Telah dtakdirkan aku menjadi seorang guru, telah ditakdirkan sekolah menjadi duniaku, sesungguhnya bukan pangkat bukan gelaran bukan anugerah cemerlang yang aku buru, namun kepuasan datang bertamu apabila aku berjaya mencorakkan warna kehidupan seorang insan, merekalah amanah Allah untukku.....anak didikku ....KANVAS CINTAKU

Pengikut

Isnin, 13 Oktober 2014

Kanvas Putih.....Kitalah Pelukisnya!




Hari ini saya masuk kelas dengan perasaan marah. Hari Sabtu cuti berganti ramai pelajar kelas saya tidak hadir. Separuhpun tak sampai yang datang. Yang lain sibuk dengan urusan peribadi, kerja dan entah apa-apa!Saya telah lama perhatikan semangat belajar anak-anak kampung yang tinggal di pinggir bandar besar  seperti  pelajar sekolah saya telah sedikit demi sedikit terhakis oleh  serangan budaya  materialisme dan hedonisme.
  • Ibu bapa sibuk mengejar wang. Anak-anak juga diorientasikan wang adalah segalanya! Belajar sambil bekerja bukan sesuatu yang asing dalam budaya masyarakat di sini.Saya tidak menentang cara didikan begini. Sekurang-kurangnya anak-anak diajar erti tanggungjawab. Saya lihat anak-anak keluarga Cina mampu mencapai kecemerlangan walaupun menggalas beban membantu ibu bapa di kedai runcit, di bengkel kereta dan di gerai makan. Tapi bukan semua ibu bapa membenarkan anak bekerja dengan niat menerapkan nilai. Sebahagiannya hanya mahu melepaskan tuntutan material anak-anak seperti telefon bimbit,motorsikal,ipad dan urusan top-up. Dalam kelas Sejarah saya selalu sebut jika Eropah pernah dilanda Revolusi Pertanian dan Revolusi Perindustrian  , Malaysia pula dilanda Revolusi IT. Tapi bukan sebagai pencipta melainkan pengikut dan konsumer yang selalu salah guna,
  • Keperluan ekonomi yang asas bagi sebuah keluarga kampung bagi saya cukuplah sekadar rumah tempat berteduh, tabungan wang pendidikan anak-anak, bekalan iman dan takwa dalam amalan sehari-hari, budaya Melayu dengan Islam sebagai terasnya, sedikit keperluan hiburan yang dibenarkan dalam agama ,itu sudah mencukupi. Keperluan yang diada-adakan seperti handphone pintar, ipad, TV Astro jika tidak mampu tunggulah apanila kewangan sudah kukuh, Anak-anak yang berkiblatkan IT tapi tidak menggunakannya dengan cara yang positif hanya melahirkan generasi lalai,leka, tiada wawasan dan kenyang dengan segala macam keseronokan!
  • Anak-anak di sekolah saya boleh jadi gila jika sehari tak top-up internet, Jika mereka membuka info-info pendidikan dengan semangat untuk belajar sudah lama mereka menjadi generasi gemilang,terbilang dan cemerlang seperti impian pihak kerajaan malah ibu bapa itu sendiri.Namun tanpa kawalan ibu bapa internet mendewasakan pemikiran anak-anak didik saya mengenal bahan porno, bahan lucah dan menghanyutkan mereka dalam dunia cinta siber melalui facebook, wssup ,wechat dan perantara-perantara IT yang canggih, Tak percaya......lihatlah cara mereka menginterpretasikan cinta....Ramai yang mentafsirkan cinta itu ialah sentuhan dan dorongan kepuasan bukan sekadar perasaan syahdu dalam jiwa. Cuma segelintir remaja faham erti cinta suci seperti yang saya tulis dalam rencana Apabila Budak Sekolah Bercinta . Yang lain .......takut untuk kita ketahui...
  • Sesudah berlaku gejala buruk,.....semua pihak tersedar,tersintak dan mula melalak. Anak-anak dipersalahkan......Itulah kamu gatal sangat, tak pandai jaga diri.....Wahai ibu bapa anak-anak adalah kanvas putih .....kitalah yang memegang berus warna dan mencorakkan lukisan itu.Kebahagiaan anak-anak bukan sekadar wang ringgit tapi kata-kata pujian,kata-kata semangat,kata-kata pendorong, ayat-ayat cinta yang selayaknya mereka dapat dari sentuhan kasih seorang ibu atau seorang ayah....Jika tidak mahu anak-anak mengejar cinta di luar rumah, penuhilah rumah anda dengan rasa cinta itu. 
  • Sebuah rumah buruk dengan segala kekurangan material namun kaya dengan kasih sayang jauh lebih selamat untuk persekitaran anak-anak membesar daripada sebuah rumah mewah dengan segala kelengkapan duniawi namun tiada setitis cahaya petunjuk keimanan....! Kepada anak-anak didik saya di kelas 4 Dinamik segala kata-kata pedas, tajam yang saya lontarkan kadangkala kedengaran pahit dan seperti hempedu namun saya percaya bukan semua yang manis itu madu ...!

