
Tidur nyenyak-nyenyak
Atas tilam keredhaan seorang ayah
Atas bantal keimanan seorang ibu
Dalam selimut kenangan terindah
Guru-guru dan teman
Di SMK Jeram

Tidurlah Afdal
Tidur nyenyak-nyenyak
Jangan lagi kau berasa sakit
Kerana kesakitan itu sudah tiada
Jangan lagi kau berasa rindu
Kerana semuanya sudah menjadi milikmu
Jangan lagi kau berasa takut
Kerana kau tak lagi sendiri

Tidurlah Afdal
Tidur nyenyak-nyenyak
Jangan peduli air mata kami yang jatuh menitis
Jangan peduli renung hiba ayah yang setia di sisi jenazahmu
Lupakan ibu dan adik yang jauh menanti di seberang
Tidurlah Afdal
Kerana kau bukan lagi milik kami
Kau kini milikNya abadi.

Tidurlah Afdal
Tidur nyenyak-nyenyak
Biarlah kami hanyut dalam lautan ingatan
Pada seorang lelaki tabah
Yang menghimpun nota derita
Dalam kesusahan mengharung hidup
Dalam kesengsaraan  tak putus mengharap
Bahtera kasih ibu ayah yang  terlerai musnah punah
Diamuk badai


Tidurlah Afdal
Tidur nyenyak-nyenyak
Temanmu nanti alunan hafazan ayat ayat suci
Ketulusan budi seindah mawar merah berseri

Tidurlah Afdal
Biarlah hujan malam menyimbah pusaramu
Biarlah kedinginan meratah jasadmu...





Terimakasih Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah

Saya sering melihat wajahnya di kaca tv. Beliau seorang yang "outspoken" dan telus ketika memberi pandangan .Kata-katanya pedas dan tajam,kedengaran sinis tapi sentiasa bernada ilmiah. Tak sangka beliau datang ke sekolah saya pada 17 hb Oktober yang lalu. "Free tak,pergi dewan sekarang, pensyarah tu pengkritik rancangan Pilih Kasih rupa-rupanya"! Mata kawan saya terbeliak memandang saya. Tak sangka profesor datang bersama pelajarnya sempena program kerja amal keceriaan dengan kerjasama PIBG sekolah. Saya bergegas ke dewan sekolah. Tiada suara hingar -bingar. Senyap. Tiada suara gelak ketawa. Semua mata fokus bertumpu ke hadapan.Sosok tubuh lelaki pengkritik rancangan Pilih Kasih begitu menonjol di hadapan. Dengan pakaian sederhana membayangkan jiwa yang sentiasa" humble", beliau membahasakan dirinya ayahanda.Aneh pelajar saya tidak kelihatan gelisah. Walaupun tuturnya jarang bernada humor. Beliau berterus terang memberitahu beliau orang akademik dan tidak pandai berjenaka! Saya yang duduk di belakang dapat merasa kejujuran yang dalam pada setiap patah perkataannya.Pengalaman sebagai pengkritik sebuah rancangan realiti popular,sebagai dekan sebuah universiti dan yang lebih banyak beliau bercerita pengalamannya sebagai manusia Beliau menjadikan subjek kemiskinan,luar bandar,tingkah laku manusia yakni anak anak di luar bandar sebagai medium untuk membakar api motivasi dalam diri anak anak didik saya.
Banyak cerita tentang anak-anak miskin di Kelantan dan Terengganu.Anak-anak remaja liar yang menjadi insan berjaya hanya kerana satu suntikan.Suntikan kasih! Cerita anak  muda yang bermasaalah ,liar dan biadap dari sebuah sekolah  ,namun diberikan bantuan kewangan oleh seorang manusia dan akhirnya berjaya menjadi seorang mahasiswa berjaya menyentap jiwa saya. Apatah lagi manusia yang membalas kebiadapan itu dengan kasih sayang ialah orang yang sedang berceramah itu sendiri! Subhanallah...benarlah pendapat saya kuasa cinta mampu mengubah padang pasir yang tandus menjadi lembah yang subur! Saya terlopong mendengar kisah kisah kemanusiaannya! Berbahasa "abang" dan "adik" dengan anak anak remaja yang pernah singgah dalam hidupnya beliau menunjukkan satu teladan bagaimana mengetuk pintu hati  dan memimpin  tangan anak anak bermasaalah mengenal hakikat kehidupan.Beliau mencabar anak anak didk saya ....kemiskinan bukan halangan untuk pergi ke menara gading .Beliau juga banyak mempromosikan bidang seni kreatif yang dianggap terpinggir pada zaman ini namun penting kerana ia wadah pembentukan jati diri sebuah negara membangun."Adik adik  di Jeram kalau lepas SPM nanti masuk Universiti  Malaysia Kelantan ayahanda belanja,kenduri kita" Mesra nadanya mengundang rasa dekat pada beliau!
Pulang ke rumah saya teruja bercerita pada suami" Ayah tau tak siapa datang sekolah mama, professor Abu Hassan Hasbullah,pengkritik rancangan Pilih Kasih
bestlah ayah.....bla bla bla" Saya yang mendengar ceramah motivasi beliau pada sebelah paginya menyambung motivasi pada suami di sebelah malamnya......
Profesor terima kasih singgah bertandang ke sekolah kami....Kuasa cinta dalam cerita profesor sungguh indah dan menyegarkan jiwa kemanusiaan saya yang kadang-kadang layu disiram api keakuan,keegoan dan kepentingan jasad dan tubuh sendiri!