Jumaat, 3 Oktober 2014

Cikgu...Harga Minyak Dah Naik ( Kisah Uwais dan Impiannya)

Dia membawa beg berisi pakaian dan menunggu di hadapan kereta saya. Itulah rutinnya setiap hari Jumaat apabila saya mengadakan kelas kemahran  membaca hujung minggu di rumah. Seperti pelajar pelajar lain yang tidak menguasai kemahiran membaca dia mendapat tempat istimewa di hati saya selain pelajar-pelajar Sejarah dan Kesusasteraan Melayu. Malah lebih istimewa lagi kerana pada saya dia anak istimewa. Bukan semua ibu bapa boleh mengurus anak-anak yang istimewa ini , kerana itu di sekolah saya , kami masih menemui mereka walaupun sepatutnya masa hadapan mereka  lebih cerah di sekolah pemulihan khas.
Ibunya seorang wanita yang tabah dan sangat terbuka apabila berbicara tentang anak lelakinya yang saya panggil Uwais ( bukan nama sebenar)
Dia lahir tak cukup bulan. Umur 5 tahun baru pandai bercakap dan berjalan. Jadi pemikirannya 5 tahun ke belakang. Doktor mengesahkannya anak disleksia. Ibunya bertemu saya semasa hari menandatangani buku kemajuan pada awal tahun lalu.Ketika itu dia hendak mengambil peperiksaan PMR.
Saya mendapati karakternya unik. Dia sering tersenyum dan suka mengusik kawan. Tutur bicaranya sopan, walaupun sangat keanak-anakan. Jika diberi tugasan dia akan menyelesaikannya hingga selesai walaupun tulisannya tunggang- langgang.
Di rumah saya,dia sangat gembira. Anak lelaki saya yang berumur 5 tahun merupakan kawan baiknya. Mereka bermain dengan seronok  seolah-olah mereka sebaya. Saya tidak menjangka dia akan mampu melepasi segala kekurangan dan ketidaksempurnaan, .Namun takdir Allah siapa yang dapat menahan.....
Selepas menonton TV kira-kira jam 9.00 malam dia akan membaca petikan-petikan mudah dalam modul kelas pemulihan yang saya hasilkan  ketika saya mengajar di Sekolah Menengah Perempuan Kapar kira-kira 7 tahun yang lalu.Kemahiran mengajar kelas intervensi saya dapat secara tidak langsung kerana semasa saya mengajar di Sekolah Menengah Perempuan Kapar, tiada kelas Kesusasteraan Melayu dibuka.Jadi saya diarahkan mengajar Kelas Intervensi. Ketika itu saya sedih dan selalu merungut kerana Kesusasteraan Melayu merupakan nyawa dan jiwa saya. Tapi benarlah.... Allah memberi apa yang terbaik untuk kita walaupun bukan itu yang kita mahukan kerana Allah maha mengetahui. Kini di  SMK Jeram saya boleh mengaplikasikan segala ilmu dan pengalaman itu.....kerana rupa-rupanya lebih ramai yang memerlukan.....Subhanallah!
Berbalik kepada Uwais tadi, dia sangat tekun dan gigih,Dia membaca sehingga jam 12.00 atau 1.00 pagi.
Jika kebetulan saya belum tidur dia akan bertanya perkataan yang tidak mampu diejanya. Jika saya tertidur awal,dia menggariskan perkataan itu dan esok paginya dia akan bertanya kepada saya.
Mulutnya petah bercerita.....Ceritanya saya kutip dan jadikan suis untuk dia lebih rajin belajar membaca.
" Dari kecil ayah dan emak serahkan saya pada nenek dan datuk, umur 10 tahun baru ayah dan emak ambil saya balik"
"Ayah tak pernah bawa saya balik kampung di Perak,sebab dia cakap kereta tak muat"
"Ayah tak pernah bawa saya jalan-jalan"
"Ayah tak pernah ingat harijadi saya"
"Ayah belikan kakak handset  tapi saya tak dapat"
"Ayah jarang bercakap dengan saya. Kalau bercakap pun dia suka marah-marah"
"Saya tahu saya bodoh..."
Matanya merah berkaca-kaca.Hati saya tersentap.Ada pilu yang sukar saya gambarkan dengan kata-kata!
Saya tidak tahu adakah ceritanya benar tapi saya tahu  budak lurus bendul macam dia susah untuk menipu!
"Awak tak bodoh, awak pandai, awak rajin, awak handsome macam Shah Rukh Khan, awak baik sangat..." Setiap hari saya memujuknya dengan gula-gula pemanis kata.
" Apa impian awak, maksud saya apa yang awak teringin..."
" Saya teringin mandi kat kolam renang, bestkan.....ckgu"
Saya tergelak dalam hati.Kecilnya impian dia. Tapi bila saya fikir balik kecl bagi seseorang bukan bermakna kecil juga bagi seseorang yang lain. Bagi Uwais itu perkara besar.Dia teringin mandi di kolam renang. Bagi anak kampung sepertinya dtambah cara ayahnya melayan dia, saya pasti impiannya sangat logik!
"Nanti kalau pandai baca, cikgu bawa mandi di kolam renang....kan ayah?" ( saya panggil suami saya ayah di hadapan anak-anak.
"Hmmm ya....nanti kalau pandai baca, kita pergi kolam renang"Suami saya menambah.  Suami saya merupakan orang yang banyak mendorong saya dalam setiap perkara yang saya lakukan! (Thanks abang, I love u so much)
Akhirnya hujung minggu saya banyak dihabiskan bersama Uwais. Allah tdak pernah mengecewakan hambaNya yang mahu berusaha. Hari demi hari dia semakin lancar membaca petikan-petikan  mudah!
Tahun ini dia berada dalam Tngkatan 4. Walaupun dia gagal dalam peperiksaan PMR,tapi dia ada satu pencapaian yang bukan dalam bentuk sijil.Dia sudah boleh membaca,walaupun tidak sehebat insan  normal macam kita. Saya rasa kuasa cinta saya tak sehebat  mana, namun impian,harapan dan doa saya menyatu dalam fikiran dan jiwa saya setiapkali saya memandang wajahnya yang polos!
Semalam dia ikut saya balik ke rumah. Pagi-pagi sewaktu makan roti  canai di kedai mamak, dia membuat saya tersenyum geli hati!
Sambil membaca tajuk-tajuk akhbar dia merungut... " Apalah tak habis-habis harga barang naik, harga rumah naik, harga minyakpun naik....ish sh dunia, dunia..."
Wah, dah pandai fikir hal dunia sekarang. Kalau dulu dia hanya tahu merungut tentang ayah yang kurang memberi perhatan kepadanya kini dia merungut tentang harga barang! Kuasa cinta telah membesarkan dunianya yang sempit! Kepada ibu bapa yang dikurniakan anak macam Uwais,
bersyukurlah, ada sesautu yang Allah rencanakan untuk kita dan juga anak itu, mungkin bukan sekarang tetapi suatu masa dan suatu ketika nanti.
Uwais mengajar saya erti keikhlasan,erti pengorbanan,erti ketabahan ,erti kasih yang anak-anak kita sangat harapkan.Jika bukan kita siapa lagi yang mahu memberikan mereka sentuhan itu?
Cuma satu yang saya lupa, saya belum menunaikan janji untuk membawanya mandi di kolam renang!


  Di sinilah sekolah kedua Uwais, malah di sinilah dia membesarkan sebahagian impiannya..!